Kajian terbaru mendedahkan manfaat buah kranberi kepada memori dan pembuangan kolestrol

Menurut satu kajian terbaru yang dijalankan di ‘University of East Anglia’, United Kingdom, buah kranberi mampu untuk membantu meningkatkan daya ingatan, mengelakkan penyakit dementia iaitu sejenis penyakit otak progresif yang boleh membawa kepada penurunan kadar keaktifan menjalankan aktiviti harian, dan mengurangkan kolestrol ‘jahat’. Kajian ini dijalankan dengan harapan hasil penemuan ini dapat memberi implikasi dalam pencegahan penyakit neurodegeneratif seperti dementia. Menerusi kajian ini, para pengkaji meneliti manfaat pengambilan secawan kranberi sehari di kalangan sampel kajian berumur 50 sehingga ke 80 tahun.

Ketua penyelidik Dr David Vauzour, dari Sekolah Perubatan Norwich UEA, berkata: “Dementia dijangka memberi kesan kepada kira-kira 152 juta orang menjelang tahun 2050. Tiada penawar yang diketahui, oleh itu adalah penting untuk kita mencari campuran gaya hidup yang boleh diubah suai, seperti diet, yang boleh membantu mengurangkan risiko dan beban penyakit.

“Kajian lepas menunjukkan bahawa pengambilan flavonoid diet yang lebih tinggi dikaitkan dengan kadar penurunan kognitif dan dementia yang lebih perlahan. Dan makanan yang kaya dengan anthocyanin dan proanthocyanidins, yang memberikan buah beri warna merah, biru, atau ungu, didapati dapat meningkatkan kognisi. Kranberi kaya dengan mikronutrien ini dan telah diiktiraf untuk sifat antioksidan dan anti-radangnya. Kami ingin mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana kranberi boleh membantu mengurangkan neurodegenerasi yang berkaitan dengan usia.”

Oleh itu, pasukan penyelidik menyiasat kesan makan kranberi selama 12 minggu pada fungsi otak dan kolesterol di kalangan 60 peserta yang sihat secara kognitif. Separuh daripada peserta mengambil serbuk kranberi kering beku, bersamaan dengan secawan atau 100 g kranberi segar setiap hari. Manakala, separuh lagi menggunakan plasebo (kadangkala dipanggil ‘sugar pill’).

Hasil Kajian

Hasil kajian menunjukkan bahawa pengambilan kranberi secara signifikan dalam meningkatkan ingatan peserta tentang peristiwa harian (ingatan episodik visual), fungsi saraf dan penghantaran darah ke otak (perfusi otak).

Dr Vauzour berkata: “Kami mendapati bahawa peserta yang mengambil serbuk kranberi menunjukkan prestasi memori episodik yang meningkat dengan ketara dalam kombinasi dengan peredaran nutrien penting seperti oksigen dan glukosa yang lebih baik ke bahagian penting otak yang menyokong kognisi – khususnya penyatuan dan pengambilan memori. Kumpulan kranberi juga menunjukkan penurunan ketara dalam paras kolesterol LDL atau ‘jahat’, yang diketahui menyumbang kepada aterosklerosis — penebalan atau pengerasan arteri yang disebabkan oleh pembentukan plak pada lapisan dalam arteri. Hal ini menyokong idea bahawa kranberi boleh meningkatkan kesihatan vaskular dan mungkin sebahagiannya menyumbang kepada peningkatan dalam perfusi otak dan kognisi.”

Sumber foto : https://www.thestatesman.com/india/cranberries-may-help-improve-memory-fight-dementia-1503075237.html

“Menunjukkan kepada manusia bahawa suplemen kranberi boleh meningkatkan prestasi kognitif dan mengenal pasti beberapa mekanisme yang bertanggungjawab adalah langkah penting untuk bidang penyelidikan ini. Penemuan kajian ini amat memberangsangkan, terutamanya apabila memandangkan intervensi kranberi selama 12 minggu yang agak singkat mampu menghasilkan peningkatan ketara dalam ingatan dan fungsi saraf manusia. Hal Ini mewujudkan asas penting untuk penyelidikan masa depan dalam bidang kranberi dan kesihatan neurologi.” tambahnya.

Kesimpulan

Subhanallah! Benarlah sesungguhnya setiap ciptaan Allah ini terdapat rahsia dan bukti keagungan-Nya.

Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-An’am ayat 99 yang bermaksud:

“Dan Dialah (Allah) yang menurunkan hujan dari langit. Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuhan, kemudian kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau. Kami keluarkan pula dari tanaman itu buah-buah yang bergugus-gugus, dan dari pohon-pohon tamar, dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik, dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan juga yang tidak bersamaan. Perhatikanlah oleh kamu akan buah-buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang merujuk kepada kekuasaan Kami) bagi mereka yang beriman.”

Artikel ini diterjemahkan dan diolah daripada artikel asal, ‘How cranberries could improve memory and ward off dementia’, portal ScienceDaily di pautan; https://www.sciencedaily.com/releases/2022/05/220519081109.htm

Jurnal kajian :

Emma Flanagan, Donnie Cameron, Rashed Sobhan, Chloe Wong, Matthew G. Pontifex, Nicole Tosi, Pedro Mena, Daniele Del Rio, Saber Sami, Arjan Narbad, Michael Müller, Michael Hornberger, David Vauzour. Chronic Consumption of Cranberries (Vaccinium macrocarpon) for 12 Weeks Improves Episodic Memory and Regional Brain Perfusion in Healthy Older Adults: A Randomised, Placebo-Controlled, Parallel-Groups Feasibility Study. Frontiers in Nutrition, 2022; 9 DOI: 10.3389/fnut.2022.849902

Rujukan foto :

https://ms.womanexpertus.com/kak-vkusno-prigotovit-mors-iz-klyukvy-svezhej-i-zamorozhennoj/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts