Bagaimana Duit Tunai Diberi Kerajaan Boleh Merancakkan Ekonomi Setempat

Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang berjumlah RM 250 billion yang dikatakan mampu memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. Pakej rangsangan dengan cara pemberian baucer tunai ini, yang pertama kali dipelopori oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato Seri Najib Razak ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

Tapi pernah tak anda semua terfikir, kenapa kerajaan bagi duit dalam bentuk tunai? Apa kesan pemberian ini kepada ekonomi, sebenarnya?

Menggunakan idea Makcik Kiah yang meniaga goreng pisang dan tinggal di rumah PPR di Desa Tun Razak. Pendapatan bulanan Makcik Kiah, di waktu musim wabak dan ketikamana orang ramai sedang berkurung di rumah ini sudah pastinya terjejas, maka Makcik Kiah layak mendapat bantuan kerajaan sebanyak RM1,600, kerana pendapatan keluarganya kurang dari RM4,000 sebulan.

Maka sekarang, kita bermula dengan wang yang diberikan oleh kerajaan kepada Makcik Kiah, yang berjumlah RM1,600.

Katakan Makcik Kiah berniat untuk menyimpan 40% dari wang yang dia dapat, dan menggunakan 60% lagi baki wang yang diberikan kepadanya untuk membeli barang keperluan. Maka soalan saya : Berapa banyak jumlah wang yang telahpun digunakan oleh Makcik Kiah?

Jawapannya, 60% daripada RM1,600 adalah RM960. Makcik Kiah telahpun membelanjakan RM960 dari wang yang dia perolehi, dan dia belanjakan ke kedai Pak Man.

Kini, Pak Man mendapat pendapatan RM960 hasil daripada perbelanjaan Makcik Kiah itu tadi. Katakan, sama seperti Makcik Kiah, Pak Man juga menyimpan 40% dari pendapatannya, dan membelanjakan 60% pendapatannya ke dalam ekonomi tempatan. Ini bermakna, 60% dari RM960 tadi akan disuntik semula ke dalam ekonomi, dan nilai wang ini adalah RM576 yang akan dibelanjakan.

Untuk kes yang seterusnya, Pak Man membelanjakan RM576 ini ke kedai Uncle Muthu, dan wang ini kemudiannya bertukar menjadi pendapatan Uncle Muthu. Kini, Uncle Muthu meneruskan idea yang sama seperti Makcik Kiah dan Pak Man, menyimpan 40% wang pendapatannya dan menggunakan 60% untuk berbelanja, hal ini akan menjadikan perbelanjaan Uncle Muthu sebanyak 60% dari RM576, iaitu RM345.60.

Jika anda dapat menangkap contoh yang telah saya berikan, contoh ini mempunyai satu corak yang konsisten. Katakan wang yang diterima pada asalnya berjumlah RM1,600, dan kemudian digunakan secara konsisten sebanyak 60% untuk perbelanjaan, kita boleh menulis perbelanjaan ini dalam bentuk matematik

  • Perbelanjaan=0.6 ×Hasil Pendapatan
  • Perbelanjaan Makcik Kiah=0.6 ×RM 1 600=RM960
  • Perbelanjaan Pak Man=0.6 ×RM 960=RM576
  • Perbelanjaan Uncle Muthu=0.6×RM576=RM 345.60

dan sekiranya trend ini diteruskan oleh orang-orang selepas mereka, dengan konsisten menyimpan 40% dari pendapatan dan 60% dari pendapatan itu mereka gunakan untuk berbelanja, kita boleh mengira jumlah transaksi wang yang terhasil, atau wang yang telah “berpindah tangan”.

Jumlah wang yang telah digunakan oleh ahli masyarakat

=RM960+RM576+RM345.60+?

Sekiranya anda pernah belajar Matematik Tambahan sewaktu di tingkatan 5, anda mungkin perasan bahawa “Jumlah wang yang telah digunakan oleh ahli masyarakat” ini  sebenarnya merupakan sebahagian daripada Turutan (Series), dan ia merupakan satu Turutan Geometrik (Geometric Progression) dengan nisbah, r (ratio) antara terma adalah 0.6 dan terma pertama, a adalah RM960.

Menggunakan formula Turutan Geometrik, saya mampu mengira jumlah wang yang telah digunakan,

Perbandingan

Baiklah. Sekiranya anda sedar, wang yang mula-mula diberi kepada Makcik Kiah adalah sebanyak RM1,600, namun hasil dari perbelanjaan Makcik Kiah dan orang ramai yang konsisten menggunakan 60% dari wang yang mereka terima, jumlah wang yang telah digunakan dan dipusingkan dalam putaran ekonomi setempat telah bertambah menjadi RM 2,400. Eh, apa ni? Silap mata ke?

Dalam ekonomi, fenomena ini dipanggil sebagai Pengganda Pendapatan (Income Multiplier). Dalam bidang Makroekonomi, pengganda pendapatan ini merujuk kepada kebolehupayaan wang (dalam kes ini RM1,600) untuk berfungsi dengan nilai yang lebih besar dari nilai asalnya (dalam kes ini RM800 lebih dari nilai asalnya) dalam aktiviti ekonomi.

Pengganda Pendapatan ini pertama kali diperkenalkan oleh Richard Kahn pada tahun 1930, dan merupakan salah satu tunjang utama kepada salah satu model teori ekonomi yang dipanggil Ekonomi Keynasian (Keynesian Economics Theories). Secara umumnya, pengganda Keynasian (Keynasian Multiplier) ini bertujuan untuk meningkatkan lagi aktiviti ekonomi, sekaligus merancakkan dan memacu ekonomi setempat.

Mungkin model Keynasian ini adalah model sama yang sedang digunakan oleh Perdana Menteri kita dalam menangani masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat – peniaga tidak mampu berniaga, orang ramai sendiri sedang takut untuk berbelanja, dan lebih tertumpu untuk menyimpan wang buat jaminan masa depan.

Hal yang baru diperkatakan ini juga sebenarnya menunjukkan salah satu kelemahan yang wujud dalam model ekonomi Keynasian. Dalam kes yang telah kita bincangkan, kita melihat peri pentingnya orang ramai untuk terus menggunapakai wang – bagi membolehkan wang tersebut bergerak dalam pusingan ekonomi tempatan. Sekiranya pergerakan wang tersebut terputus (salah seorang ahli masyarakat bertindak menyimpan 100% wang yang dia dapat), wang tersebut tidak dapat membawa nilai yang lebih kepada aktiviti ekonomi masyarakat setempat, dan ini mungkin menjejaskan hasrat awal kerajaan menyuntik wang tersebut.

Satu lagi kelemahan dalam model ini adalah putaran wang yang dianggap akan berlaku 100% dalam komuniti tempatan. Hal ini adalah dalam situasi ideal, sedangkan sekiranya kita bersikap realistic, suka atau tidak, wang kita akan “terkeluar” dari putaran ekonomi tempatan, sama ada apabila kita membeli barangan luar negara (dalam kes ini, duit tersebut akan “bocor” ke luar negara) ataupun apabila warga asing mendapat wang tersebut dalam transaksi jual beli dan kemudian menghantar wang tersebut ke luar negara (sekali lagi, duit kita “bocor” ke luar negara).

Dalam kes ini, antara nasihat yang perlu kita amalkan adalah jangan berhenti berbelanja secara drastik, kerana dalam rezeki anda mungkin ada rezeki orang lain. Sebaliknya siapkan sebahagian dari pendapatan anda untuk simpanan, dan sebahagian lagi untuk perbelanjaan, dan sewaktu berbelanja, belilah barangan buatan Malaysia. Anda akan membantu bukan hanya seorang dua masyarakat Malaysia, bahkan anda juga sebenarnya sedang membantu Malaysia sendiri, dari segi ekonomi.

Sekian.

P/s: Tulisan ini adalah sekadar oversimplification kepada Teori Ekonomi yang sebenar. Artikel ini sesuai dibuat bacaan umum sahaja, dan bukan diambil sebagai satu kerja yang layak dibuat sebagai rujukan khusus.

Rujukan:

Pakej Rangsangan Ekonomi ke-2 oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin – https://www.facebook.com/watch/?v=262613064737421&external_log_id=ffe8b298227bda2a6d9fc00ab303fe8e&q=muhyidin

https://www.facebook.com/ts.muhyiddin/photos/pcb.2880265792051961/2880263468718860/?type=3&theater

“What is the Keynesian multiplier?”, oleh The Economist https://www.economist.com/the-economist-explains/2016/09/07/what-is-the-keynesian-multiplier

 “What is an Income Multiplier?”, oleh Steve Lander – https://finance.zacks.com/income-multiplier-10007.html

“What is Keynesian Multiplier?”, oleh Andrew Beattie – https://www.investopedia.com/ask/answers/09/keynesian-multiplier.asp

 “Geometric Progression, Series & Sums.” – http://mathematics.laerd.com/maths/geometric-progression-intro.php

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts