Bayangkan, tengah PKP ni, tetiba kerajaan mengumumkan “semua restoran boleh beroperasi seperti sedia kala dan pelanggan boleh makan di restoran”. Anda dengan keterujaan dua bulan tak makan luar, bergegas ibarat mercun roket untuk ke kedai nasi kandar yang berada 200 meter di depan rumah anda.
Anda yang begitu kempunan tak makan luar, memesan nasi kandar ayam goreng berempah xtra spesel yang umami, juicy, pedas dan kaw. Huffff berasap-asap ayam dia. Ketika anda sedang menggigit dan menikmati krap-krup rangup drumstick, anda terfikir macam mana kedai-kedai makan yang lain mampu memenuhi permintaan orang yang kebulur macam anda untuk senantiasa menikmati ayam, daging yang paling versatile Allah ciptakan?
Di Twitter, seorang pengurus syarikat pembekal dan penternak ayam yang bernama Aiman Syafiq (@aiman_997; baru berusia 22 tahun tau!) telah berkongsi bersama para warga net fasal rantaian bekalan (supply chain) ayam segar sehingga ke restoran kegemaran anda mahupun kedai menjual daging ayam.

Anak laa ayamm
Orang selalu bergaduh tentang apa yang datang dahulu, ayam atau telur? Itu semua persoalan yang memeningkan kepala, yang anda perlu tahu, permulaan ayam segar pun daripada pusat tetasan, dan pusat tetasan ini berbeza daripada pusat penternakan.
Pusat tetasan hanya membekalkan anak ayam kepada para penternak, dan menurut Aiman, mereka membeli ayam berumur 1 hari (Day Old Chicken; DOC) pada setiap hari. Baka ayam yang digunakan ialah ayam broiler (ayam pedaging; Gallus gallus domesticus). Ayam baka ini merupakan hasil pembiakan silang yang dilakukan lebih kurang 100 tahun lepas. Pada mulanya yang dibiaksilangkan ialah daripada baka ayam Cornish dan Plymouth Rock atas faktor pembiakan yang mudah, banyak dan daging yang lebih lumayan. Namun, ayam pedaging yang moden adalah sangat berbeza dengan baka silang Cornish-Rock yang asal, kerana terdapat baka lain juga digunakan untuk kepelbagaian dan menguatkan sifat baka.

Seperti norma kehidupan, anak-anak memang banyak songeh, dan anak ayam tidak terkecuali. Mereka memerlukan suasana yang optimal bagi menjalani tumbesaran yang terbaik seperti suhu, makanan malah kelembapan suasana broiler room (reban besar).
2 minggu yang terawal ayam adalah saat-saat yang terpenting bagi membenarkan anak ayam mencapai cita-citanya untuk menjadi ayam segar yang berjaya. Hal ini kerana, ini merupakan zaman mereka belum lagi mampu untuk mengawal proses metabolik badan, lantas menyukarkan mereka untuk mengawal suhu badan.
Masalah ini dihadapi kerana ketiadaan ibu ayam untuk memeluk mereka dan keadaan reban yang tertutup, tanpa matahari. Oleh itu, di reban, mereka akan dipancarkan dibawah cahaya lampu yang agak panas bagi menggantikan dakapan ibu ayam yang hangat.
Suhu reban seharusnya dijaga rapi supaya berada sekitar 34-35°C. Sekiranya suhu terlebih, anak ayam panting (mencungap-cungap) untuk mengeluarkan haba. Ini bukan sahaja menyebabkan anak ayam akan kekurangan air, tapi juga menyebabkan mereka tidak lalu untuk makan lantas menyusutkan berat badan mereka.

Selepas lebih kurang 4 minggu, ayam yang telah selamat bergraduasi daripada perindukan, akan menjadi ayam yang sihat, berjaya dan sedia untuk dihantar ke tempat-tempat yang sepatutnya.
Logistik
Sebelum nak naik “flight” ke institusi-institusi gastronomi yang seterusnya, ayam-ayam ini perlu ditangkap dan dibakulkan. Dalam dua jam, ladang Encik Aiman boleh membakulkan 4416 ayam bersamaan 368 bakul ataupun satu lori penuh. Kemudian, ayam-ayam ini akan dihantar ke pusat penyembelihan di mana ayam tersebut akan diproses untuk menjadi daging yang akan disulam indah dengan ramuan oleh chef, tukang masak yang pakar mahupun anda sendiri di dapur.

Setiap pusingan proses yang berlaku daripada mula sehingga akhir di ladang ternakan Encik Aiman akan mengambil masa dua bulan, dan menghasilkan 600,000 ribu ekor ayam. Ini bermakna ladang Encik Aiman mampu menghasilkan 3.6 juta ekor ayam setahun. Satu ladang sahaja sebenarnya tak cukup memandangkan orang Malaysia memakan 1.8 juta ekor ayam SEHARI!
Pertaniaan ialah perniagaan dan ilmu
Kami di Ajar sangat berterima kasih atas kesudian Encik Aiman Syafiq untuk membenarkan kami berkongsi ciapan miliknya bagi menyediakan artikel ini. Seperti yang anda telah baca, pertanian bukan sahaja satu perniagaan yang mampu untuk menguntungkan ummah, namun juga memerlukan ilmu yang luas supaya ayam-ayam ini mampu diternak dengan optimal, rahmah dan berperikemanusiaan.

Berikut ialah saluran Youtube Encik Aiman di mana beliau berkongsi mengenai ladangnya, jemput subscribe dan belajar daripada beliau: https://t.co/PSETfjRleK?amp=1 .
Kami mendoakan agar lebih ramai umat Islam mencebur bidang perniagaan dan membuang stigma masyarakat bahawa pertaniaan hanya melayakkan seseorang itu terporok di kampung. Tanpa penternak macam Encik Aiman, awak tak makan tau!
Rujukan
- Bebenang Twitter asal : https://twitter.com/aiman_997/status/1265685596564946946?s=20
- Fairchild, B., Environmental Factors to Control when Brooding Chicks, University of Georgia
- Damerow, G. 1995. A Guide to Raising Chickens.
- Rakyat Malaysia Makan 1.8 Juta Ekor Ayam Sehari, Telur 2.8 Juta Biji: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/07/19/rakyat-malaysia-makan-1-8-juta-ayam