Menariknya Ilmu Falak! Ini 5 Perkara Kita Patut Tahu Tentangnya

Ilmu falak ialah satu ilmu yang mengkaji tentang pergerakan jasad-jasad di langit seperti Bulan, Matahari dan bintang. Perkataan falak itu kadang-kadang di tukar kepada astronomi. Kedua-dua bidang ini mempunyai kaitan yang rapat, namun ada sedikit perbezaan antara kedua-duanya iaitu dari sudut aplikasi. Dalam artikel ini, kita akan gunakan kedua-duanya dengan maksud yang sama. Ilmu falak biasanya dikaitkan dengan ilmu yang dikembangkan pada zaman keemasan Islam di Baghdad pada era Abbasiah. Kajian tentang pergerakan objek-objek samawi ini telah pun bermula sebelum itu. Malah, tidak diketahui bilakah ilmu ini bermula. Apabila umat Islam mencapai kegemilangan, ilmu ini berkembang dengan sangat pantas. Ini kerana banyak perkara ibadah dalam Islam, memerlukan ilmu ini untuk disempurnakan. Perkara-perkara ibadah ini juga penting untuk kita hari ini terutamanya yang beragama Islam. Oleh itu, saya akan berkongsi 5 perkara penting dalam ilmu falak ini.

Pelayaran dan Pengembaraan

Sejak sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab di Semenanjung Arab, banyak mengembara di padang pasir bagi urusan perniagaan. Begitu juga dengan masyarakat dalam tamadun-tamadun lain. Pengembaraan memerlukan arah petunjuk yang betul sebelum perjalanan dimulakan. Bagi menentukan arah ini, seseorang pengembara perlu memahami petunjuk-petunjuk yang berkaitan seperti kedudukan lokasi tempatan, kedudukan Matahari, dan kedudukan bintang. Pelayaran telah pun wujud sebelum kedatangan islam terutamanya di Laut Meditterannean. Namun apabila Islam tersebar, para pendakwah Islam mula berlayar ke laut lepas seperti ke India dan Asia Tenggara. Pelayaran di laut lepas lebih mencabar berbanding di daratan kerana petunjuk arah hanya boleh dikenal pasti melalui kedudukan bintang, sebelum penciptaan kompas. Ahli-ahli falak lah yang membantu menghasilkan panduan bagi memastikan pelayaran ini berjaya sampai ke destinasi.   

Penentuan Gerhana Matahari dan Bulan

Kegunaan pertama ilmu falak ialah untuk menentukan waktu berlakunya kejadian gerhana Matahari dan gerhana Bulan. Gerhana Matahari berlaku apabila bulan berada betul-betul di antara Matahari dan Bumi. Cahaya Matahari yang menimpa Bumi, dihalang oleh Bulan. Kejadian gerhana matahari ini hanyalah berlaku ketika fasa bulan baru iaitu ketika ‘ijtimak’ atau ‘conjunction’ antara Matahari dan Bulan seperti yang dilihat oleh pemerhati di Bumi. Gerhana Bulan pula berlaku apabila Bumi berada betul-betul di antara Matahari dan Bulan. Kekerapan berlakunya gerhana ini boleh dikira dan dihitung menggunakan ilmu falak ini.

Susunan Kalendar

Apabila kita hendak merancang sesuatu aktiviti, kita perlukan dua perkara iaitu tempat, dan juga waktu. Waktu. Bagaimana ia ditentukan? Waktu ini boleh dibahagikan kepada tarikh, dan juga masa. Masa boleh ditentukan dengan jam, dan perbincangan mengenainya tidak akan disentuh di sini. Tarikh pula, ditentukan menggunakan kalendar. Terdapat pelbagai jenis kalendar yang digunakan. Secara umumnya, ada 3 jenis kalendar iaitu kalendar bulan, kalendar Matahari, dan kalendar matahari-bulan. Bagi sarjana falak muslim, sistem kalendar ini menjadi motivasi untuk mengkaji bidang falak ini kerana ia melibatkan ibadah seperti waktu puasa dan waktu raya. Kalendar Hijri yang digunakan, adalah berdasarkan kitaran Bulan. Pada akhir bulan, para ahli falak akan mencerap anak bulan untuk menentukan bulan baru.

Waktu Solat

Seseorang muslim, wajib baginya melengkapkan 5 rukun Islam. Salah satunya ialah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Kewajiban melaksanakan solat ini adalah suatu yang baharu yang tidak diwajibkan kepada tamadun-tamadun sebelum itu. Oleh itu, para ilmuan falak dalam kalangan umat Islam menghabiskan masa mereka mengkaji berkenaan waktu-waktu solat supaya waktu-waktu ini dapat dihitung dengan lebih tepat. Pada hari ini, kita tidak begitu menghargai penentuan waktu solat ini kerana semuanya telah terpampang dalam aplikasi telefon, atau takwim hijri. Semuanya tersedia. Namun penentuan waktu solat ini, memerlukan kajian yang teliti terhadap pergerakan Matahari setiap hari, sepanjang tahun. Kajian mengenai waktu solat ini sentiasa berterusan dan dapat dilihat pada tahun 2019 apabila berlakunya perubahan waktu Subuh hasil dapatan kajian mengenainya.

Arah Kiblat

Apabila kita berbicara mengenai solat, kita tidak akan terlepas berkenaan dengan isu arah kiblat. Antara syarat sah solat ialah menghadap ke arah kiblat. Arah kiblat pula merujuk kepada arah ke Kaabah dari kedudukan tempatan mengikut jarak terpendek. Arah kiblat tidak begitu menjadi isu ketika penyebaran Islam masih lagi dalam lingkungan semenanjung Arab. Apabila Islam mula berkembang ke serata dunia terutamanya di Eropah dan Asia, penentuan arah kiblat ini mula dibincangkan. Bagaimana kita nak tentukan arah kiblat ini di tempat yang jauh dari Makkah? Haa. Ahli-ahli falak sudahpun mengkaji mengenai kedudukan Makkah berdasarkan geometri dan juga kedudukan Matahari dan bintang. Kita akan lihat dengan lebih lanjut dalam artikel yang mendatang, InsyaAllah.

Kesimpulan

Ilmu falak ini bukan sahaja merangkumi 5 perkara di atas, malah ia lebih luas dari itu. Pada hari ini, ilmu falak dan astronomi telah merevolusikan teknologi yang ada pada hari ini. Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), sistem telekomunikasi, dan banyak lagi teknologi moden hari ini adalah berdasarkan perkembangan ilmu-ilmu ini. Jika kita perhatikan sejarah, tamadun yang menguasai dunia seperti Greek, Rom, tamadun Islam dan tamadun barat hari ini, mereka semua menguasai ilmu matematik dan ilmu astronomi. Oleh itu, marilah kita kuasai kedua-dua ilmu ini supaya kita dapat mendominasi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts