Bila disebut kisah cinta yang tragis pasti terlintas kisah Uda dan Dara, Romeo dan Juliet, atau Laila dan Majnun. Kisah cinta yang tidak kesampaian. Membawa Sang Pencinta duka, derita dan lara hingga akhir usia. Ini kisah-kisah tentang manusia. Haiwan juga ada kisah-kisahnya yang tersendiri. Kisah tentang Sang Pasangan mencari-cari Sang Pelengkap hidup agar kehidupan yang dilalui lebih bermakna. Dibawah merupakan kisah ikan paus dan mentadak dalam mencari cinta dan berakhir dengan tragedi.
KISAH IKAN PAUS PALING SUNYI DI DUNIA

Pada tahun 1989, pasukan tentera laut Amerika Syarikat cuba merekod bunyi dalam lautan yang dalam. Dengan harapan dapat mengumpul maklumat tentang pergerakan kapal selam musuh terutama Rusia tetapi mereka telah merekod bunyi dalam laut yang sangat unik. Bunyi ini didengar lagi pada tahun 1990 dan 1991. Dengan berakhirnya perang dingin pada tahun 1991, maka tahun 1992 bunyi ini mulai tidak lagi menjadi rahsia tentera laut Amerika Syarikat. Bunyi ini ialah bunyi pada frekuensi 52 Hz. Hasil kajian Woods Hole Oceanographic Institution bunyi ini dihasilkan oleh seekor ikan paus biru yang sedang memanggil atau menarik pasangan dari jantina berlainan untuk mengawan. Masalahnya spesies ikan paus biru semuanya menghasilkan bunyi dalam laut dengan frekuensi bunyi antara 10 hingga 39 Hz.
Memang sesuatu yang pasti dalam dunia ikan paus, spesies tertentu hanya akan menjawab panggilan ikan paus yang lain jika panggilan dan bunyi itu dihasilkan pada frekuensi yang tertentu sahaja. Jika tidak pada frekuensi itu, ikan paus tidak akan menjawab. Oleh itu, panggilan 52 Hertz ikan paus biru ini tidak dijawab oleh mana-mana ikan paus. Sejak dari 2014, setiap tahun, bunyi 52 hertz ini direkod. Ikan paus 52 hertz ini kelihatan tidak berputus asa mencari pasangan saban tahun. Disebabkan perkara ini, ikan paus ini dipanggil ikan paus paling sunyi dalam dunia.
KORBAN KASIH SANG JANTAN MENTADAK

Apabila sampai usia matang, mentadak betina akan membengkokkan badannya menyebabkan bahagian abdomen mentadak meninggi. Mentadak betina kemudian akan menghasilkan feromon (bahan kimia) yang menarik dan menjerat sang jantan untuk mendekat. Mentadak jantan akan mulai datang mendekat dari depan untuk melihat jelas sang betina. Pada waktu ini, mentadak betina akan kaku tidak bergerak. Ada jenis spesies mentadak jantan akan melakukan tarian mengawan dimana mentadak jantan akan bergerak dengan cepat dalam keadaan bulatan untuk menunjukkan kepada sang betina mereka layak untuk menjadi pasangan mengawan. Tanpa mentadak jantan ini sedar mungkin ini tarian yang terakhir. Mentadak jantan kemudian akan naik ke atas badan sang betina. Bahagian organ pembiakan mentadak betina dan jantan kini sudah bercantum di mana sperma mulai masuk ke dalam organ pembiakan sang betina.
Mentadak jantan akan cuba memegang bahagian badan mentadak betina tanpa dia sedar sang betina mulai memusingkan badan dan kepalanya, dan mulai menggigit kaki depan mentadak jantan. Kemudian mentadak betina mulai menyerang leher mentadak jantan, cuba untuk diputuskan bahagian kepala. Mentadak jantan cuba menolak untuk melepaskan diri tetapi sang betina yang lebih besar, kuat dan rakus menggagalkan usaha mentadak jantan. Dalam cubaan ini, mentadak jantan kini mulai digigit dari bahagian kepala pula. Dari gigitan mentadak betina ini, dia mulai mengunyah dan memakan daging bahagian tangan dan kepala mentadak jantan. Untuk menguatkan lagi penguasaan terhadap mentadak jantan, sang betina menggunakan kaki depan berupa sepit untuk menghalang sang jantan melepaskan diri. Akhirnya, mentadak jantan putus bahagian kepalanya. Ajaibnya sperma dari mentadak jantan masih mengalir masuk ke dalam sang betina. Di sini mentadak betina selain memperoleh sperma, dia juga memperoleh makanan dari tingkahlaku kanibalnya memakan mentadak jantan.
Kesimpulan
Inilah sedikit dari kisah jutaan haiwan yang diciptakan Tuhan. Penuh keunikan dan misteri. Pasti kita pernah mendengar kisah ini, sedikit sebanyak sama dengan kisah manusia. Ada yang masih tercari-cari cinta hati tetapi tidak dijumpai. Ada juga sudah dijumpai tetapi terjerat, dijerat oleh kesengsaraan sepanjang hayat. Begitulah kehidupan yang singkat ini, Tuhan uji dalam melihat selayak mana kita untuk ditempatkan dalam kalangan para Nabi, syuhada dan golongan beriman.
Rujukan
- Happy (2020). Blue whales singing a new type of song have been discovered in the Indian Ocean, https://happymag.tv/blue-whales-new-song/
- Wikipedia (2021). 52-hertz whale, https://en.wikipedia.org/wiki/52-hertz_whale
- Inews (2021). In order to avoid being eaten after mating, the male praying mantis finally evolved a special skill. https://inf.news/en/animal/7a398d6cde9e59cc408c5c8c7c1f80b6.html
- Sarah Tung (2010). Top 10 Weird Insect Mating Rituals, http://content.time.com/time/specials/packages/article/0,28804,2010939_2010938_2010932,00.html
- Debbie Hadley (2019). Praying Mantis Mating and Cannibalism. https://www.thoughtco.com/praying-mantis-sex-and-male-cannibalism-1968472