DEKAT MUKA PUN ADA KUTU?!

Kutu merupakan spesies organisma yang kecil tetapi tidak dikategorikan sebagai serangga.

Ya, benar. Kutu bukan serangga kerana ciri-ciri serangga tidak ada pada fizikal seekor kutu.

Kutu datang daripada filum Arthropoda, iaitu satu kluster kumpulan besar dimana terdapat juga pecahan kumpulan dalaman seperti insecta (serangga), crustachea (udang) dan araknida (labah-labah).

Umumnya, kutu yang berinteraksi dengan manusia diketahui sebagai binatang yang hidup di kawasan rerambut tebal seperti di kepala dan di badan haiwan yang berbulu. Namun, terdapat juga kutu tinggal di kawasan kulit mamalia yang lain dan lebih tepatnya dikawasan liang roma muka.

Demodex spesies adalah kutu yang telah lama hidup bersama dengan spesies mamalia. Terdapat dua spesies Demodex yang ada pada manusia iaitu Demodex folliculorum dan Demodex brevis. Spesies Demodex diketahui sebagai spesies arthropoda yang paling kecil pernah dijumpai dan dikesan sebagai ‘parasitic mites’.

Demodex folliculorum dan Demodex brevis

Kedua-dua spesies ini sangat umum dijumpai di sekitar muka manusia. Penemuan spesies ini pula telah terjadi pada tahun yang berbeza iaitu Demodex folliculorum (1842) dan Demodex brevis (1963). D. folliculorum dijumpai tinggal di dalam liang-liang roma (fair follicle) manakala D. brevis tinggal di kawasan kelenjar sebum yang berhubung dengan liang roma.

Kutu muka kelihatan agak ‘alien’ berbanding spesies kutu lain yang kita jumpa. Badannya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mempunyai lapan pasang kaki dan juga kepala. Bahagian kedua pula sangat panjang. Saiz badan Demodex hanya antara 0.3-0.5 mm sahaja.

Selain itu, warna tubuh badan pula agak lut cahaya sehinggakan kutu ini memilih untuk bergerak hanya pada waktu malam bagi mengelakkan terkena cahaya matahari. Kelajuan pergerakan pula hanyalah 8-16 cm per jam.

Sumber Makanan Dan Pembiakan

Apakah yang dimakan oleh kutu muka untuk hidup?

Kutu muka bukanlah spesies alien yang akan makan jantung manusia semasa kita tidur. Spesies ini hanya makan minyak dan sel-sel muka. Antara kawasan ‘hot spot’ di muka adalah bulu mata, pipi, kening dan dahi. Ada juga bukti bahawa kutu ini boleh berada di tempat lain seperti tengkuk, bulu badan dan kawasan kemaluan.

Dalam aspek pembiakan, Kutu Demodex mampu bertelur 15-20 biji telur sepanjang hidup. Ini kerana, kutu yang dewasa hanya hidup lebih kurang 3 minggu sahaja. Kawasan bersalin kutu ini adalah di dalam liang roma. Apabila terlalu banyak sisa-sisa telur yang menetas di kawasan liang roma, maka kawasan tersebut akan tersumbat.

Imej daripada mikroskop electron. (Sumber : EYE OF SCIENCE/SCIENCE SOURCE)

Bagaimana Kutu ini Diwariskan?

Manusia dilahirkan tanpa kutu namun kita mewarisi kutu muka ini sejak 3 juta tahun terdahulu lagi. Boleh dikatakan kita semua mempunyai hubungan kekeluargaan melalui kutu muka. Apabila seorang bayi lahir, kutu daripada ibu, ayah, saudara mara akan dipindahkan melalui sentuhan kepada bayi tersebut.

Kesan Serangan Demodex spp.

Terdapat pelbagai industri kosmetik yang dilihat mengeluarkan pelbagai produk untuk membasmi kutu muka. Adakah ini bermaksud kutu muka sangat berbahaya dan kita wajib membeli produk tersebut?

Kehadiran kutu muka tidak merbahaya kepada manusia. Kalau berbahaya, sudah lama kita menghadapi ‘Pandemik Kutu Muka’. Kutu muka hanya akan memberikan ancaman kepada kita apabila populasinya terlalu banyak dan apabila seseorang itu mempunyai jenis kulit sensitif.

Kesan umum apabila terjadi serangan Demodex adalah kulit kemerah-merahan, kegatalan pada kulit dan ekzima. Jika terdapat banyak aktiviti Demodex dikawasan bulu mata, pesakit akan merasai kegatalan disitu dan kelihatan cecair yang mengeras (keratinization) di sekitar bulu mata.

Kutu muka berkumpul dikawasan bulu akar bulu mata (Demodex blepharitis)

Cara umum untuk menghalang muka kita dijajah oleh Demodex adalah dengan membasuh muka dua kali sehari menggunakan pencuci muka yang lembut. Kita juga boleh menggunakan ‘Tea tree oil’ pada kawasan yang mengalami kegatalan. Gunakan produk yang sesuai seperti direkomendasi oleh syarikat kosmetik. Jika terdapat serangan yang lebih teruk, segeralah bertemu dengan pakar kulit. Anda juga digalakkan membasuh bantal, selimut, penutup mata dan tuala muka dengan kerap.

RUJUKAN

1. https://www.healio.com/news/optometry/20120225/demodex-infestation-requires-immediate-aggressive-treatment-by-doctor-patient

2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3884930/

3. https://www.sciencemag.org/news/2015/12/what-mites-your-face-say-about-where-you-came

4. https://www.medicalnewstoday.com/articles/321831#treatment

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts