HASIL TABURAN GRAF SURAH AL-QURAN YANG MENAKJUBKAN!

17 Ramadan telah dipilih oleh jumhur ulama’ sebagai hari Nuzul al-Quran. Terdapat juga beberapa ulama’ yang berpendapat bahawa peristiwa ini berlaku pada tanggal 7 Ramadan, 18 Ramadan, 21 Ramadan atau 24 Ramadan. Walaubagaimanapun, perbezaan-perbezaan ini mempunyai ijtihad tersendiri di kalangan ulama’ dan hanya Allah sahaja Maha Mengetahui kebenarannya. Walaupun demikian, kita perlu mengimani kalam Allah yang menyatakan bahawa al-Quran ini diturunkan dalam bulan Ramadan sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 185:

Maksudnya : “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara haq dan batil).”

NUZUL AL-QURAN

Nuzul al-Quran merupakan peristiwa penurunan Al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir dengan melalui dua tahap utama.

1. Al-Quran diambil oleh Malaikat Jibril di Lauh Mahfuz dengan perintah dan keizinan Allah, lalu diturunkan ke langit dunia (Baital-Izzah) secara sekaligus.

2. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W secara beransur-ansur selama 23 tahun dari langit dunia melalui Malaikat Jibril dalam beberapa cara, antaranya ialah Malaikat Jibril memasukkan ayat ke dalam hati Nabi S.A.W ketika Baginda S.A.W tidak terkesan oleh panca indera, tetapi, Baginda S.A.W merasa bahawa wahyu itu berada di dalam hatinya, dan Malaikat memperlihatkan dirinya sebagai seorang lelaki dengan menyampaikan ayat kepada Baginda S.A.W sehingga Baginda S.A.W menghafaz ayat yang diturunkan itu sebelum disampaikan kepada sahabat-sahabat Baginda S.A.W.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai wasilah utama penyampaian kalam Allah kepada umat manusia seluruhnya sebagai satu panduan kehidupan. Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Sad, ayat 29 :

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Al-Quran merupakan kitab yang begitu istimewa dan tidak tertanding dengan mana-mana kitab. Terlalu banyak keistimewaan yang terkandung dalam Kitabullah ini. Tetapi, pada artikel kali ini, saya ingin menekankan satu sisi dalam salah satu keistimewaannya iaitu mukjizat.

MUKJIZAT AL-QURAN

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’ ayat 88 :

Maksudnya: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”

Dalam kitab al-I’jaz al-Ilmi oleh Yusuf al-Haj Ahmad menyebut bahawa : “Tidak diragukan lagi bahawa sudut kemukjizatan Al-Quran al-Karim begitu pelbagai dan tepat. Dari aspek kepelbagaiannnya antara lain kemukjizatan saintifik, kemukjizatan legislatif, kemukjizatan retorik, kemukjizatan metafisik, kemudian yang terakhir kemukjizatan artistik-ilustratif. Sementara dari ketepatannya, kita boleh melihat sejumlah amaran yang dibuktikan kebenarannya oleh sains moden dari waktu ke waktu. Fakta-fakta alamiah (bahanal) mahupun imbahanal ini semakin menegaskan dan mendukung isyarat yang diberitakan al-Quran.”

Al-Quran tidak hanya terbatas pada sesuatu perkara sahaja, tetapi meliputi keseluruhan pengetahuan yang ‘haq’ atau benar, dan diterima bersama oleh fitrah, akal, dan wahyu. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menyebut bahawa Al-Quran harus dilihat bukan semata-mata sebagai sebuah kitab suci yang hanya dibaca dengan tertib, tetapi sebagai sumber ilmu, sama ada ilmu pengetahuan ataupun ilmu pengenalan.

Al-Quran sebagai satu mukjizat mampu mencabar akal manusia untuk mencari dan meyakini kebesaran Allah yang Maha Hebat dalam setiap penciptaan dan aturan sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Keunikan yang terdapat dalam penyusunan kandungan Al-Quran merupakan satu daripada pelbagai bentuk keunikan dan kehebatan yang terdapat dalam mukjizat Al-Quran.

PENYUSUNAN KANDUNGAN AL-QURAN

Beberapa pengkaji telah berusaha untuk meneliti, mendalami dan mengkaji isi kandungan Al-Quran bagi melihat keunikan dan kehebatan susunannya. Antara kajian perihal ini telah dijalankan oleh Mohd Arip Kasmo pada tahun 2010 kerana usaha beliau bagi membidas pertikaian-pertikaian orientalis Barat dan penyebar agama Kristian terhadap kebenaran Al-Quran. Manakala, bagi penulisan ini, saya merujuk kepada dapatan kajian oleh Hazwani Che Ab Rahman, Nur Asyikin Hamdan, Abdul Latif Samian dan Nazri Muslim, yang telah dilakukan pada tahun 2016.

Kajian ini terlaksana melalui kaedah pemasukan maklumat nombor-nombor daripada penyusunan Al-Quran yang melibatkan bilangan ayat, kronologi diturunkan surah, dan kedudukan nama surah (nombor surah) ke dalam perisian Microsoft Excel dan seterusnya mengarahkan graf taburan yang diinginkan.

Kajian ini adalah lanjutan daripada dapatan kajian Mohd Arip Kasmo dengan dapatan yang sangat menakjubkan!

GRAF NOMBOR SURAH MELAWAN BILANGAN AYAT BAGI SETIAP SURAH

Graf taburan pertama yang dibentuk ialah suatu graf yang melibatkan nombor atau kedudukan nama surah dan bilangan ayat bagi setiap surah dalam Al-Quran. Pemasukan maklumat pada Microsoft Excel dalam sel seperti yang ditunjukkan dalam rajah di atas.

Pemasukan nama surah yang bermula dengan surah terakhir ini dilakukan bertujuan untuk membentuk hasil yang lebih jelas kelihatan pada kedudukan yang sepatutnya. Seterusnya, Microsoft Excel diarah untuk membina suatu graf taburan berdasarkan maklumat-maklumat yang telah disenaraikan dengan paksi-x mewakili kedudukan nama surah dan paksi-y mewakili bilangan ayat bagi surah masing-masing.

Berikut merupakan hasil graf taburan tersebut :

Graf taburan yang terhasil menunjukkan surah an-Nass merupakan suatu titik yang menghampiri asalan, manakala surah al-Fatihah mewakili titik yang paling jauh kerana kedudukan surah al-Fatihah yang diletakkan dalam sel yang berada di kedudukan ke-114 dalam Microsoft Excel.

Graf taburan ini kemudiannya digunakan untuk proses seterusnya iaitu proses penyambungan titik-titik yang terlibat seperti pada rajah di bawah.

Kalimah yang terbentuk hasil daripada penyambungan titik-titik koordinat ini ialah Allah dengan ejaan jawi.

Pada sudut pandang yang sedikit berbeza, cantuman titik-titik koordinat pada graf yang sama dapat membentuk satu perkataan lain, iaitu kalimah nama pemilik junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dalam tulisan jawi.

Justeru, dua kalimah yang terhasil daripada cantuman taburan titik-titik koordinat untuk graf pertama ini merupakan dua kalimah yang terdapat pada kunci agama Islam, iaitu Syahadah.

GRAF NOMBOR SURAH MELAWAN KRONOLOGI SURAH

Graf taburan yang kedua adalah dibentuk melalui pemasukan kedudukan nama surah (nombor surah) dan kronologi penurunan surah-surah tersebut. Pemasukan maklumat pada Microsoft Excel pada sel seperti yang ditunjukkan dalam rajah tersebut.

Pada bahagian ini, hasil penelitian yang berulang kali membawa pengkaji kepada satu lagi penemuan kalimah jawi.

Pandangan kalimah yang muncul dari sudut ini masih tidak jelas seperti yang ingin digambarkan, lalu dilakukan putaran rajah 5 mengikut arah lawan jam sebanyak 90 darjah.

Nampak tak apa yang saya nampak? Subhanallah!

KESIMPULAN

Penemuan-penemuan ini merupakan bukti bahawa Al-Quran bukan kitab rekaan manusia, tetapi, ia milik Allah Yang Maha Mengatur dan Membentuk segala sesuatu. Mustahil bagi manusia untuk melakar kalimah yang amat bermakna ini, sedangkan ketika penurunan Al-Quran selengkapnya, masih belum wujud sistem nombor Muslim, kertas, atau graf taburan seperti yang wujud pada hari ini. Malah, pembangunan sistem graf ini memerlukan kepada sistem penomboran yang menunjukkan susunan dan ketepatan sesuatu perkara.

Abdul Latif Samian menyatakan bahawa penomboran kepada surah dan bilangan ayat di dalam Al-Quran menunjukkan peranan nombor yang penting bagi memastikan Al-Quran berada dalam keadaan tersusun di mana nombor merupakan makhluk Tuhan dan setiap sesuatu di alam ini semestinya boleh dinomborkan.

Sesungguhnya Allah S.W.T bersifat Maha Merancang, Maha Menghitung, Maha Membentuk dan Maha Hebat dalam setiap perkiraan yang dilakukan.

Selain itu, penemuan ini juga membuktikan bahawa Al-Quran merupakan mukjizat yang bukan semata-mata menjadi pegangan dan mentauhidkan Allah, malah merangkumi sains matematik dan penomboran yang memenuhi kehendak manusia berilmu. Malah, dalam ilmu pengkomputeran yang menguasai dunia moden hari ini turut terhasil asasnya daripada Al-Quran melalui pembuktian ahli sejarawan bahawa tokoh ilmuwan Islam, Al-Biruni merupakan pencipta komputer pertama di dunia apabila beliau menemui “0” dan angka “1” dalam formula matematiknya yang berasaskan Al-Quran.

Sesungguhnya ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab ini sudah cukup membuktikan maha luasnya ilmu Allah. Allahuakbar!

Maksudnya : “Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”. – Surah al-Kahfi : 109

Oleh yang demikian, Al-Quran merupakan kitab yang perlu dipercayai dan diimani sepenuhnya walaupun penerangan ayat-ayat Al-Quran secara rasional dan mantiknya bertentangan dengan pemikiran seseorang yang lain. Dan beriman dengan  Al-Quran merupakan salah satu daripada rukun Iman.

Seperkara lagi perkara yang perlu kita sedar bahawa di Mahsyar nanti hanya dua amalan sahaja yang akan berani berkata-kata di hadapan Allah bagi membela tuannya, iaitu puasa dan membaca Al-Quran. Maka, bagi mereka yang mengimpikan keredhaan Allah dan Syurga-Nya, sudah pasti mereka akan merebut peluang yang diberikan Allah pada saat ini di bulan Ramadan untuk berpuasa dengan erti ibadah yang sebenar dan memperbanyakkan bacaan Al-Quran bagi mendapatkan dua syafaat utama ini untuk membantu mereka bersuara di hadapan Allah tika mana semua makhluk termasuklah para Nabi dan Rasul ketika itu hanya mampu diam membisu dan tunduk ketakutan akan kedahsyatan kemurkaan Allah S.W.T.

Apakah kita termasuk dalam golongan ‘mereka’ ini? Jawablah sendiri. Muhasabah.

RUJUKAN

1. IMAN-2016-0403-05.pdf (ukm.my)

2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – BAYAN LINNAS SIRI KE-28: NUZUL AL-QURAN DAN PERPADUAN UMMAH (muftiwp.gov.my)

3. TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN – Abu Anas Madani

Total
424
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts