Ketika kita sekolah rendah dahulu, kita pernah belajar dalam subjek sains mengenai graviti. Graviti yang menyebabkan objek-objek ditarik ke Bumi. Namun, graviti bukan hanya menyebabkan objek-objek ditarik ke Bumi, malah banyak lagi perkara menarik berkenaan graviti. Oleh itu, jom kita belajar tentang 10 perkara menarik mengenai graviti!
10. Tarikan Graviti menghala ke pusat Bumi
Graviti wujud disebabkan oleh jisim dan sentiasa menghala ke arah jisim tersebut. Bumi mempunyai jisim yang sangat besar. Oleh itu, tarikan graviti Bumi sentiasa menghala ke arah pusat Bumi. Semua yang ada di Bumi, dan juga yang berdekatan dengan ruang angkasa Bumi, akan sentiasa di tarik ke arah Bumi. Air laut, kereta, bangunan, semuanya ditarik ke Bumi. Begitu juga dengan Bulan!

9. Lebih besar jisim, lebih besar graviti
Jasad-jasad yang besar seperti Matahari dan Bumi, mempunyai tarikan graviti yang sangat besar. Ini disebabkan oleh besarnya jisim Matahari dan Bumi. Antara Matahari dengan Bumi, Matahari mempunyai jisim yang lebih besar. Jadi, tarikan graviti Matahari lebih besar berbanding tarikan graviti Bumi. Sebab itu Matahari mampu menarik semua planet mengelilinginya tetapi Bumi hanya mampu menarik Bulan sahaja.

8. Semakin jauh dari sesuatu jisim, semakin kecil graviti
Sebenarnya, graviti ini bukan sentiasa wujud. Ia bergantung kepada kewujudan jisim. Dalam perkara nombor 9, semakin besar jisim, semakin besar graviti. Namun, graviti bukan sahaja bergantung pada jisim, ia juga bergantung kepada jarak dengan jisim tersebut. Semakin jauh jarak kita dengan sesuatu jisim seperti Bumi, semakin kecil tarikan graviti Bumi tersebut.
7. Graviti wujud di ISS
Eh, macam teori konspirasi pulak. Graviti tidak wujud di ISS? Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita kenal pasti dahulu serba sedikit berkenaan ISS. ISS ialah Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa yang terletak kira-kira 400 kilometer daripada permukaan Bumi. Dengan jarak ini, graviti Bumi di ISS ialah sekitar 90% daripada tarikan graviti di permukaan Bumi. Jadi, jika graviti wujud di ISS, mengapa angkasawan di ISS terapung di dalamnya? Adakah ini suatu penipuan guna skrin hijau? Jawapannya boleh di dapati dalam artikel ini [1].

6. Tiada graviti di pusat Bumi
Ini pun pelik juga. Macam mana graviti boleh wujud di ISS, tapi tak ada di pusat Bumi? Begini. Apabila kita berada di pusat Bumi, kesemua jisim Bumi ini sedang ‘melitupi’ kita dari semua arah. Setiap jisim Bumi ini, mengenakan tarikan graviti terhadap kita ke arah Bumi (yang melitupi kita). Apabila dicampurkan kesemua tarikan ini, hasilnya ialah sifar. Tidak ada langsung tarikan graviti Bumi di pusatnya!

5. Berat kita di Bumi ialah 3 kali ganda berat di Marikh
Jika berat anda yang ditimbang di Bumi ialah 60 kg (sebenarnya 600 Newton), berat anda jika ditimbang di Marikh pula hanyalah 20kg! Perbezaan ini adalah disebabkan oleh tarikan graviti di planet Marikh. Tarikan graviti di Bumi mempunyai nilai 3 kali ganda lebih kuat berbanding di planet Marikh. Oleh sebab berat ialah hasil darab jisim dengan graviti, lebih besar graviti, lebih besarlah berat anda!
4. Graviti bukan daya, tetapi kelengkungan (curvature) ruang masa
Hal ini mungkin menghairankan kita terutamanya yang pernah belajar fizik di Tingkatan 4. Dulu kita belajar, daya ini ialah F = ma. Daya sama dengan jisim darab pecutan. Graviti pula ialah jisim darab pecutan graviti, F = mg. Jadi, kenapa graviti ini bukan daya pula? Kaitan graviti dengan kelengkungan ruang masa inilah yang menjadikan Albert Einstein seorang genius. Beliau menteorikan bahawa graviti ini sebenarnya disebabkan kelengkungan ruang masa oleh tenaga dan jisim dan bukanlah sejenis daya. Teori beliau telah berjaya disahkan banyak kali, dan pada hari ini, kita juga memanfaatkan daripada teori kerelatifan am oleh Einstein.

3. Graviti boleh membengkokkan cahaya
Seperti yang kita sedia maklum, cahaya tidak mempunyai jisim. Kita suluhlah lampu stadium pun, bacaan penimbang tetap menunjukkan 0 kilogram. Jadi, kita mungkin membuat kesimpulan bahawa cahaya tidak mempunyai jisim, berat dan juga tidak dipengaruhi oleh tarikan graviti. Namun sebenarnya, cahaya boleh ditarik oleh graviti! Berdasarkan perkara nombor 4, graviti melengkungkan ruang masa. Maka, apabila cahaya menghampiri kelengkungan ini, ia akan turut terbengkok dan mengikuti bentuk ruang masa di situ. Pembengkokkan cahaya ini telah pun dibuktikan melalui banyak imej galaksi-galaksi yang dirakam oleh teleskop.

2. Graviti bergerak pada halaju cahaya
Graviti bukan sahaja dapat membengkokkan cahaya, malah ia juga bergerak pada halaju cahaya. Untuk faham dengan lebih mendalam, kita perlu lihat semula berkenaan dengan graviti dan ruang masa. Graviti daripada sesuatu jisim menyebabkan ruang masa melengkung. Apabila jisim ini bergerak, meletup, atau berlanggar, ia akan menyebabkan pergerakan pada ruang masa di sekelilingnya. Pergerakan atau ‘alunan’ ruang masa ini dinamakan sebagai gelombang kegravitian dan gelombang inilah yang bergerak pada halaju cahaya. Gelombang kegravitian ini telahpun ditemui berpuluh-puluh kali sejak tahun 2015.

1. Graviti yang ekstrim boleh menghasilkan lohong hitam (Black hole)
Anda pasti pernah mendengar tentang black hole atau lohong hitam kan? Lohong hitam ini sebenarnya terjadi disebabkan oleh amukan graviti yang tersangat kuat. Apabila tiada daya lain menghalang graviti, maka graviti akan menarik segalanya sehinggalah terbentuknya satu entiti yang dinamakan sebagai lohong hitam. Lohong hitam diketahui wujud melalui proses kematian sesebuah bintang apabila bintang tersebut kehabisan segala tenaga untuk melawan graviti. Lohong hitam ini sangat misteri dan banyak kajian dihabiskan untuk mencerap dan melihat apa yang berlaku di dalam lohong hitam. Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan lohong hitam, bolehlah baca artikel-artikel ini. [2][3][4][5]
