Perhatikan gambar – gambar di bawah.
Adakah anda perhatikan panjang garisan atas dengan bawah berbeza – beza?
Hakikatnya, panjang garisan bagi setiap bahagian A, B dan C adalah sama sahaja.

Ini adalah antara ilusi optik yang paling terkenal, yang dipanggil ilusi Muller – Lyer. Dua garisan, yang dihujungnya dua adalah anak panah yang berlainan arah.
Apabila melihat gambar ini, orang akan memiliki persepsi bahawa garisan mendatar dengan anak panah menunjuk ke luar adalah lebih pendek daripada garisan mendatar dengan anak panah menunjuk ke dalam.

Punca ilusi ini berlaku menjadi satu perbincangan mendalam. Namun pada awalnya, saintis menganggap ilusi ini berlaku pada semua orang secara sejagat, di serata dunia. Maksudnya, semua orang akan alami ilusi ini.
Akan tetapi kemudian saintis membuat eksperimen terhadap puak Afrika dan mendapati mereka tidak terpengaruh dengan ilusi tersebut.

Begitu juga, kajian terhadap bangsa – bangsa lain di seluruh dunia seperti orang Murray di Melanesia, puak Toda di India, pemburu Afrika, dan orang asli Australia mendapati mereka juga tidak berapa terkesan dengan ilusi Muller Lyer tersebut. Golongan yang paling terkesan rupa – rupanya adalah orang Barat di persekitaran industri.
Maka timbullah teori bahawa budaya anda – di mana anda lahir, dan pembawaan anda sebenarnya menentukan persepsi visual anda, termasuklah tahap ‘imuniti’ terhadap sesetengah ilusi optik.
Saintis kemudian mendatangkan beberapa hipotesis untuk menerangkan kenapa ini berlaku. Tapi masih tiada penjelasan konklusif yang disepakati.
Antara hipotesis yang ditimbulkan adalah ‘hipotesis persekitaran bertukang’, iaitu jika anda hidup di tempat yang ‘moden’ dengan reka bentuk rumah, bilik dan perabot bersudut, anda akan lebih mudah terpengaruh dengan ilusi tersebut.

Disebabkan dunia moden penuh dengan sudut dan elemen berpetak, maka andaiannya adalah persepsi mata manusia terhadap kedalaman 3D dipengaruhi suasana ini berbanding kawasan pedalaman yang kurang elemen bersudut.
Tapi kajian baru mungkin membatalkan hipotesis itu. Apabila diuji terhadap komputer yang dilatih untuk meniru persepsi mata manusia, ia juga tertipu dengan ilusi tersebut.