Pernah tak anda pegang buah oren dan bertanya: “nama ‘oren’ ni datang dari mana dulu? Warna oren ke buah oren?”
Jika tidak tertanya soalan ini di kedai buah, boleh jadi ia terkeluar dalam bilik air. Iyalah, sebab biasanya soalan – soalan pelik ini kita tertanya sewaktu sedang dicurahi pancuran air. Kecualilah kalau anda ada buah oren dalam bilik air (saya tak nak judging)
Nama oren pada buah oren ini menarik kerana ia menerangkan dirinya sendiri. Warna oren adalah sebagai mana warna pada … oren. Oren adalah kata nama (buah), dan juga kata sifat (warna) pada masa yang sama.
Bandingkan dengan istilah ‘biru laut’ atau ‘merah delima’. Kita tak panggil warna laut sebagai ‘laut’ dan warna delima sebagai ‘delima’.
Oren nampaknya merupakan satu – satunya perkataan asas untuk warna di mana tiada perkataan lain yang wujud dalam Bahasa Inggeris.
Jadi apakah jawapan bagi soalan ‘yang mana dulu, warna oren atau buah oren?’. Adakah soalan ini sebenarnya sangat mendalam dan paradoks sehingga tidak boleh dijawab?
Err .. senang saja.
Buah oren datang dulu. Warna oren datang daripada buah oren.
Di bawah adalah penjelasannya.
Soalan ini hanya berlaku dalam Bahasa Inggeris
Bagi pembaca yang cerdas, mungkin anda sudahpun menyoal bahawa “Eh, dalam Bahasa Melayu, warna oren adalah jingga“, maka disebabkan oren adalah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris ( yang dipinjam daripada bahasa lain, lebih lanjut di bawah), isu ini tidak berlaku lah dalam Bahasa Melayu.
Dalam bahasa Danish, perkataan untuk warna oren adalah orange, tetapi perkataan untuk buahnya adalah ‘appelsin’.
Buah oren dalam bahasa orang Belanda adalah dipanggil ‘sinaasappel’ – yang bermaksud epal dari China.
Malah dalam bahasa Ibrani moden, warna oren adalah ‘katom’, tetapi buah oren dipanggil ‘tapuach zahav’.
Sebenarnya, menurut teori warna yang dikemukakan pada tahun 1960 -an, konsep warna itu sendiri berbeza – beza menurut peradaban. Masyarakat moden miliki ribuan perkataan yang menerangkan warna, tetapi penduduk perkampungan asli ada yang hanya miliki dua atau tiga perkataan untuk warna.
Asal usul perkataan oren.
Pada awal abad ke 16, pedagang Portugis membawa oren manis dari India ke Eropah, dan nama warna tersebut datang daripada buah dagangan itu. Sebelum buah itu tiba, tiada warna kejinggaan seperti itu dalam spektrum warna orang Eropah.
Apabila orang Eropah pertama kali melihat buah tersebut, mereka tidak tahu bagaimana untuk menerangkan warna jingga cerah yang mereka lihat. Maka mereka memanggil buah oren tersebut sebagai ‘epal emas’ sehinggalah mereka menerima warnanya sebagai oren sebagaimana orennya buah oren.
Istilah ‘oren’ itu sendiri datang daripada perkataan Sanskrit naranga. Perkataan itu kemudian berpindah ke dalam bahasa Arab dan Parsi dan kemudian diadaptasikan ke dalam bahasa orang Eropah. Daripada ‘naranga‘ ia menjadi ‘norange‘ kemudian apabila frasa ‘a norange‘ di ulang – ulang, ia menjadi ‘an orange‘.
Maka itulah asal – usulnya dan ternyata soalan ini lebih mudah dijawab berbanding ‘mana dulu, telur atau ayam’?
Oh, dan tahukah anda, bahawa oren ada juga yang berwarna hijau?
