Pentingnya tahu perihal hazard yang membawa kepada kemalangan

Pada 30 Jun 2022, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan statistik kemalangan dan penyakit pekerjaan negara bagi tahun 2021. 

Berdasarkan statistik tersebut, sebanyak 21,534 kes kecederaan pekerjaan telah dilaporkan dengan mencatatkan kadar kecederaan kemalangan sebanyak 1.43. Daripada jumlah kecederaan tersebut, sebanyak 5330 kes dilaporkan disebabkan oleh mangsa memijak, terlanggar atau terkena objek, diikuti dengan 4,094 kes disebabkan jatuh. 

Statistik kemalangan juga menunjukkan industri pengilangan sebagai penyumbang utama kemalangan di tempat kerja dengan mencatatkan kes sebanyak 7,994 kes. 

Persoalannya, bagaimanakah kemalangan-kemalangan ini boleh berlaku?

FAKTOR BERLAKUNYA KEMALANGAN

Kemalangan boleh berlaku seandainya wujud tindak balas antara perbuatan manusia dan keadaan sekeliling yang boleh membahayakan seseorang. Konotasi hazard sering kali digunakan untuk mengenal pasti sumber atau perkara yang boleh membahayakan seseorang di tempat kerja. 

Maka, apakah sebenarnya maksud hazard

Menurut Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, hazard bermaksud sumber atau situasi yang boleh mendatangkan kecederaan, membahayakan kesihatan atau merosakkan harta benda dan alam sekitar. Kita dapat mengkelaskan hazard ini kepada tiga berdasarkan kesannya iaitu hazard kepada kesihatan (health hazard), hazard kepada keselamatan (safety hazard) dan hazard kepada alam sekitar (environmental hazard). 

Mari kita fahami lanjut perihal hazard-hazard ini.

Hazard kepada kesihatan (Health Hazard)

Hazard kepada kesihatan merupakan apa-apa agen yang boleh menyebabkan seseorang menghidapi sesuatu penyakit dengan peranan hazard ini mungkin memberi kesan secara serius atau secara akut. Hazard ini juga boleh memberi masalah yang berpanjangan (kronik). 

Hazard ini boleh memberi kesan kepada semua bahagian badan seperti paru-paru, jantung, kulit dan lain-lain. Selalunya, kita sukar mengenal pasti simptom secara langsung kerana selalunya mengambil masa untuk hazard ini memberi kesan kepada target organ. Sebagai contoh, pekerja yang bekerja di tempat bising secara berpanjangan akan mengalami gangguan pendengaran berkaitan kebisingan pekerjaan, namun selalunya pekerja akan menyedari bahawa dia mempunyai masalah pendengaran selepas beberapa tahun dia bekerja di kawasan tersebut. 

Selain itu, contoh lain bagi hazard kesihatan adalah pendedahan kepada bahan kimia berbahaya seperti penggunaan tinner dan gasolin, dan juga pendedahan kepada hazard biologi seperti terdedah kepada virus, bakteria dan binatang pembawa penyakit. Di samping itu, ejen fizikal yang boleh memberi kesan kepada badan seperti radiasi juga boleh dikategorikan dalam kumpulan ini. Sebagai contoh radiasi dikategorikan sebagai karsinogen yang mampu menganggu genetik dalam badan sehingga menyebabkan berlakunya perubahan pada badan seseorang.

Gambar 2: Contoh kerja bising yang boleh menyebabkan masalah pendengaran di tempat kerja (sumber: https://www.hseblog.com/the-effects-of-and-protective-measures-for-exposure-to-excessive-noise/ )

Hazard kepada keselamatan (Safety Hazard)

Hazard keselamatan pula merupakan sebarang sumber mempunyai daya yang boleh menyebabkan kecederaan atau kemusnahan harta benda. Selalunya kesan daripada hazard ini dapat dikenal pasti oleh mata kasar kerana kesannya berlaku secara langsung. Sebagai contoh, seorang pekerja memotong kayu dan pisau tersebut terkena pada jarinya menyebabkan luka. 

Selalunya hazard ini berbahaya kerana langkah kawalan tidak diambil secara mencukupi. Contoh lain bagi hazard dalam kategori ini adalah kes tersadung dan terjatuh, kebakaran, bahagian mesin yang bergerak, bekerja di tempat yang tinggi dan bekerja di tempat yang bertekanan tinggi. Kemalangan yang berlaku disebabkan hazard ini boleh menyebabkan luka kecil sehinggalah menyebabkan kematian.

Gambar 3: Contoh hazard keselamatan: bahagian jentera yang bergerak
(Sumber: https://www.hseblog.com/hazards-of-moving-parts/ )

Hazard alam sekitar (environmental Hazard)

Seringkali kita terlepas pandang dalam membincangkan isu alam sekitar. Menurut JKKP Malaysia, hazard alam sekitar ialah pelepasan ke alam sekitar yang boleh menyebabkan mudarat atau kesan yang merosakkan. Selalunya kesan pelepasan ini tidak ketara kerana mengambil masa yang lama dalam memberi kesan pencemaran ke sekeliling. 

Sebagai contoh, seorang pekerja mencuci cat dalam sistem perparitan mungkin tidak akan menyedari kesan cat tersebut kepada alam sekitar. Contoh lain bagi kategori ini ialah pelepasan gas-gas beracun ke udara secara langsung oleh kilang pemprosesan bahan kimia tanpa ditapis. Perlepasan gas ini boleh memberi kesan kepada udara kita dan lapisan ozon bumi.

Gambar 4: Pencemaran udara disebabkan oleh perlepasan gas dari kilang
Sumber: https://sciencing.com/environmental-pollution-caused-by-factories-12071269.html

KESIMPULAN

Secara tuntasnya, hal ini menjadi satu kepentingan bagi kita untuk mengetahui bahaya-bahaya yang terdapat di tempat kerja. Pengetahuan yang jelas berkaitan jenis hazard yang terdapat di sekeliling dapat membantu kita menjadi lebih sensitif terhadap bahaya yang wujud di sekitar, maka secara langsung kita boleh mengambil langkah kawalan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Dengan mengetahui dan cakna akan bahaya di tempat kerja kita dapat mengurangkan jumlah kemalangan seterusnya dapat merealisasikan sifar kemalangan di tempat kerja.

Artikel ditulis oleh Saudara Muhammad Asmi Syamim, yang merupakan seorang HSE Engineer dan Pelajar Sarjana Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran.

SUMBER

  1. https://www.dosh.gov.my/index.php/legislation/guidelines/hirarc-2/1846-01-guidelines-for-hazard-identification-risk-assessment-and-risk-control-hirarc-2008/file
  2. https://www.dosh.gov.my/index.php/statistik-kemalangan-dan-penyakit-pekerjaan-negara-2021/4238-hebahan-slaid-hebahan-statistik-kemalanga-2021/file
  3. https://andrewsalin.com/hazard-risk-danger/
  4. https://www.hseblog.com/the-effects-of-and-protective-measures-for-exposure-to-excessive-noise/
  5. https://www.hseblog.com/hazards-of-moving-parts/
  6. https://sciencing.com/environmental-pollution-caused-by-factories-12071269.html
  7. https://www.imectechnologies.com/2018/02/14/contributing-factors-workplace-hazards-2/
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts