Haziq dan Peah telahpun menjadi penjenayah!
Mula berkenalan pada 18 Jun 2019, Haziq dan Peah telah berkomplot untuk merompak Bank Nilapor yang terletak di daerah Value 3, di negara District 9. Mereka merancang rompakan mereka dengan penuh teliti, bagaimana wang akan dibawa keluar, kereta apa yang akan mereka gunakan. Mereka yakin mereka akan berjaya.
Tapi ternyata, pasukan polis di daerah Value 3 lebih hebat. Tak sampai 15 minit rompakan di Bank Nilapor berlaku, Haziq dan Peah telah ditangkap, dan mereka berdua dikurung dalam dua lokasi yang berbeza.
Menurut hukum negara District 9, mereka yang ditahan kerana merompak akan dipenjara selama maksimum 5 tahun lamanya. Ini bermakna, Haziq dan Peah akan dipenjara dan masing-masing akan menerima hukuman untuk tempoh 5 tahun penjara.
Namun pihak peguam memberikan pilihan kepada Haziq dan Peah.
PILIHAN UNTUK HAZIQ DAN PEAH
Pilihannya adalah:
- Sekiranya Haziq cakap yang Peah bersalah dan Peah cakap Haziq bersalah, maka mereka berdua akan dipenjara selama 3 tahun lamanya.
- Sekiranya Haziq cakap Peah bersalah dan Peah diam, maka Haziq akan terlepas, dan Peah akan dipenjara 5 tahun lamanya.
- Sekiranya Peah cakap Haziq bersalah dan Haziq diam, maka Peah akan bebas dan Haziq akan meringkuk dalam penjara, juga untuk tempoh 5 tahun.
- Sekiranya mereka berdua diam dan tidak menuduh satu sama lain, maka mereka berdua akan dihukum penjara selama 2 tahun.
Sekiranya anda menjadi Haziq atau Peah, adakah anda akan membelot rakan anda?
PRISONER’S DILEMMA
Situasi di atas merupakan salah satu contoh konsep matematik yang dipanggil sebagai Teori Permainan (Game Theory), salah satu cabang pemodelan matematik yang melibatkan beberapa orang pemain (dalam kes ini Haziq dan Peah) yang dianggap sebagai orang yang rasional.
Teori matematik ini ada banyak aplikasinya dalam dunia sebenar, terutamanya dalam bidang ekonomi, kerana selain menganggap ekonomi sebagai satu isu yang bersifat kebarangkalian, pemain dalam bidang ekonomi (seperti pengeluar dan pembeli) boleh dimodelkan sebagai pemain yang rasional.
Orang pertama yang meneroka konsep Teori Permainan ini ialah John von Neumann, seorang ahli matematik dan juga polymath (pakar pelbagai bidang) dalam makalahnya On the Theory of Games of Strategy pada tahun 1928. Orang pertama yang menghuraikan dengan lebih mendalam tentang perkara ini ialah John Nash, ahli matematik dan juga pemenang Anugerah Nobel dalam bidang ekonomi pada tahun 1994.
Berbalik kepada situasi Haziq dan Peah tadi, adakah anda telah membuat keputusan sama ada mereka patut membelot rakan mereka atau tidak?
Menurut John Nash (dan model matematik beliau), mereka sepatutnya membelot antara satu sama lain.
Menurut John Nash, dalam konsep situasi seperti ini, apabila wujud dua pemain yang saling mempunyai kepentingan mereka sendiri, maka akan wujud satu bentuk stratergi dominan yang berpaksikan kepada Keseimbangan Nash (Nash Equilibrium), satu bentuk keseimbangan yang hadir dari model matematik tadi.
Jadi, ayuh kita modelkan situasi Haziq dan Peah tadi menjadi satu model matematik dengan angka.
PEMODELAN MATEMATIK
Kita akan letakkan angka berdasarkan kepada berapa tahun mereka akan dipenjara, dan kita akan memberi nilai negatif kerana penjara adalah suatu yang buruk (negatif).
Perlu ditekankan juga bahawa mereka tidak mampu berinteraksi antara satu sama lain, jadi mereka tidak tahu sama ada mereka dikhianati atau tidak, sampailah ke tarikh kes dibicarakan. Perlu diingatkan juga bahawa Haziq dan Peah bukan kekasih atau kawan baik. Maka, tiada masalah pun untuk mereka saling mengkhianati antara satu sama lain.
Situasi 1: Haziq dan Peah saling menuduh antara satu sama lain. Mereka (kedua-duanya) akan dipenjara selama 3 tahun. (Haziq: -3 / Peah: -3)
Situasi 2: Haziq menuduh Peah, dan Peah diam. Maka Haziq akan bebas, namun Peah akan menerima penjara maksimum 5 tahun. (Haziq: 0 / Peah: -5)
Situasi 3: Peah menuduh Haziq, dan Haziq diam. Maka Peah akan bebas, dan Haziq akan dipenjara maksimum 5 tahun. (Haziq: -5 / Peah: 0)
Situasi 4: Peah dan Haziq sama-sama diam. Pihak pendakwaan akan menghukum berdasarkan bukti yang ada, dan mereka berdua akan dihukum penjara selama 2 tahun. (Haziq: -2 / Peah: -2)
Di bawah adalah satu matriks yang kita dapat keluarkan berdasarkan situasi di atas.

Mungkin jawapan kepada soalan adakah mereka akan membelot antara satu sama lain akan memeranjatkan anda. Namun, jawapan paling rasional untuk soalan ini adalah mereka perlu membelot atau mengkhianati rakan mereka sendiri.
Hal ini adalah kerana dengan mengkhianati rakan mereka, mereka akan mendapat ganjaran yang lebih tinggi (ingat, pada asalnya mereka adalah penjenayah, dan mereka memang mengejar ganjaran sahaja).
Sekiranya mereka memahami situasi mereka, sudah tentu mereka inginkan ganjaran tempoh penjara paling pendek, iaitu 2 tahun jika mereka tidak saling menuduh, namun terdapat ganjaran yang lebih baik dari dipenjara 2 tahun, iaitu tidak dipenjarakan langsung. Maka dengan berkhianat, mereka akan mempunyai kebarangkalian sama ada tidak dipenjara (0) atau dipenjara (-3), sedangkan sekiranya mereka diam, mereka mempunyai kebarangkalian dipenjara selama 2 tahun (-2) atau 5 tahun (-5).
KESEIMBANGAN NASH (NASH EQUILIBRIUM)

Dalam kes ini, situasi di mana Haziq khianat dan Peah khianat adalah apa yang kita panggil sebagai Keseimbangan Nash (Nash Equilibrium) kerana pada situasi ini terletaknya penyelesaian yang stabil bagi setiap pemain (dengan anggapan bahawa setiap pemain adalah rasional dan objektif).
Model di atas adalah salah satu model yang bagus untuk diteroka, namun dalam dunia yang sebenar, akan berlakunya ‘personal bias’ yang akan mengurangkan kerasionalan pemain.
Sebagai contoh, mungkin kedua-dua pemain mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap satu sama lain, jadi mereka mungkin tidak akan mengkhianati rakan mereka.
Antara contoh lain adalah mungkin Haziq merupakan seorang yang berpengaruh di daerah Value 3. Maka, Peah takut untuk mengkhianati Haziq.
Justeru, model ini berguna hanya dalam keadaan ideal sahaja.
COVID-19, KESIHATAN, EKONOMI DAN KESEIMBANGAN NASH
Model Prisoner’s Dilemma ini sebenarnya boleh diaplikasikan dalam situasi semasa kita.
Semenjak COVID-19 menyerang negara kita, kita telah menempuh PKP, PKPD, PKPP dan PKPB. Ramai yang takut dengan ancaman keselamatan kesihatan yang dibawa oleh COVID-19. Namun, ramai juga yang berpandangan bahawa kita perlu membuka semula sektor ekonomi kita kerana ramai yang sengsara akibat daripada ketiadaan duit kerana tiada pekerjaan dapat dilakukan sewaktu PKP berlangsung.
Maka, kita ada situasi yang hampir sama dengan situasi di atas. Objektif utama kita adalah untuk mengurangkan jumlah kes dan penularan wabak COVID-19.
Sama seperti contoh tadi, kita akan memberi nilai matematik kepada setiap situasi. Untuk situasi yang mengekang penularan COVID-19, kita akan memberi nilai positif (+1), dan untuk situasi yang mungkin akan menambah bilangan kes COVID-19, kita akan memberi nilai negative (-1).
Pilihan kita adalah:
1. Membuka sektor ekonomi, namun ia akan meningkatkan risiko penularan wabak COVID-19 (-1).
2. Tidak membuka sektor ekonomi, dan tiada interaksi antara pekerja, tiada kluster tempat kerja, dan risiko penularan wabak COVID-19 adalah rendah (+1).
3. Membuat Perintah Kawalan Pergerakan, dan ini akan mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 (+1).
4. Tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan, dan ini akan menambah risiko penularan wabak COVID-19 (-1).
Sekiranya dilihat dari sudut kesihatan melawan ekonomi, maka matriks kita akan menjadi seperti berikut :

Melihat kepada matriks yang sama secara objektifnya, salah satu cara yang paling berkesan sebenarnya adalah dengan mengadakan PKP semula dengan sektor ekonomi ditutup (+1,+1) bagi mengekang wabak COVID-19.
Inilah Keseimbangan Nash kita, dan merupakan satu strategi yang dominan. Namun, hal ini hanyalah wujud dalam satu dunia yang ideal.
FAKTA REALITI
Di alam realiti, pemain utama bagi perlawanan menentang COVID-19 terdiri daripada pelbagai pihak seperti orang ramai, penguatkuasa, pihak kerajaan, petugas barisan hadapan dan juga pihak industri ekonomi sendiri.
Untuk orang ramai, menurut World Economic Forum, terdapat beberapa fasa yang akan kita lalui apabila terjadinya sesuatu tragedi. Untuk tragedi pandemik dalam jangkamasa yang panjang ini, kita sebenarnya telahpun melepasi fasa “honeymoon”, dan kita sekarang sebenarnya dalam fasa “second disaster”, kerana kita sekarang sedang berhadapan dengan gelombang keempat COVID-19.
Lockdown itu sendiri merupakan satu bebanan jiwa, kerana sifat manusia bukanlah untuk berterusan mengurungkan diri mereka sendiri. Mereka memerlukan interaksi sosial dan sentuhan manusia.

Justeru, adalah dapat difahami sekiranya berlaku banyak kecelaruan jiwa pada waktu ini, kerana kita semua sedang berada dalam situasi yang sama – tertekan dan terus berharap agar situasi kita akan lebih sejahtera. Kerajaan juga boleh membantu, sekiranya membuat apa-apa PKP di masa hadapan, dengan menyediakan bantuan bersasar kepada golongan yang terjejas akibat PKP.
Sektor ekonomi pula perlu faham bahawa perkembangan ekonomi juga akan terjejas akibat pertambahan bilangan kes, dan kita sendiri tidak mahu mengikut jejak langkah India yang menjadi neraka COVID-19 kerana tidak mampu mengekang wabak COVID-19.
Dengan keupayaan sektor kesihatan yang terhad, untuk kesekian kalinya, kita perlu mencuba untuk melandaikan lekukan akibat dari kes terbaru COVID-19. Kita berada dalam persimpangan – ‘The COVID Dilemma’, kerana menurut The Edge Market, ekonomi Malaysia akan runtuh sekiranya kita mengadakan PKP sekali lagi. Pada masa yang sama, katil-katil hospital semakin penuh dan petugas barisan hadapan kita semakin penat dalam menempuh gelombang baharu ini.
Kita doakan yang terbaik buat mereka, dan buat kita semua.
(Gelombang Pertama: Pelancong China. Gelombang Kedua: Kluster Tabligh. Gelombang Ketiga: PKP Sabah. Gelombang Keempat: Sekarang)
RUJUKAN
“Prisoner’s Dilemma”. Elvis Picardo, Investopedia (2021). https://www.investopedia.com/articles/investing/110513/utilizing-prisoners-dilemma-business-and-economy.asp
“Nash Equilibrium”. James Chen, Investopedia (2021). https://www.investopedia.com/terms/n/nash-equilibrium.asp#:~:text=The%20Nash%20equilibrium%20is%20a%20decision%2Dmaking%20theorem%20within%20game,the%20decisions%20of%20other%20players.
“Lockdown is the world’s biggest psychological experiment – and we will pay the price”. E. V. Hoof, World Economic Forum (2020). https://www.weforum.org/agenda/2020/04/this-is-the-psychological-side-of-the-covid-19-pandemic-that-were-ignoring/
“Covid: Lockdown loneliness could leave people ‘stuck’, charity warns”. A. Moss, R. England, BBC (2021). https://www.bbc.com/news/uk-england-56808885
“Think-tank: Total lockdown would bring Malaysia to brink of economic collapse”. A. C. Shankar, The Edge Market (2021). https://www.theedgemarkets.com/article/thinktank-total-lockdown-would-bring-malaysia-brink-economic-collapse