Lalat Cacing Skru – Serangga Mengerikan Yang Memakan Daging

Kebersihan memberi kesan besar terhadap kesihatan individu. Kebersihan merangkumi keadaan sekeliling dan diri sendiri. Apabila kebersihan tidak dijaga atau kotor ini akan menghasilkan bau yang busuk dan keadaan yang tidak selesa bagi masyarakat sekeliling. Bagi sesetengah individu ini bukanlah masalah besar. Tapi kebanyakkan orang ini mengambarkan sikap malas, pengotor dan membahayakan diri dan orang lain.

Keadaan sekeliling dan diri yang kotor akan menarik minat organisma yang terlibat dengan proses pereputan. Mereka ini memakan dan mengurai sisa-sisa makanan. Antara paling jelas muncul ialah lalat. Lalat sendiri terdapat pelbagai jenis dan spesies. Ada lalat rumah(houseflies), langau hijau(blowflies), lalat daging(fleshflies) yang memakan sisa sampah. Mereka juga bertelur pada sisa-sisa makanan. Telur ini akan menetas menjadi ulat yang akan memakan sisa-sisa makanan ini. Keadaan ini akan menambahkan populasi bilangan lalat disebabkan ulat-ulat ini akan membesar, memasuki fasa pupa dan keluar sebagai lalat dewasa. Populasi lalat yang bertambah pastinya akan menganggu penduduk setempat. Lalat juga merupakan vektor pembawa penyakit yang cukup terkenal dalam menyebabkan keracunan makanan.

Selain lalat yang disebut diatas, ada satu jenis lalat yang lagi bahaya dan mengerikan. Ini kerana lalat ini tidak bertelur di sisa-sisa makanan tetapi bertelur di badan haiwan atau manusia yang masih hidup. Masalah ini selalu berlaku pada haiwan ternakan seperti lembu, kuda, kambing dan pelbagai lagi. Lalat ini dipanggil lalat cacing skru.

Lalat cacing skru dewasa

Lalat cacing skru ini terdapat dua spesies yang terkenal iaitu lalat cacing skru dunia baru (Cochliomyia hominivorax) dan lalat cacing skru dunia lama (Chrysomya bezzinana). Nama dunia baru dan lama ini lebih merujuk kepada taburan spesies lalat ini dijumpai. Dunia lama merujuk kepada ketamadunan dunia yang lama seperti Mesir, Eropah, Iraq, Asia, Afrika manakala dunia baru lebih kepada benua Amerika yang sejarahnya lebih baru berbanding dunia lama.

Kawasan luka pada badan haiwan atau manusia akan menarik minat lalat betina dewasa untuk bertelur berhampiran kawasan itu. Lalat betina juga akan menghisap dan mengambil semua keperluan nutrien dari kawasan luka bagi memenuhi keperluan pembentukkan telurnya selepas proses mengawan dengan lalat jantan. Berbeza dengan lalat betina, lalat jantan cacing skru pula lebih memilih nektar pada bunga sebagai makanan harian. 

Lalat betina juga berpotensi besar bertelur di tepi mulut, gusi, tepi hidung dan telinga. Tempat-tempat ini mempunyai daging atau tisu yang lembut dan mudah dilukakan oleh ulat dari lalat ini. Selepas menjumpai tempat yang sesuai untuk bertelur mereka akan bertelur dalam jumlah 100 hingga 200 biji telur pada kawasan tersebut. Telur ini akan mengambil masa 12 hingga 24 jam sebelum menetas menjadi larva atau ulat. Ulat ini bewarna putih dan kelihatan sama dengan ulat sampah yang selalunya mudah dijumpai pada sampah yang penuh dengan sisa makanan.

Apabila menetas dan menjadi ulat, ulat ini akan bergerak ke kawasan luka atau tisu@daging pada badan haiwan, manusia yang lembut. Jika ulat ini bergerak ke kawasan luka, luka itu akan menjadi lebih dalam hasil korekan ulat-ulat ini menggunakan cangkuk yang ada pada mulut mereka. Jika ulat bergerak ke kawasan daging yang lembut seperti di dalam hidung dan telinga atau gusi, ulat akan menggunakan cangkuknya untuk melukakan kawasan tersebut. Proses pemakanan akan dimulakan. Semakin lama ulat cacing skru ini berada pada kawasan daging itu semakin besar dan dalam luka yang akan terbentuk.

Ulat cacing skru dan cangkuknya yang berwarna hitam

Proses pemakanan mengambil masa 5 hingga 7 hari sehingga ulat cukup besar dan mengandungi semua keperluan nutrien sebelum memasuki fasa pupa. Sebelum fasa pupa bermula, ulat yang telah cukup keperluan nutrien akan bergerak keluar dari kawasan luka. Ulat ini akan menjatuhkan dirinya ke tanah. Apabila jatuh ke tanah, ulat ini akan menimbus dan menyembunyikan badannya dibawah tanah. Pupa akan mengambil masa 7 hari hingga 2 bulan sebelum keluar dari pupa sebagai lalat cacing skru dewasa.

Ulat cacing skru ini selalunya menajdi masalah bagi haiwan ternakan kerana kesukaran haiwan ternakan untuk mencuci luka pada belakang badan dan kepala. Jika tidak dirawat oleh pemilik, keadaan haiwan ternakan ini akan menjadi semakin teruk. Selain itu, terdapat juga kes-kes dimana ulat ini infestasi badan manusia seperti di gusi dan di dalam hidung. Telur lalat ini mengambil masa 12 hingga 24 jam untuk menetas maksudnya jika manusia itu tidak mandi atau membersihkan kawasan kritikal kegemaran lalat ini bertelur potensi sangat besar ulat ini infestasi bahagian badan manusia itu. Kita di Malaysia terutamanya, pasti tidak mempunyai masalah ini kerana secara purata orang Malaysia mandi dua kali sehari. Jika disabun dengan betul lagila berkurang potensi diinfestasi ulat lalat ini. Mungkin ada yang bertanya bagaimana lalat ini boleh bertelur dalam mulut di gusi. Lalat ini boleh bertelur di dalam mulut apabila kita tidur. Pastinya kita tidak sedar samada kita tidur mulut terbuka atau tertutup. Bagi orang yang tersumbat hidungnya pasti mulutnya akan terbuka untuk bernafas. Inilah peluang terbaik lalat untuk bertelur di dalam mulut. Oleh itu, gigi perlu digosok dan dibersihkan setiap hari.

UIat cacing skru di mulut manusia

Bagi umat Islam pula yang solat wajib lima waktu lagila kurang potensi infestasi disebabkan kita mencuci semua bahagian yang disukai oleh lalat-lalat ini. Ini kerana apabila solat kita akan mengambil wuduk dan akan menggunakan air mencuci bahagian tangan, mulut, hidung, telinga dan kaki. Oleh itu sangat bertepatan kebersihan itu tuntutan agama yang mahukan keadaan terbaik bagi umatnya.

Rujukan

  1. Duque, F.L., & Ardila, C.M. (2011). Oral myiasis caused by the screwworm Cochliomyia hominivorax treated with subcutaneous ivermectin and creolin: report of six cases after trauma. Dental traumatology : official publication of International Association for Dental Traumatology, 27 5, 404-7 .
  2. “Screw Worm Fly Surveillance & Preparedness Program.” Animalhealthaustralia. https://www.animalhealthaustralia.com.au/what-we-do/disease-surveillance/screw-worm-fly/
  3. “Cochliomyia.” Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Cochliomyia
  4. “Chrysomya.” Wikipedi.  https://en.wikipedia.org/wiki/Chrysomya
  5. “Screwworm Myiasis.” The Center for Food Security & Public Health. http://www.cfsph.iastate.edu/Factsheets/pdfs/screwworm_myiasis.pdf

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts