Sasaran kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 adalah dengan membentuk imuniti kelompok dengan liputan vaksin 82.8 %.
Melalui portal rasmi COVID-19, KKM menerang lanjut perihal Imuniti Kelompok/ Herd Imunity.
“Imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu. Imuniti atau daya tahan itu diperoleh hasil imunisasi. Menurut WHO, dianggarkan 60 hingga 70% populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap #COVID19 bagi membolehkan ‘imuniti kelompok’ dapat dicapai dan penularan #COVID19 dapat dikawal.”
KKM telah mengeluarkan senarai golongan yang berisiko tinggi dengan jangkitan virus ini.
1. Warga emas.
2. Kanak-kanak.
3. Wanita mengandung.
4. Pesakit kronik (diabetes, hipertensi, jantung, asma)
5. Pesakit imuniti rendah (Kanser, HIV)
Pada 2 Jun lalu, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah telah memuatnaik kenyataan di Facebook beliau perihal peningkatan kes jangkitan di kalangan kanak-kanak sehingga mencecah angka 82,341 kes.
Manakala, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memohon kepada orang ramai dalam hantaran di ‘tweeter’ semalam supaya mendaftarkan warga emas untuk menerima suntikan vaksin.
“Warga emas merupakan antara golongan yang berisiko dan terdedah kepada pelbagai penyakit termasuk COVID-19. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu ibu bapa, datuk dan nenek bagi mendaftar program vaksinasi dalam usaha mencapai imuniti kelompok.”
Hal ini kerana, gelombang ketiga yang melanda Malaysia tika ini sudah tidak sama dengan gelombang sebelum ini.
“Sejak 1 Mei 2021, 80% daripada jumlah kes di Malaysia adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitannya, tidak dapat dikaitkan dengan kes atau kluster lain dan ia berlaku secara rawak.” – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malah, dalam kenyataan akhbar KPK 6 Jun 2021 yang melaporkan situasi harian COVID-19, telah dilaporkan bahawa negara sedang berhadapan dengan tren peningkatan mendadak kes baharu dan ini adalah amat membimbangkan.
“Justeru, KKM ingin menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini di mana penularan COVID-19 adalah di dalam komuniti termasuklah tempat beli-belah, tempat kerja, dan sebagainya. Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti COVID-19 tidak kira di mana mereka berada. Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti.”
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjalankan amanah dan tanggungjawab kita demi membantu menyekat penularan wabak ini. Jagalah SOP, amalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan elakkan 3S (Sesak, Sempit, Sembang). Dan yang paling utama, daftarkan diri dan orang tersayang, terutamanya golongan yang berisiko tinggi untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 . Semoga dunia kembali sembuh daripada wabak ini, inshaAllah!