Daripada sampah menjadi produk diiktiraf dunia!

Fuh! Bukan biasa-biasa minda inovasi dan kreatif gadis 24 tahun ini.

Sumber : BERNAMA

Beberapa hari yang lalu, Malaysia digemparkan dengan kejayaan seorang mahasiswi Universiti Sains Malaysia, Saudari Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah dalam pertandingan reka bentuk antarabangsa, James Dyson Awards 2021. Beliau yang merupakan pemenang tempat kedua dalam pertandingan tersebut telah mengejutkan dunia dengan hasil ciptaannya yang menginovasikan sisa sampah kepada beg mini sebagai pembungkus set produk penjagaan kulit wajah.

Menurut laporan Bernama, produk bahan “bio leather” ini menggunakan sepenuhnya kulit buah-buahan sitrus terutama kulit limau nipis dan bahan semula jadi lain, yang bukan sahaja bersifat lebih mesra alam, malah mampu menjadi bahan pembungkusan pelbagai produk menggantikan plastik.

Hebatnya lagi apabila ciptaan ini masih berada di peringkat awal kajian, tetapi telah memenangi pertandingan berprestij ini sekaligus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Lanjutan daripada laporan Bernama dan beberapa berita lain, gadis 24 tahun ini telah mendapat ilham ciptaan ini apabila melihat lambakan sampah kulit buah-buahan di kafe dan restoran semasa beliau menyiapkan projek semester tahun lalu.

Menurut Saudari Menlin Ng, “”Saya percaya semua sisa makanan boleh diproses menjadi bahan atau barangan berguna sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Saya mahu menukarkan bahan yang dilihat tidak bernilai ini menjadi barangan berguna dan berharga.”

“Selain membantu mengurangkan penjanaan sampah, bahan kulit bio yang menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya ini juga melibatkan kos lebih rendah,” katanya yang mengambil masa 10 bulan bagi menyiapkan projek tersebut. 

Menerusi ujian yang dijalankan, Menlin Ng menggunakan kira-kira 30 kulit limau purut bagi menghasilkan dua helai material berukuran 20 sentimeter panjang dan lebar.

“Saya mendapatkan stok kulit limau dari beberapa restoran. Antara proses terlibat termasuk pengekstrakan, pengasingan kulit dan biji buah, rebus bagi mengelakkan kulat dan mencampurkan dengan bahan pelekat semula jadi sebelum dikeringkan sehingga menjadi produk akhir,” katanya. 

Beg mini yang dihasilkan daripada kulit buah ini dinamakan Citra. (Gambar : BERNAMA)

Menurut laporan Bernama lagi, Saudari Menlin Ng telah menceritakan kekangan yang dihadapi.

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi, Menlin Ng berkata beliau perlu berdepan dengan kekangan menjalankan ujian di makmal susuli sekatan pergerakan dan penularan pandemik COVID-19. 

“Dalam tempoh itu, pertemuan bersemuka dengan penyelia tidak dapat dilakukan. Terkurung di asrama kampus juga membuat saya beberapa kali hilang motivasi,” katanya. 

Pelajar jurusan Reka Bentuk Produk itu juga berharap inovasi yang masih di peringkat penyelidikan awal itu dapat dikembangkan dan dimanfaatkan di peringkat profesional sekali gus membuka jalan kepada penghasilan bahan mesra alam. 

“Saya perlu membuat lebih banyak kajian dan eksperimen bagi mendapatkan bahan terbaik dalam meningkatkan kualiti material ini pada masa akan datang.

“Malaysia adalah antara pengeksport buah dan sayur terbesar. Jadi secara tidak langsung, menyumbang kepada penghasilan sampah yang boleh dijadikan sumber kepada penghasilan produk pembungkusan daripada material semula jadi,” katanya.

Sumber : Facebook
Sumber : Facebook

Subhanallah! Sesungguhnya akal dan fikiran merupakan anugerah-Nya kepada manusia yang begitu berharga dan akan menatijahkan kejayaan luar biasa andai dimanfaatkan sebaiknya. Semoga kisah Saudari Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah ini menjadi motivasi dan inspirasi buat semua anak muda di Malaysia untuk terus berjaya dalam kehidupan biarpun terpaksa berhadapan dengan ujian pandemik COVID-19.

Sumber :

  1. https://news.usm.my/index.php/english-news/7298-turning-citrus-peel-waste-into-bio-leather-as-packaging-material
  2. https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/beg-mini-dari-sisa-kulit-buah-ciptaan-pelajar-m-sia-diiktiraf/4651320.html

Total
286
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts