SEJAK minggu lalu bermulalah pendaftaran pelajar baharu ke universiti. Kampus yang agak suram sebelum ini akan kembali meriah dengan pelbagai rupa dan gaya pelajar.
Keadaan ini tentu sahaja menggembirakan apatah lagi peluang menjadi seorang pelajar universiti perlulah dihargai. Malah, ia tidak dimiliki oleh semua orang. Sejak di bangku sekolah, kita sentiasa dimotivasikan untuk belajar hingga ke menara gading.
Jadi, hargai dan syukurilah saat anda mendaftar sebagai pelajar universiti. Berapa ramai di luar sana yang mengimpikan kad pelajar yang tertera nombor dan gambar mereka. Berapa ramai yang bercita-cita untuk berpeluang masuk ke dewan kuliah dan konsultasi bersama pensyarah.
Peluang ini perlu digunakan oleh pelajar dengan sebaik mungkin. Kehidupan sebagai mahasiswa hanya akan dirasai sekali seumur hidup dan tidak akan sama pengalamannya, walaupun nanti berpeluang melanjutkan pelajaran pada peringkat pasca siswazah.
Pelajar perlu memasang niat yang tulus untuk benar-benar berusaha untuk menuntut ilmu. Perkataan menuntut ilmu sangat sesuai digunakan kerana itu menggambarkan kesungguhan yang perlu ada dalam diri seorang pelajar.
Pengalaman berada di universiti juga perlu digunakan untuk mengasah bakat dan kemahiran yang ada. Seawal semester baharu ini semangat juang yang tinggi perlu dipasak.
Malaysia tidak mampu lagi untuk melahirkan kelompok pelajar 3K (kelas, kafe, kamar) yang rutin hariannya hanya ke kelas untuk menanda kehadiran, pergi ke kafe untuk mengisi perut seterusnya pulang ke kamar untuk rehat dan tidur. Mungkin juga perlu ditambah K yang keempat, iaitu K-pop.
Sebaliknya, pelajar perlu berpegang teguh dengan 3K yang baharu, iaitu pengetahuan (knowledge), kemahiran dan kerjaya. Ilmu pengetahuan adalah perkara utama yang harus menjadi agenda selama di kampus.
Ilmu ini perlu dilihat menembusi bukan hanya dimensi hafalan informasi dan teori, tetapi kemahiran mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian untuk manfaat sejagat.
Perancangan kerjaya
Perancangan kerjaya juga diperlukan supaya pelajar jelas kursus mana yang lebih sesuai dengan kerjaya bakal diceburi pada masa hadapan.
Tidak salah untuk bekerja di bidang berlainan selepas bergraduasi, tetapi andai ada peluang untuk terus membuat perancangan kerjaya sejak di universiti lagi, ini boleh mencambahkan minat yang mendalam dalam kerjaya.
Minat disulami dengan kemahiran yang mantap bakal melahirkan graduan yang tahu selok belok kerjaya. Andai gagal merancang ia adalah kegagalan yang pertama.
Pelajar juga perlu sentiasa mengingati jasa, pengorbanan dan harapan tinggi ibu bapa. Ini adalah azimat yang perlu dipegang oleh pelajar supaya tidak terleka dengan kebebasan yang ada di alam kampus. Janganlah diri terbawa-bawa dengan hedonisme yang melampau atau gaya hidup hipster penuh tipu daya.
Harapan ibu bapa dan pensyarah perlu sentiasa menjadi pegangan supaya pelajar tidak tenggelam dalam menghadapi kehidupan di alam kampus. Sesungguhnya kejayaan seseorang itu bukanlah bergantung kepada bilangan A atau tinggi rendah markahnya, namun seseorang itu berjaya andai sudah berusaha dan tidak pernah mengalah.
Adalah diharapkan universiti bukan sahaja menjadi medan menimba ilmu, malah medan membentuk diri menjadi insan yang lebih baik.
Doa rakyat perlu ada untuk generasi muda yang bakal memimpin negara suatu hari nanti adalah mereka yang berilmu, berdisiplin dan bertakwa.
Buktikan anda adalah generasi harapan kami.
Dr Mashitah Abdul Mutalib, Universiti Sains Islam Malaysia
Kredit : Berita Harian
Kredit gambar : https://www.w2ssolutions.com/blog/the-best-practices-and-ensure-our-efforts-are-successful-in-providing-a-best-app-that-adds-value-for-your-business/