Kerana peperiksaan, pelajar Jepun ini tekad membunuh!

“Saya tak kenal siapa yang saya tikam. Saya cuma nak timbulkan kekacauan dan mati sebab belakangan ini saya jadi tak berapa bagus dalam pembelajaran. Saya sedang persiapkan diri ke Universiti Tokyo untuk menjadi doktor. Tetapi, gred saya semakin merudum dan saya hilang keyakinan diri. Sekiranya saya tidak berjaya menjadi doktor, saya fikir akan membunuh seseorang dan menanggung rasa bersalah ini sementara melakukan Seppuku (budaya bunuh diri di Jepun sebagai tanda maaf dan menebus maruah atas kegagalan).  ”

Demikianlah alasan yang diberikan oleh seorang pelajar di Jepun yang berumur 17 tahun setelah dia menikam tiga orang yang tidak dikenalinya di Universiti Tokyo baru-baru ini.

Setelah membaca berita ini, min teringat juga satu kes pembunuhan berprofil tinggi yang pernah menggegarkan India pada tahun 2017. Kes pembunuhan ini sangat misteri dan melibatkan seorang pelajar sekolah rendah berumur 7 tahun yang dikelar lehernya di dalam tandas sekolah. Setelah beberapa bulan penyiasatan dijalankan, akhirnya tertangkap seorang pelajar sebagai suspek utama pembunuhan tersebut yang akhirnya dia sendiri mengaku bahawa pembunuhan itu dilaksanakan tanpa niat ingin membunuh mangsa tetapi hanyalah kerana dia ingin menimbulkan tragedi yang boleh menundakan hari peperiksaan dan mesyuarat guru bersama ibu bapa di sekolah itu. Ketakutan pada prestasinya yang merudum telah mendorong dia melakukan pembunuhan itu.

Kejadian ini telah didokumentarikan dalam siri Netflix, “A Big Little Murder”.

Siri Netflix “A Big Little Murder”

Allahu rabbi. Kerana prestasi sendiri, manusia lain yang tidak bersalah telah menjadi mangsa tanpa mereka sedari.

Sebenarnya, bukan hanya dua kes yang berlaku berpunca daripada hal sebegini. Tetapi, sudah banyak kes yang sama pernah berlaku di Negara-negara luar, apatah lagi di Negara Jepun. Semangat ingin berjaya dan tekanan ingin mencapai cita-cita telah mendorong mereka melakukan sesuatu di luar kewarasan tika mana yang dihasratnya itu tidak tercapai.

Yang membunuh tidak kenal siapa yang dibunuh. Yang dibunuh tidak kenal siapa yang membunuh. Semuanya berlaku secara rawak dan mengikut nasib seseorang. Kekejaman ini terjadi demi kepuasan peribadi. Sadis, sungguh sadis.

Jika ditenung lebih dalam mengenai iktibar daripada kejadian-kejadian sebegini, hakikatnya kerana tiada pergantungan dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa menjadi penyumbang kepada perilaku-perilaku ini. Tikamana manusia semakin hanyut dalam ombak kehidupan dan tiada tempat untuk berpaut, tika itulah manusia akan bertindak melulu demi menyelamatkan diri dan memenuhi kepentingan diri.

Di Malaysia, mungkin kita tidak pernah dikejutkan dengan kes pembunuhan kerana kegagalan peperiksaan dan seumpamanya. Tetapi, sebenarnya tanpa kita sedar, berapa ramai di kalangan kita yang cuba membunuh diri kerana merasakan diri tidak berguna dan gagal menyesuaikan diri dengan ahli masyarakat yang ada. Buktinya, kita dapat lihat bagaimana fenomena bunuh diri rakyat Malaysia menggegarkan kita ketika fasa PKP sebelum ini. Faktor kegagalan dalam mendapatkan pendapatan, dibuang pekerjaan, dan stres dengan kehidupan semasa telah menyumbang kepada niat dan tindakan membunuh diri sebahagian rakyat Malaysia.

ISLAM DAN KEJAYAAN

Islam mengajar setiap umat manusia untuk bersungguh-sungguh mengejar kejayaan. Oleh sebab itulah, dalam laungan azan, Allah hadirkan kalimah “hayya a’lal falah” iaitu “Marilah menuju kejayaan” sebagai tanda seruan utama Allah kepada kita semua. Tetapi, Islam tidak mengajar kita untuk terlalu ekstrem dalam tindakan sehingga melanggar batas syariat, apatah lagi sehingga mencederakan manusia lain apabila tidak dicapai apa yang diinginkan.

Allah mengajar konsep doa, usaha dan tawakal kepada-Nya dalam usaha kita meraih kejayaan. Teruskan berusaha sehabis baik dengan kudrat yang kita ada, di samping itu perbanyakkan ibadah dan doa kepada-Nya. Akhir sekali, hadirkan rasa tawakal kita kepada Allah kerana sesungguhnya hanya Dia penentu segala dapatan akhir dalam kehidupan hamba-Nya.

Oleh itu, wahai adik-adikku, belajarlah tanpa culas dengan niat kejayaan hanya kerana Dia Yang Maha Esa. Sentiasa tingkatkan pergantungan kepada Dia dan balikkan aduan kepada Dia Yang Maha Besar sekiranya sesuatu yang diharapkan itu tidak tercapai. Pasakkan sentiasa dalam hati dan fikiran bahawa Allah takkan pernah mensia-siakan usaha hamba-Nya. Pasti ada hikmah dan kejayaan yang lebih besar sedang Dia rencanakan untuk kita kerana sesungguhnya perancangan Allah itu berasaskan kasih sayang-Nya yang Agung.

Semoga kita semua sentiasa dibimbing sepanjang menjadi pelajar di bumi Allah yang luas ini. InshaAllah.

Jadi, korang jangan stres-stres ya. Kalau stres sangat, ambil sekejap masa dan buat apa-apa aktiviti yang korang suka. Lepas tu, mula balik kerja dan sesi pembelajaran korang. Okay!

Sumber :

1. Student, 17, arrested after three people stabbed near University of Tokyo ahead of entrance exam | The Japan Times

2. Netflix’s Murder Documentary “A Big Little Murder” Streaming Restrained In India – The Tennessee Tribune (tntribune.com)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts