Jantung atau Otak yang berfikir?

Siapa yang mengenali drama Korea pada zaman terkenalnya siri Stairway to Heaven, Winter Sonata dan lain-lain, mesti kalian pun tahu kewujudan cerita Summer Scent yang menceritakan tentang seorang wanita A menerima jantung daripada seorang wanita lain, B.

Akibat daripada pemindahan jantung ini, telah berlaku perubahan watak dan emosi pada wanita A. Jantungnya juga akan berdegup apabila bertemu dengan tunangan lelaki wanita B itu.  

Jika kita lihat dari sisi hiburan, mungkin kita tidak terlalu fikir fakta kebenarannya. Apakah benar hal sebegini boleh berlaku? Bagaimana mungkin pemindahan jantung mampu memberi memori kepada seseorang?

Tahukah anda, di alam realiti, situasi yang sama pernah berlaku pada beberapa individu yang pernah menerima jantung manusia lain.

Hal ini menyebabkan beberapa orang pengkaji psikoanalisis cuba menganalisa secara mendalam dan terperinci bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang kejadian ini.

Sebelum kita masuk ke hasil kajian tersebut, kita cuba hayati beberapa kisah benar di bawah.

KISAH PERTAMA

Kisah ini pernah di paparkan dalam akhbar harian Daily Mail di United Kingdom pada 10 April 2008, di mana, seorang pesakit jantung bernama Sonny Graham telah menerima jantung seorang pemuda yang telah meninggal kerana membunuh diri dan Sonny Graham beransur pulih seperti biasa selepas itu. Penyembuhan itu menyebabkan Sonny Graham mencari keluarga si penderma untuk memberi penghargaan dan membawa beliau kepada pertemuan bersama balu si penderma. Pertemuan itu telah membawa kepada perkahwinan kerana Sonny Graham secara tiba-tiba jatuh cinta kepada balu tersebut dan merasakan seolah-olah telah lama mengenalinya, serta berharap dapat tinggal bersama.

Kemudian, sikap Graham semakin berbeza daripada dirinya sebelum berlaku pemindahan jantung. Beliau mula bersikap kasar kepada masyarakat, termasuklah isterinya. Beliau juga telah berubah menjadi seorang yang bengis dan tidak bertimbang rasa. Menurut isterinya, sikap Graham ini sama seperti sikap bekas suaminya yang meninggal dunia itu. Perkara buruk yang digemari oleh bekas suaminya, semuanya diikuti oleh Graham. Akhirnya, Graham mengakhiri kehidupannya dengan mengambil pistol dan menembak dirinya sendiri, sama seperti yang dilakukan oleh pemuda penderma jantungnya.

KISAH KEDUA

Seorang profesor di Universiti Hawaii yang bernama Paul Peasall pernah melaporkan kisah seorang pemuda yang gemar menggubah muzik telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya. Lalu, jantungnya telah didermakan kepada seorang pemudi yang sebaya dan menyebabkan pemudi tersebut menjadi pandai dalam muzik dan gubahan lagu secara tiba-tiba. Lebih menakjubkan, lagu yang tidak sempat diselesaikan oleh pemuda penderma jantung tersebut telah disempurnakan oleh pemudi penerima jantung tersebut.

KISAH KETIGA

Satu kes pernah dilaporkan dalam Washinton Post bertarikh 11 Ogos 2007 tentang Peter Houghton, seorang penerima jantung tiruan yang digerakkan dengan bateri telah menyatakan kepada wartawan akhbar tersebut bahawa selepas menerima organ tiruan tersebut, beliau telah hilang perasaan sama sekali yang menyebabkan beliau tidak merasai perasaan sayang atau benci lagi terhadap cucunya sendiri.

KISAH KEEMPAT

Seorang wanita bernama Claire Sylvia telah menjalani pemindahan jantung dan paru-paru pada tahun 1970 daripada seorang penderma lelaki berumur 18 tahun yang telah meninggal dunia dalam sebuah kemalangan motosikal. Setelah itu, Sylvia berubah menjadi seorang yang ketagih kepada minuman bir dan nugget ayam. Perubahan ini dan sebuah mimpi luar biasa yang dialami Sylvia telah menyebabkan dia mencari keluarga remaja yang menderma jantung dan paru-paru kepadanya. Setelah itu, dia menjangkakan bahawa terdapat dua roh di dalam satu badan yang sama. Keadaan yang menakjubkan ini menyebabkan Claire Sylvia menulis sebuah buku bertajuk ‘A Change of Heart’ untuk menceritakan kejadian luarbiasa yang berlaku kepada dirinya.

KISAH KELIMA

Kisah ini antara yang paling menakjubkan, diterima daripada hasil temubual Dr. Paul Peasall bersama pesakit penerima jantung. Seorang budak perempuan berumur lapan tahun telah menerima jantung daripada seorang budak perempuan berumur sepuluh tahun. Semenjak itu, budak itu diganggu dengan sebuah mimpi tentang pembunuhan seorang budak perempuan. Setelah dirujuk ke pakar psikiatri, mimpi itu dipercayai sebagai satu memori asal dan berlaku di alam nyata. Ternyata, budak perempuan sepuluh tahun itu telah dibunuh. Daripada mimpi ini, budak lapan tahun itu telah membantu siasatan dengan menceritakan secara jelas setiap gambaran yang dilihat dalam mimpi tersebut sehinggalah pihak polis berjaya memberkas pembunuh tersebut.

Sumber foto : Portal Gaia

Kesemua peristiwa ini telah menimbulkan persoalan para saintis psikoanalisis perihal memori si penderma yang wujud dalam diri si penerima setelah berlakunya pemindahan jantung. Setelah kajian dijalankan, para saintis psikoanalisis berasa sungguh kagum dan takjub dengan hasil yang ditemukan sehinggakan kajian ini dibukukan dalam sebuah jurnal oleh Paul Peasall, yang bertajuk ‘The Heart’s Code’ terbitan Broadway.

Apa penemuannya?

KAJIAN PSIKOLOGI

Antara dua nama besar yang mengkaji kejadian ini ialah Dr. Rollin MacCarty, seorang pakar psikologi dari Institut Jantung Matematik (Institut HeartMath) Amerika Syarikat dan Dr. Paul Peasall, pakar psikologi dari University of Hawaii.

Mereka menemui sejenis sel yang dikenali sebagai sel ganglia dalam jantung manusia yang mempunyai memori lebih kuat daripada sel otak dengan kapasitinya seperti memori sebuah komputer dengan simpanan maklumat lebih kekal berbanding otak.

Menurut penerangan Prof. Mat Rofa Ismail mengenai hasil yang dikeluarkan oleh para pengkaji kejadian ini, rangkaian sel ganglia ini bersambung antara satu dengan yang lainnya membentuk apa yang disifatkan oleh para pengkajinya sebagai brain cell in the heart. Rangkaian sel ini mengeluarkan gelombang elektrik yang disebarkan melalui edaran darah. Penemuan ini mendedahkan juga kepada para pengkaji bahawa darah manusia membawa memori dalam kapasiti tertentu kerana dicetuskan oleh sel ganglia tersebut. Kemudian, kajian menunjukkan bahawa sel memori otak dan jantung saling bertukar maklumat menerusi mekanisme yang sangat kompleks melalui tindak balas kimia, asid amino dan gelombang elektrik. Penemuan-penemuan ini memberitahu satu hakikat kepada manusia bahawa pusat berlakunya aktiviti berfikir adalah di jantung.

Selama 25 tahun lamanya, para pengkaji di Institut HeartMath mencipta dan menginovasikan alat dan kaedah untuk mengukur ketepatan hubungan jantung dan otak. Dengan pendedahan fakta menerusi kajian dan pemodelan saintifik, pengkaji-pengkaji ini telah menghasilkan lebih 300 kajian tentang keberkesanan setiap teknik dan teknologi yang digunakan bagi mengkaji hasil peristiwa ini.

“We found that from the body perspective, the heart is the first to receive these non-local signals or intuitions, then they are passed to the brain. It’s a result I wouldn’t have predicted. The heart has access to information outside the boundaries of time and space. It’s been proven beyond a shadow of a doubt.”

McCraty.

“The heart is, in fact, a highly complex, self-organized information processing center with its own functional “brain” that communicates with and influences the cranial brain via the nervous system, hormonal system and other pathways. These influences profoundly affect brain function and most of the body’s major organs, and ultimately determine the quality of life.”

Science of the Heart, Heartmath Institute Research Center.

Manakala, buat peneliti lain seperti John dan Beatrice Lacey telah mengambil masa selama 20 tahun untuk menemukan fakta bahawa jantung berkomunikasi dengan otak melalui cara-cara yang signifikan dan mempengaruhi pemikiran serta perilaku seseorang.

Menurut satu laporan lain, pada tahun 1991, Dr. J. Andrew Armour telah memperkenalkan konsep “otak jantung” bagi menggambarkan hasil kajiannya yang menyatakan bahawa jantung memiliki sistem saraf intrinsik yang rumit bertindak ke atas otak sehinggakan dikatakan bahawa jantung mempunyai “otak kecil” tersendiri.

KEBENARAN ISLAM

Sebagai umat Islam, kita berpegang kepada dua rujukan utama kita iaitu Al-Quran dan Al-Hadis. Termasuklah rujukan mengenai manusia dan ilmu-ilmu sains. Semuanya telah diceritakan oleh Allah di dalam kitabullah dan hanya mereka yang berfikir sahaja akan diberi hikmah kefahaman oleh-Nya.  Dalam kejadian ini, ayuh kita renungi sepotong ayat Al-Quran di dalam surah al-Hajj ayat 46 :

Maksudnya : “Apakah mereka tidak berjalan pada permukaan bumi lalu menjadikan jantung hati mereka berfikir dengannya, atau telinga mereka mendengar dengannya. Maka sesungguhnya bukanlah penglihatan mereka yang buta akan tetapi yang buta ialah jantung hati mereka yang berada di dada.”

Dalam satu bab buku ‘Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu’, saya memetik satu petikan daripada Prof. Mat Rofa Ismail untuk menerangkan secara lanjut perkaitan ayat di atas dengan kajian yang sedang dibincangkan.

“Dalam ayat di atas disebut “Qulub ya’qilun biha” yakni jantung hati yang berfikir dengannya (yakni jantung). Indikasi bahawa jantung (atau kalbu) yang berfikir tidak pernah disebut dalam mana-mana pemikiran manusia, akan tetapi al-Quran menyatakan bahawa jantung hati yang berfikir. Para saintis sebelum ini berpendapat aktiviti berfikir hanya dilakukan oleh otak, bukan organ lain, khususnya jantung. Namun, al-Quran menegaskan bahawa berfikir yang mendalam secara renungan dilakukan oleh jantung kalbu.”

Mengikut kepada fahaman positivisme Barat, hal ini mustahil dan tidak benar kerana jantung hanyalah satu organ biasa yang tidak berkait dengan sebarang aktiviti dalam pemikiran dan memori.

Tetapi, kebenaran yang dibawa oleh Al-Quran tidak dapat disangkal oleh mana-mana makhluk. Ayat yang sudah tercatat pada 1,400 tahun lalu ini, biarpun ditolak oleh beberapa ahli pemikir yang memegang fahaman positivisme pada masa lalu, telah terbukti kebenarannya kini menerusi kajian saintifik moden abad ke-20.

Sehinggakan satu artikel dalam portal Discover Healing yang turut menceritakan perihal kajian ini membuat kesimpulan betapa malangnya kita kerana baru mengetahui kebenaran ini, sedangkan nenek moyang kita terdahulu sudah tahu perihal ini dan hanyut dengan ‘kekuatan jantung’ mereka serta mempercayai setiap mesej yang disampaikan melalui jantung.

The heart has always been regarded as an essential part of the body, and it has been said to be where the Inner Being and Love reside. The spiritual men of the indigenous societies all over the world pray without words. They center themselves in their hearts and they feel in it the prayer already done. These prayers are amazingly effective. Ironically, we are only now, in “the first world,” starting to understand the strength and the nature of the heart, something that our ancestors knew about, maybe because they trusted the messages from their hearts, and the communication with the Inner Being was open.” – Estela Davila, author of ‘The Brain of the Heart’ in Discover Healing portal.

KESIMPULAN

Subhanallah. Hebat betulkan Allah!

Setiap jawapan sudah dijawab oleh-Nya di dalam Al-Quran. Hanya kita yang gagal untuk cuba memahami ayat-ayat-Nya. Kita lebih mudah untuk membaca dan memahami penulisan makhluk-Nya daripada ‘penulisan’ Dia Sang Pencipta.  Kita lebih menantikan dan mengagungkan kajian Barat berbanding kajian ayat-ayat Al-Quran oleh ulama’ Islam.

Oleh itu, firman Allah dalam ayat 46, surah al-Hajj ini perlu kembali direnungi dan bermuhasabah. Betapa gagalnya kita selama ini apabila terus meletakkan pandangan manusia mengatasi ayat-ayat Allah.

Di dalam Al-Quran jelas Allah mengulangi perkataan Qulub atau Qalbu, sebagai kunci untuk berjaya. Makna kata jika seseorang ingin berjaya, perhatikan setiap kejadian-Nya dan berfikirlah dengan sedalam-dalamnya menggunakan Qalbu (jantung). Tetapi, kita lebih memilih untuk berfikir menggunakan otak sepertimana yang dibawa oleh golongan bukan Islam, sehinggakan pemikiran kita yang hanya terbatas pada logik manusia menolak setiap kebenaran yang diterangkan di dalam Al-Quran dan Hadis Baginda S.A.W. kerana kebenaran tersebut dilihat tidak logik dan tak tercapai dek akal seorang manusia biasa.

Demikianlah ruginya manusia yang tidak tergolong dalam golongan berfikir menggunakan Qalbu. Semoga Allah jauhkan saya dan para pembaca daripada kerugian ini.

RUJUKAN

  1. Buku Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu.
  2. https://discover.hubpages.com/health/Cellular-Memories-in-Organ-Transplant-Recipients
  3. https://www.jagadita.com/2021/02/manusia-berfikir-menggunakan-jantung.html
  4. https://sieveoftruth.wordpress.com/2015/02/05/does-your-head-rule-your-heart-or-your-heart-rule-your-head/
  5. https://discoverhealing.com/articles/brain-heart-2/
  6. https://www.gaia.com/article/mysteries-of-the-human-heart
  7. https://www.heartmath.org/our-heart-brain/


Total
257
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts