27 Rejab adalah tanggal berlakunya mukjizat Rasulullah S.A.W yang sehingga kini masih dipertikaikan dan diperbahaskan oleh manusia yang tiada keimanan dan kepercayaan kepada kekuasaan Tuhan dalam urusan kehidupan. Tetapi, sebagai umat Islam yang mengimani setiap sifat Allah, tiada yang mustahil apabila Allah mengatakan “Kun Fayakun” yakni “Jadilah ia” maka, jadilah sesuatu itu mengikut kehendakNya. Demikian juga hal yang melibatkan mukjizat Isra’ Mikraj ini, yang tiada langsung keraguan padanya kerana apabila Allah mengkehendaki sesuatu, maka, berlakulah ia mengikut perintah Allah biarpun tidak tercapai dek logik akal manusia kerana itulah bukti Allah Maha Berkuasa.
Malah, ratusan teori telah diciptakan oleh manusia didorong dengan semangat saintisme, menghasilkan pembuktian yang dirasakan mampu menandingi kekuasaan Allah dan membuktikan ketidakwujudan Allah menerusi kehebatan sains dan teknologi ciptaan manusia. Tetapi, walau hebatnya seseorang itu, walau terulungnya beliau sehingga digelar manusia paling cerdik di muka bumi ini, masih tidak dapat menyaingi dan mencabar kekuasaan Allah.
Demikianlah dibuktikan oleh beberapa kajian mengenai teori Einstein yang mungkin terbatal jika dibuktikan dengan perjalanan mikraj Rasulullah S.A.W.. Meskipun ilmu Einstein mampu meruntuhkan geometri Euklidean yang telah diagungkan selama 2000 tahun lamanya dan menghukum kepalsuan teori Newton, tetapi keupayaan itu tidak dapat dipraktiskan untuk menyaingi hukum Allah S.W.T..
Sebelum kita pergi lebih jauh, jom kita telusuri secara ringkas perjalanan Isra’ Mikraj Rasulullah S.A.W..
PERJALANAN ISRA’ MIKRAJ RASULULLAH S.A.W

Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan satu mukjizat Rasulullah S.A.W yang melibatkan satu perjalanan panjang yang hanya berlaku pada satu malam sahaja. Perjalanan ini dibahagikan kepada dua fasa.
1. Isra’ iaitu perjalanan mulia Rasulullah S.A.W dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di al-Quds, Palestin.
2. Mikraj iaitu perjalanan Rasulullah S.A.W dari Masjid al-Aqsa naik ke lapisan langit tertinggi, Sidratil Muntaha dan bertemu dengan Allah Rabbul Jalil.
Kisah pengembaraan ini telah dijelaskan secara lengkap oleh Imam Bukhari dan Muslim. Mengambil ringkasannya daripada buku Fiqh al-Sirah pertama, malam bersejarah ini telah menyaksikan “Buraq” sebagai tunggangan Rasulullah S.A.W. dalam perjalanan Isra’. “Buraq” merupakan sejenis binatang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari baghal (dikatakan sejenis haiwan hasil kacukan kuda betina dan keldai jantan). Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang.
Apabila Baginda S.A.W tiba di Masjid al-Aqsa, Baginda S.A.W menunaikan solat dua raka’at dan setelah itu didatangi Malaikat Jibril bersama dua biji gelas untuk dipilih oleh Baginda S.A.W.. Satu gelas itu berisi arak, manakala yang satu lagi berisi susu. Lalu, Rasulullah S.A.W memilih susu dan disebut oleh Malaikat Jibril kepada Baginda S.A.W mengenai pilihannya itu bahawa “Engkau telah memilih yang fitrah dan semulajadi.”
Setelah itu, Rasulullah S.A.W dibawa naik ke langit pertama, ke-dua, ke-tiga dan sehinggalah tiba di “Sidratul Muntaha”. Di sinilah Baginda S.A.W bertemu dengan Allah S.W.T dan berbicara perihal solat 5 waktu.
Pada keesokan pagi, Baginda S.A.W menceritakan setiap perkara yang berlaku dan dilihat oleh mata kepalanya kepada masyarakat umum. Namun, cerita itu hanya mengundang gelak tawa orang musyrikin, malah, Baginda S.A.W turut dicabar untuk menceritakan dan membuat gambaran mengenai “Baitul Muqadddis” sekiranya Rasulullah S.A.W benar-benar bersembahyang di dalamnya. Ketika itu, Baginda S.A.W agak menghadapi kesukaran untuk menyahut cabaran tersebut kerana kekurangan ingatan Baginda S.A.W untuk meneliti sehalusnya tentang binaan “Baitul Muqaddis”. Lalu, Allah S.W.T menampakkan di mata kasar Rasulullah S.A.W akan gambar dan pemandangan “Baitul Muqaddis” secara terperinci dengan tiga dimensinya yang akhirnya membuatkan Baginda S.A.W mampu menjawab setiap pertanyaan masyarakat.
Melalui riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda, “Puak Quraisy telah mendusta segala cakapku, kemudian akupun bangun ke anjung (Saidina Ismail). Lepas itu, Allah pun menampakkan kepadaku “Baitul Muqaddis”. Ini membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Muqaddis yang dipaparkan oleh Allah S.W.T.”
Beberapa orang Musyrikin yang telah mendengar cerita Isra’ dan Mikraj Rasulullah S.A.W itu berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad S.A.W yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar akan terperanjat dan kebingungan, tetapi sebaliknya yang berlaku. Dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab,”Sekiranya itu yang diceritakan oleh Baginda, maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad S.A.W tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu.”
Dan pada subuh pagi hari Isra’ itu, Malaikat Jibril telah mendatangi dan mengajar Baginda S.A.W mengenai cara-cara, rukun-rukun dan setiap satu perkara yang berkait dengan fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Diriwayatkan bahawa sebelum diturunkan syariat sembahyang kepada Rasulullah S.A.W, Baginda telah melakukan sembahyang dua raka’at pagi dan petang mengikut perlakuan yang diajarkan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.
TEORI RELATIF MASA EINSTEIN

Seksyen ini hanya akan menyentuh secara ringkas mengenai konsep teori ini yang berkaitan dengan isi penulisan. Untuk dapatkan penerangan secara terperinci, korang boleh baca di sini ya. Apa Itu Teori Kerelatifan Khas? | AJAR
Pada tahun 1905, Einstein telah mengemukakan dua postulat.
- Pertama, Einstein menyatakan bahawa hukum fizik memiliki bentuk yang sama pada semua kerangka acuan inersia.
- Kedua, cahaya yang bergerak di ruang vakum dengan kelajuan c = 3 x 108 m/s adalah sama untuk semua pemerhati dan tidak bergantung kepada gerakan sumber cahaya mahupun keadaan pergerakan pemerhati.
Daripada kedua-dua postulat ini, dapat disimpulkan bahawa setiap pergerakan adalah relatif dan kelajuan cahaya dalam vakum adalah sama pada semua pemerhati. Perkara ini telah membawa kepada berlakunya dilasi masa.
Dilasi masa merupakan satu konsep yang menyebabkan masa seseorang pemerhati itu bergerak lebih perlahan berbanding pemerhati lain. Dan apabila seseorang pemerhati itu bergerak, masanya bergerak pada kadar yang lebih perlahan berbanding pemerhati yang pegun. Semakin laju pemerhati itu bergerak, semakin perlahan masanya berlalu.
Daripada beberapa pengiraan yang telah dikeluarkan, Einstein telah menyatakan bahawa cahaya mempunyai kelajuan tertinggi. Menurut teori relativiti Einstein juga, sekiranya terdapat perkara yang melebihi kelajuan cahaya, maka masa akan undur ke belakang dan setiap jarak di hadapan akan terpadam. Tetapi, sekiranya seseorang itu bergerak dengan kelajuan kurang daripada kelajuan cahaya, maka masa akan bergerak seperti biasa.
Daripada pernyataan Einstein ini, dapat dilihat bahawa ianya hanya terpakai pada objek yang bergerak dengan kelajuan tinggi yang menghampiri kelajuan cahaya. Sedangkan pergerakan seharian kita yang sangat perlahan jika dibandingkan cahaya sukar untuk membuktikan atau mematahkan perkara ini walaupun dilihat sukar diterima akal. Oleh sebab itu, dunia masih menerima teori ini selagimana tiada pembuktian yang menolak teori ini dengan penemuan saintifik yang baru dan lebih signifikan.
Tetapi, dalam dunia Islam, telah terlakar mukjizat Nabi Muhammad S.A.W menerusi perjalanan Baginda S.A.W dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang menyanggahi teori ini dengan kekuasaan Allah S.W.T.
LOGIK EINSTEIN DAN MUKJIZAT NABI MUHAMMAD S.A.W
Pada tahun 2020, satu kajian telah dibuat untuk membuktikan teori Einstein tidak mampu menandingi Mukjizat Nabi Muhammad S.A.W dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Dalam teori relativiti masa Einstein, kelajuan tertinggi ialah kelajuan cahaya. Tetapi, Al-Quran menyatakan bahawa peristiwa Isra’ Mikraj melebihi kelajuan cahaya.
Peristiwa ini dikatakan sangat luar biasa kerana berlaku pada waktu 2/3 malam dan Baginda S.A.W telah melepasi alam semesta yang memerlukan kepada 13.7 bilion tahun cahaya mengikut kajian saintis, serta Baginda S.A.W telah memecahkan rekod melebihi jarak itu.
Pertama, kita kaitkan teori Einstein dengan Surah al-Ma’arij ayat 4, yang disebutkan oleh Allah bahawa jalan para malaikat naik menghadap Tuhan dalam sehari setara dengan lima puluh ribu tahun.

Kelajuan ini menunjukkan kelajuan yang mungkin digunakan oleh Malaikat untuk naik menghadap Allah dengan menggunakan persamaan yang dikemukakan oleh Einstein. Dan nilai ini menghampiri kelajuan cahaya dan sepertimana kita tahu, sesungguhnya Malaikat juga dicipta daripada cahaya (nur). Maka, perjalanan Baginda S.A.W juga akan dinisbahkan demikian. Oleh yang demikian, terdapat tiga perkara utama yang telah dipersoalkan mengikut kepada teori Einstein.
1. Kelajuan ini terpakai pada cahaya. Tetapi, Rasulullah S.A.W bergerak bersama jasadnya yang bukan tercipta daripada cahaya.
2. Sekiranya perjalanan Mikraj Rasulullah S.A.W berlaku dengan kelajuan cahaya iaitu 300,000 KM per saat, jarak yang akan dicapai hanyalah 4,320 juta KM, yang mungkin hanya sampai ke planet Neptun. Manakala, untuk tiba di bintang terhampir, Alfa Centauri, mengambil masa selama 4.4 tahun dengan kelajuan cahaya. Maka, mustahil Baginda S.A.W hanya mengambil masa satu malam untuk bertemu Allah di langit tertinggi dengan kelajuan yang sama dengan cahaya. Dan perjalanan Baginda S.A.W juga berlaku secara dua hala iaitu pergi dan pulang. Sudah tentu masa dan jaraknya akan digandakan. Ini bermakna, kelajuan Baginda S.A.W adalah melebihi kelajuan cahaya.
3. Mengikut kepada teori Einstein juga, sekiranya seseorang bergerak dengan kelajuan cahaya, badannya akan musnah. Dan perkara ini boleh dikaitkan dengan persoalan pertama. Tetapi, Rasulullah S.A.W tidak mengalami perkara sedemikian.
Oleh yang demikian, teori relatif Einstein tidak mampu untuk menerangkan peristiwa ini biarpun pelbagai lagi teori lain dikeluarkan setelah itu oleh pengikut-pengikut Einstein bagi menerangkan peristiwa Isra’ Mikraj dalam kerangka masa yang dikemukakan oleh Einstein. Sehinggakan terdapat juga pandangan bahawa Baginda S.A.W terkeluar daripada ruang masa sepanjang peristiwa ini berlaku.
KESIMPULAN
Demikianlah hebatnya kekuasaan Allah yang tidak mampu ditandingi oleh logik akal manusia. Hakikatnya, logik akal manusia itu juga adalah sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-Nya untuk hanya memikirkan kerangka keperluan diri manusia, bukanlah untuk menandingi kekuasaanNya. Kerana inilah hukum akal yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Adapun wujudnya istilah berfikir di luar kotak, tiada manusia yang mampu berfikir melebihi kerangka sepatutnya kerana bagi manusia yang beriman, yang membatasi otak dan akalnya ialah iman.
Sesungguhnya, ilmu sains dan teknologi itu juga tercipta daripada cebisan ilmu Allah yang ditetapkan olehNya untuk membantu proses kehidupan umat manusia. Malah, ilmu ini juga adalah alat bantu utama Allah kepada hambaNya untuk menstabilkan fitrah manusia dalam mencari Sang Pencipta. Maka, bagi mereka yang memanfaatkannya dengan kebenaran, jadilah mereka itu hamba yang begitu patuh kepadaNya. Tetapi, bagi mereka yang sombong menggunakan pinjaman ilmu Allah ini untuk memuaskan nafsu semata, maka, mereka sedang menuju satu keruntuhan.
Adapun pada peristiwa Isra’ dan Mikraj ini tercipta banyak kebaikan dan kemuliaan. Malah, kisah-kisah yang dipertontonkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W sepanjang perjalanan yang agung ini adalah satu bentuk peringatan dan kasih sayang kepada semua hambaNya.
Firman Allah di dalam Surah al-Isra’ ayat 1,
“Maha Suci Allah yang telah memperjalanan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Sebagai hamba yang beriman, wajib untuk kita mengimani mukjizat ini dan mengambil ibrah pada setiap peristiwa yang berlaku. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sentiasa bersyukur dan berusaha menambahkan keimanan kepadaNya setiap hari.
Ayuh lazimi doa ini secara harian,

”Ya Allah, Tolong aku untuk menyebut nama-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah yang baik untuk-Mu.”
.
.
RUJUKAN DAN BACAAN LANJUT
2. The Journey of Isra’ and Mi’raj in Quran and Science Perspective, 7587-18529-1-SM.pdf
3. Einstein mencadangkan Teori Relativiti (eferrit.com)
4. Apa Itu Teori Kerelatifan Khas? | AJAR
5. Fiqh al-Sirah 1, Syeikh Ramadhan al-Buti