Menyoroti artikel bagaimana Bumi menjadi Bumi yang kita kenali sekarang, korang pernah tertanya tak, macam mana hidupan pertama muncul di atas Bumi? Dalam artikel kali ini, kita akan kembara semula ke Bumi kuno berusia 3.4 Billion tahun dahulu untuk mengenali kehidupan yang pertama menawan Bumi.
Bukti hidupan awal

Kalau korang dah baca artikel-artikel sebelum ni (kalau belum baca pi la baca dulu), Australia semestinya tidak asing penemuan geologi kuno misalnya mineral zircon dan juga kali ini di Strelley Pool, Australia Barat, hidupan yang kelihatan seperti tergumpal, bebola dan bebatang disyaki merupakan antara bakteria kuno yang menjadi permulaan episod penaklukan Bumi oleh organisma hidup. Penemuan ini ialah oleh Martin Brasier seorang ahli palaeobiologi (palaeo = kuno) daripada University of Oxford, UK, di mana fossil ini dijumpai di dalam batu “chert” pada tahun 2011.

Penemuan ini telah menggembirakan sangat ramai pengkaji hidupan awal kerana telah lama tiada kajian baru yang menggegarkan dunia palaeobiologi. Namun begitu, soalan yang lebih menarik untuk kita jawab ialah bagaimana sebenarnya organisma ini muncul di muka Bumi dan kenapa hidupan wujud.
Sel proto
Dalam dunia biologi, semua bersetuju bahawa organisma yang hidup seharusnya diperbuat daripada suatu komponen yang dikenali sebagai protein. Protein ini pula diperbuat daripada asid amino. Untuk menghasilkan asid amino pula, asid deoxyribonucleic (DNA) & asid ribonucleic (RNA) pula diperlukan. Jadi untuk menjawab soalan bagaimana organisma pertama muncul di atas muka bumi, kita seharusnya menjawab bagaimana DNA & RNA dapat dihasilkan lantas menghasilkan sel proto (sel pertama).
Eksperimen Miller-Urey

Pada tahun 1952, Stanley Miller dengan bantuan Harold Urey daripada University of Chicago telah melakukan suatu eksperimen untuk membuktikan teori-teori yang dahulunya digembar-gemburkan oleh para pengkaji. Tak macam penggembar-gembur tersebut, Miller-Urey mengambil keputusan untuk “Walk the talk”.
Mereka menggunakan gas dan molekul yang sepatutnya wujud sebaik sahaja Bumi ini sesuai keadaannya iaitu ammonia, metana, wap air, dan hydrogen. Tambahkan haba, tambahkan cas elektrik dan voila! Terhasillah suatu molekul yang dipanggil asid amino.
Dengan berjayanya eksperimen Miller-Urey ini, telah membuktikan bahawa teori-teori dulu bukan sekadar sembang. Terdapat dua teori yang terkenal dan diterima, yang menggunakan konsep “primordial soup” atau sup purbakala iaitu:
- Kolam cetek hidrothermal
- Cerobong hydrothermal
1. Kolam Cetek Hidrothermal

Seperti yang Miller-Urey telah buktikan, untuk menghasilkan asid amino kita memerlukan haba, bahan-bahan organik dan cas elektrik. Di beberapa kolam hydrothermal dunia, kita dapat menyaksikan terdapat pelbagai jenis bakteria wujud disekelilingnya. Kolam-kolam ini mendapat haba daripada gunung berapi berdekatan dan bahan organik daripada kandungan Bumi. Macam mana nak dapat cas elektrik? Benda ni saintis hanya menduga-duga, mungkin daripada guruh dan petir yang akhirnya memancar ke kolam ini dan akhirnya, semua terletak kepada kebarangkalian dan nasib.
Memang zaman dahulu berbeza sedikit kondisi dengan zaman sekarang, tetapi mengikut prinsip Charles Lyell, “The present is the key to the past” atau zaman sekarang adalah kunci kepada zaman lampau merupakan prinsip yang terbaik mampu para saintis pegang. Tambahan pula, air kolam cetek hydrothermal yang mampu untuk menghalang sinaran ultra-violet (UV) mampu untuk memelihara asid amino yang sangat mudah dinyahaslikan (denature) oleh UV dan oksigen.
2. Cerobong hydrothermal.

Tau tak, dekat bawah laut, ada terdapat beberapa cerobong yang menghubungkan kandungan Bumi dan laut? Kalau tak tau ni sebab korang banyak sangat tengok Spongebob. Tolonglah hidup dalam reality okay? Tapi takpe, sebab cerobong ni pun baru ditemukan pada abad ke-20. Jadi aku maafkan korang.
Cerobong ni mempunyai haba dan molekul yang penting bagi mencukupkan resipi untuk hadirnya kehidupan. Tapi, satu jawapan yang tak dapat dijawab ialah dari mana datangnya cas elektrik? Ini belum dapat dijawab dengan konkrit oleh para saintis.
Namun begitu, jawapan ini adalah lebih disukai oleh para saintis kerana kebanyakan fossil yang dijumpai adalah berasal daripada laut.
3. Panspermia: Hidupan daripada angkasa lepas
Eh? Tadi cakap ada dua jawapan, kenapa hang tetiba bagi yang ketiga??

Haaa, jawapan di atas tu semua yang muncul DARI Bumi. Sekarang ni muncul dari angkasa lepas. Ada je saintis yang skeptikal dengan jawapan-jawapan di atas, jadi mereka kata nak selamat, asid amino yang datang semua daripada angkasa lepas, sama seperti semua elemen yang terdapat di muka Bumi. TAPI *amboi besaqnya tapi dia*, jawapan yang paling selamat ni pun tak lagi menjawab soalan pokok yang kita semua ternanti-nanti:
Macam mana sebenarnya kehidupan sebenaqnya terhasil? *lagu x-files*
Konklusi
Pada tahun 2019, Dr. Sean Jordan daripada Genetik, Evolusi dan Alam Sekitar University College London telah menyatakan bahawa sokongannya terhadap teori kehidupan muncul daripada cerobong hidrothermal. Namun begitu, pada hujungnya, beliau sendiri pun mengaku bahawa, tiada siapa di dunia ini tahu secara mutlak bagaimana kehidupan berlaku walaupun eksperimen Miller-Urey berjaya, kerana tiada siapa pun yang boleh menunjukkan bahawa apa yang berlaku dalam eksperimen Miller-Urey berlaku pada zaman pertama kali asid amino tercipta.
Apa-apa pun, kita haruslah belajar daripada kesungguhan saintis-saintis ini untuk menemukan kebenaran *sebut macam Papazola*. Tapi satu yang kena ingat! Diorang ni carik kenapa hidup ni terjadi untuk menjawab persoalan “Apa tujuan aku hidup?”.
Islam dah menjawab soalan ini dengan jelas:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di Bumi. Mereka bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di Bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji dan mensucikanMu? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.” Al-Baqarah, 2:30
“Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepada-Ku” – Adz-Dzariyat 51:56
“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang paling baik amalannya.” Al-Mulk 67:2
Wallahua’lam.
Rujukan:
- Sweetlove, L., 2011. New candidates for oldest fossils. Nature.
- Jordan et al., 2019. Promotion of protocell self-assembly from mixed amphiphiles at the origin of life. Nature Ecology & Evolution.
- Rampelotto, P. H. (2010). “Panspermia: A promising field of research” (PDF). Astrobiology Science Conference