Planet yang ditemui dengan menggunakan matematik!

Tahukah anda, bahawa planet Neptun ditemui oleh saintis dengan menggunakan matematik?

Segalanya bermula apabila Johannes Kepler, seorang ahli astronomi Jerman menghasilkan 3 Hukum Pergerakan Planet. Hukum pergerakan ini mampu menerangkan pergerakan objek samawi dengan agak tepat pada waktu itu.

Kajian Kepler terhadap objek samawi kemudian diteruskan pula oleh Sir Isaac Newton, dengan Newton mencipta Hukum Kegravitian Semesta (Newton’s Law of Universal Gravitation). Menurut Newton, semua objek dengan jisim akan tertarik antara satu sama lain, termasuklah jasad samawi.

Sebelum Neptun dijumpai, ahli astronomi telah terlebih dahulu menjumpai planet Uranus. Status planet Uranus ni pada awalnya diragui, sama ada ia adalah planet atau sekadar komet. Namun, analisa menunjukkan bahawa pergerakan Uranus mengikut hukum pergerakan planet Kepler, justeru ahli astronomi mengkategorikan Uranus sebagai planet. Kredit terjumpanya Uranus diberikan kepada William Herschel (1781).

Masalah bermula apabila analisa lebih lanjut dilakukan terhadap Uranus, saintis mendapati bahawa terdapat sedikit perbezaan (discrepancies) antara pemerhatian fizikal menggunakan teleskop dengan hukum Kepler.

Ada sebahagian saintis berpandangan bahawa mungkin Hukum Kepler dan Hukum Graviti Newton berubah sifatnya apabila planet semakin jauh dari Matahari. Ada pula idea bahawa wujud jasad samawi lain yang berada di sekitar planet Uranus, menghasilkan daya graviti antara mereka. Keadaan jadi bertambah menarik apabila komet Halley muncul pada tahun 1835.

Apa yang menarik?

Komet Halley tersebut telah hadir lambat sehari dari tarikh yang dijangka oleh ahli astronomi.

Hal ini menguatkan naluri ahli astronomi pada waktu itu bahawa memang ada jasad samawi lain yang wujud di sekitar Uranus. Cuma masalahnya, dekat mana perlu kita halakan teleskop kita? Royal Academy of Sciences siap bagi ganjaran wang tunai untuk siapa yang dapat jumpa planet ni.

Dua orang ahli matematik, John Couch Adams (British, kiri) dan Urbain Le Verrier (France) telah berjaya untuk mengira orbit pergerakan planet baharu ini secara berasingan.

Adam sebenarnya telah terlebih dahulu dapat mengira orbit Neptun, namun disebabkan beliau berasa ragu-ragu dengan hasil kerjanya, beliau mengambil masa yang lebih lama dari Le Verrier untuk menerbitkan hasil kerja tersebut.

Cubaan untuk membuktikan wujudnya planet Neptun ini (meskipun orbitnya telah ditemui) juga merupakan satu drama yang panjang. Hal ini kerana kedua-dua ahli matematik ini dari negara yang berbeza. Jadi berlaku perebutan antara Akademi Sains British dan France.

British (diketuai oleh George Biddell Airy) cuba untuk menang. Dengan menggunakan data dari kedua-dua ahli matematik tadi, Airy telah berjaya menjumpai Neptun pada tanggal 23 September 1846.

Namun, ternyata mereka sebenarnya kalah apabila mereka sebenarnya terlambat. Johann Gottfried Galle (Jerman) telah bekerjasama dengan Le Verrier dan telah terlebih dahulu menjumpai planet Neptun pada tanggal 8 dan 12 Ogos. Ternyata Airy terlewat hampir sebulan lamanya.

“The Brits Stole Neptune”.

Itu adalah antara kata-kata yang keluar apabila diketahui bahawa Airy cuba untuk mendapatkan kredit daripada penemuan Neptun. Hari ini, kredit penemuan Neptun masih lagi menjadi kontroversi, kerana Galle orang pertama melihat Neptun secara fizikal, sedangkan Adams dan Le Verrier adalah orang pertama yang mengira dan memberi maklumat kepada Galle untuk melihat Neptun. Namun, Adams memberi kredit kepada Le Verrier dan mengakui bahawa Le Verrier menang kerana hasil kerjanya telah terbit terlebih dahulu.

Sumber :

https://owlcation.com/stem/The-Drama-of-Neptunes-Discovery

Total
13
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts