KESESAKAN HANTU (PHANTOM JAM) YANG SERING MENGHANTUI KITA 

Selalu kalau sesak kat jalan raya, mesti kita tertanya-tanya puncanya. Kadang-kadang tu, bila dah sampai ke depan sikit, eh elok je tiada apa-apa.

Habis tu, kenapa sesak?

Haa inilah persoalan yang sentiasa menghantui minda para pemandu. Sampai tahap stres orang sebelah asyik dengar persoalan yang tiada jawapan ni.

Meh sini nak jawab.

Keadaan ini sebenarnya dipanggil sebagai fenomena ‘kesesakan hantu’ (phantom jam). 

Sumber: https://www.jurnileasing.co.uk/blog/what-is-a-phantom-traffic-jam-why-do-they-happen-and-how-can-they-be-stopped

Menurut definisi oleh Kerner dan Konhäuser (1993), phantom jam berlaku tanpa kewujudan halangan fizikal seperti simpang, lorong sempit atau kemalangan, sebaliknya ia tercetus akibat gaya pemanduan yang tidak konsisten oleh pengguna jalan raya dalam keadaan trafik metastabil, iaitu keadaan yang kelihatan lancar tetapi sangat mudah terganggu dengan gangguan kecil yang boleh mencetuskan kesesakan besar.

Bagaimana ia terjadi?

Fenomena ini lazim berlaku apabila pemandu menekan brek secara tiba-tiba, memperlahankan kenderaan secara tidak sekata, atau memandu terlalu rapat antara satu sama lain (tailgating).

Sumber: https://hondanews.com/en-US/videos/video-d452f3b32ba94f8798b4f7d7e4187c78-phantom-traffic-jam-video

Gangguan kecil ini akan mencetuskan gelombang perlambatan yang berterusan di belakang, menyebabkan kesesakan tanpa sebab fizikal yang nyata. Sepertimana kesan domino, apabila seorang pemandu membrek secara tiba-tiba, pemandu di belakang turut membrek, dan seterusnya sehingga terbentuk rantaian pembrekan yang mengakibatkan kesesakan.

Kajian menunjukkan bahawa hanya satu kenderaan memperlahankan sedikit kelajuannya dalam trafik padat boleh mencetuskan gelombang phantom jam beratus meter ke belakang. 

Permodelan Matematik

Fenomena ini sangat menarik sehingga ahli fizik dan ahli matematik menggunakan model hidrodinamik untuk menjelaskan gelagat ini, seolah-olah kereta adalah zarah dalam cecair. 

Menurut pakar trafik Benjamin Seibold, gelombang berhenti-bergerak ini adalah fenomena “emergent”, ia muncul daripada tindakan individu tetapi menghasilkan kesan yang lebih besar daripada jumlah bahagiannya.

Kajian oleh Dirk Helbing menunjukkan bahawa tempoh purata satu kitaran gelombang ini adalah antara 4 hingga 20 minit, dengan panjang antara 2.5 hingga 5 km. Anehnya, gelombang ini wujud di seluruh dunia tanpa banyak dipengaruhi oleh perbezaan budaya pemanduan atau reka bentuk jalan. Malah, kelajuan penyebaran kesesakan ini hampir kekal sekitar 15 ± 5 km/j dan tidak dipengaruhi oleh susur keluar, persimpangan, atau keadaan jalan lain.

Teknologi sebagai penyelesaian

Dalam satu kajian di Netherlands, untuk mengatasi masalah ini, penyelidik memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama: mengurangkan gangguan kecil (perturbation) yang mencetuskan kesesakan, dan menstabilkan aliran trafik metastabil. 

Salah satu penyelesaian yang terbukti berkesan ialah penggunaan had laju dinamik, iaitu had laju yang boleh berubah bergantung kepada keadaan trafik semasa yang dipaparkan pada papan tanda elektronik di tepi lebuh raya.

Namun, kemajuan teknologi terkini membuka peluang untuk menyampaikan nasihat kelajuan dinamik terus ke dalam kenderaan (in-car dynamic speed advice). Ini membolehkan pemandu menerima maklumat yang lebih tepat dan bersifat peribadi berdasarkan lokasi dan keadaan trafik sebenar.

Dalam satu kajian simulasi menggunakan perisian VISSIM, penyelidik menguji pelbagai strategi penggunaan had laju dinamik dalam kenderaan untuk mencegah phantom jam di lebuh raya tanpa sebarang persimpangan. Kadar pematuhan pemandu dan kadar penggunaan sistem turut diubah bagi melihat kesannya.

Data trafik dikumpul menggunakan pengesan gelung ganda (dual loop detectors), dan diproses dengan kaedah logik kabur (fuzzy logic) bagi menentukan keadaan trafik ruang-masa. Berdasarkan teori tiga fasa trafik oleh Kerner dan kaedah FOTO (Forecasting of Traffic Objects), sistem ini memberi nasihat kelajuan kepada pemandu mengikut lokasi dan masa yang strategik.

Hasilnya, sistem ini berjaya mengurangkan jumlah dan keterukan phantom jam dengan ketara, dan sekaligus meningkatkan keselamatan jalan raya. Ini kerana trafik menjadi lebih stabil dan perbezaan kelajuan antara kenderaan berkurangan, sekali gus mengurangkan risiko pelanggaran.

Kereta tanpa Pemandu

Satu lagi cara nak selesaikan kesesakan ini adalah menggunakan kereta tanpa pemandu. 

Kajian simulasi menunjukkan bahawa menggantikan hanya 10% kenderaan di jalan raya dengan kenderaan tanpa pemandu boleh menggandakan kelajuan purata dan meningkatkan aliran trafik. 

Hal ini kerana komputer dalam kenderaan ini mampu meramalkan dan menyesuaikan kelajuan dengan lebih cekap berbanding manusia, sekaligus mengurangkan braking waves yang menyebabkan phantom jam.

Kesimpulan

Meskipun teknologi boleh membantu, tingkah laku pemandu tetap memainkan peranan penting. Dengan mengekalkan jarak selamat antara kenderaan, kita boleh membantu menyerap gelombang membrek yang boleh mencetuskan kesesakan hantu. Kadang-kala, hanya dengan “menjaga jarak”, kita sebenarnya sedang membantu keseluruhan aliran trafik kekal lancar. Maka, beringatlah wahai pemandu, dengan menjaga jarak, bukan hanya membantu menyelesaikan phantom jam, tetapi juga membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Mari sama-sama kita cakna dan ambil tindakan berhemah di jalan raya ya!

SUMBER:

  1. https://www.iflscience.com/what-are-phantom-traffic-jams-the-emergent-phenomenon-making-you-late-for-work-78888
  2. https://siakapkeli.my/2024/04/04/kenali-phantom-traffic-jam-punca-jalan-tiba-tiba-sesak-walau-tiada-apa-yang-berlaku
  3. https://www.jurnileasing.co.uk/blog/what-is-a-phantom-traffic-jam-why-do-they-happen-and-how-can-they-be-stopped
  4. https://www.livescience.com/61862-why-phantom-traffic-jams-happen.html
  5. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S2352146515001337
  6. https://thepatriots.asia/kenapa-jalan-mudah-jammed/?fbclid=IwY2xjawKzY-lleHRuA2FlbQIxMQABHj9tuWv2AOh_kv1Ah7xYSLMFPlhlv3rV2uOX4FC-yeAxw8VSfm1E4kLMAyG9_aem_zorxHYmElzO_hWnajSf_-Q
  7. https://medium.com/@vikneswaran/interesting-facts-of-the-frustrating-traffic-jams-9f5a283865e5

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts