Apabila disebut manga, belimbing, betik dan kemanisan buah-buah ini pastinya mengiurkan. Malangnya buah-buah ini apabila dibeli dan dipotong terdapat makhluk-makhluk kecil berwarna putih menggeliat ke kiri dan ke kanan cuba melarikan diri dari gerakan tangan yang memotong buah-buah yang baru dibeli itu. Dari mana datangnya ulat-ulat putih ini? Bagaimana mereka ini boleh berada di dalam buah-buah ini? Apabila buah dipilih kulit luarnya kelihatan elok dan tiada rosak tetapi malangnya ada makhluk perosak rupanya sedang berpesta buah-buahan di dalam.
Ulat ini datang dari lalat buah. Lalat yang datang ke buah-buah yang sedang membesar menyuntik telur-telur mereka ke dalam isi buah-buah ini. Telur ini akan menetas menjadi ulat-ulat yang bakal merosakkan isi buah-buahan. Seekor lalat betina berkeupayaan bertelur sehingga 500 biji telur sepanjang hayatnya. Telur ini akan mengambil masa minimum sehari untuk menetas. Larva akan keluar dari telur. Menggunakan cangkuk yang ada pada mulut larva, proses memakan buah akan berlaku. Sebab inilah lalat buah telah disenarai oleh 64 buah negara dunia sebagai perosak utama tanaman.
Malaysia pastinya tidak terkecuali. Kita sendiri selalu mengalami masalah ini. Ulat-ulat telah dahulu memakan buah-buah yang dibeli kita. Sebagai contoh lalat buah dari Bactrocera papayae terkenal sebagai perosak bagi buah betik, jambu batu, manga, belimbing dan banyak lagi.
Terdapat satu lagi jenis serangga yang berkait rapat dengan lalat buah iaitu dipanggil penyengat atau “wasp”. Serangga ini diguna dibeberapa tempat sebagai kawalan biologi lalat buah. Kawalan biologi ini penting bagi mengelak penggunaan racun serangga yang bukan sahaja membunuh lalat buah tetapi haiwan lain dan semestinya beracun kepada manusia. Contohnya penggunaan malathion yang boleh mengganggu sistem saraf manusia. Kawalan biologi ini selalunya melibatkan penggunaan musuh semulajadi perosak. Penyengat ini merupakan musuh semulajadi lalat buah.
Penyengat mempunyai satu struktur badan yang panjang dan tajam. Struktur ini berkeupayan menyucuk atau menyuntik telur penyengat ke dalam ulat lalat buah. Struktur ini dipanggil ovipositor. Ovipositor ini akan digerak-gerak sehingga dapat menembusi badan ulat. Apabila dicucuk telur penyengat akan dimasukkan ke dalam ulat. Telur ini akan menetas menjadi ulat di dalam ulat lalat buah.
Ulat penyengat akan bertindak sebagai parasit memakan semua nutrient dalam badan ulat lalat buah. Ulat lalat buah akan meneruskan fasa kitar hidup yang ada sehingga ke fasa pupa. Sepatutnya lalat buah dewasa yang akan keluar dari pupa tetapi yang keluar dari pupa adalah penyengat dewasa. Penyengat ini juga digelar parasitoid yang merujuk kepada serangga yang ulatnya menjadi parasit bagi perumah(serangga lain).
Secara sejarahnya, seawal tahun 1912, Hawai telah menggunakan penyengat dari spesies Psyttalia humilis dan Diachasmimorpha tyroni dalam kaedah kawalan biologi lalat buah. Begitulah rantaian kehidupan dua jenis serangga ini. Satu serangga memakan buah-buahan, satu lagi hidup memakan serangga itu dari dalam. Inilah ciptaan Tuhan, mereka dicipta merosak memusnah yang lain demi kelangsungan kehidupan spesiesnya. Telah dicipta dan acuannya begitu.
Pastinya manusia itu berbeza dengan haiwan yang tidak mempunyai kod-kod moral, etika dan agama. Bukanlah kehidupan ini, kita hidup atas musnahnya orang lain.
Rujukan
- “A Parasitoid Wasp.” Featured Creatures. http://entnemdept.ufl.edu/creatures/beneficial/d_longicaudata.htm
- Stuhl, Charles & Cicero, Lizette & Sivinski, John & Teal, Peter & Lapointe, Stephen & Paranhos, Beatriz & Aluja, Martín. (2011). Longevity of multiple species of tephritid (Diptera) fruit fly parasitoids (Hymenoptera: Braconidae: Opiinae) provided exotic and sympatric-fruit based diets. Journal of insect physiology. 57. 1463-70. 10.1016/j.jinsphys.2011.07.015.
- “Bactrocera.” Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Bactrocera
- “MENGAPA LALAT BUAH SULIT DIKENDALIKAN?” LALAT BUAH HAMA. https://lalatbuahhama.wordpress.com/2013/11/24/58/