Terbaru, Bernama telah melaporkan kejayaan Prof Madya Dr Zahiraniza Mustaffa dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang meraih Anugerah Akademik Negara (AAN) bagi Kategori Pengajaran (Kelompok Kejuruteraan) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghormatan tertinggi Negara kepada cendekiawan Malaysia yang komited memberi sumbangan besar dalam penemuan-penemuan serta pembangunan ilmu untuk Negara.

Anugerah ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam Anugerah Akademik Negara ke-14 baru-baru ini.
Prof Madya Dr Zahiraniza Mustaffa begitu berbesar hati menerima anugerah ini dan menceritakan pengalaman beliau dalam bidang pengajaran sejak 10 tahun lepas serta sokongan pengurusan UTP dan bahagian akademik yang terus membimbing beliau dalam kerjaya dan pembangunan diri.
Menerusi bual bicara bersama wakil Bernama, beliau menceritakan perihal UTP sebagai sebuah institusi yang begitu menyokong kakitangannya dalam pelbagai cara. Justeru, menjadi aspirasi beliau untuk meletakkan universiti tersebut setanding dengan institusi lain dalam mengetengahkan usaha yang dilakukan oleh Petronas dan UTP untuk pembangunan manusia.
Selain itu, kejayaan meraih anugerah ini juga menjadi medium untuk beliau menyebarkan fahaman dan aspirasi keguruan dalam mendidik generasi muda dengan pendekatan pedagogi yang betul, bukan sahaja menekankan kepada kecekapan teknikal tetapi juga keupayaan untuk mereka berfikir secara rasional dalam membuat keputusan kejuruteraan. Langkah ini diharapkan dapat melahirkan ramai jurutera yang berperikemanusiaan.

Tahniah Prof Madya Dr Zahiraniza Mustaffa! Tahniah UTP!
Jutaan tahniah juga diucapkan kepada semua ahli akademik penerima anugerah dalam Anugerah Akademik Negara ke-14. Semoga lebih ramai cendekiawan berkualiti dilahirkan oleh institusi-institusi pengajian di Malaysia demi pembangunan manusia dan peradaban Negara.
Sumber : Berita Bernama.