Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan sekolah kebangsaan di negara ini telah berubah menjadi ke arah sekolah agama.
Presidennya, Ustaz Azizee Hassan berkata, kenyataan sedemikian sebenarnya boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang diajar di sekolah kebangsaan.
Hakikatnya, iGuru melihat penekanan subjek Pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana murid hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak.
Malah katanya, kurikulum Pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasa diperingkat rendah lagi dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori, kerana waktu pengajaran mengambil masa tiga jam seminggu tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid.
“iGuru bersetuju kurikulum Pendidikan Islam perlu dimantapkan dengan elemen yang mampu membangunkan karektor dan menyiapkan mereka mendepani cabaran IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0) dengan olahan lebih dinamik serta kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.
“iGuru mencadangkan supaya ada jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam bagi membina kualiti murid untuk mendorong mereka menguasai ilmu-ilmu di bidang lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kurikulum sekolah kebangsaan sudah menjadi sekolah agama kerana sesi pembelajaran hanya memfokuskan kepada subjek agama Islam dan tidak pada subjek lain.
Justeru, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula kurikulum sekolah, yang mana subjek agama tidak diajar pada setiap waktu dalam sesi persekolahan.
Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Azizee berkata, langkah mengurangkan masa mengajar pendidikan Islam adalah langkah mundur dan tak bertamadun, kerana dibimbangi menjejaskan kualiti penghayatan agama Islam yang sebenar.
“Penekanan pengajaran subjek agama ini sudah termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1952 di dalam Seksyen 70 dan Seksyen 86 yang menggariskan hak murid yang beragama Islam untuk mendapatkan pelajaran agama.
“Ini diperkukuhkan semula dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama,” katanya.
Sumber: Ismaweb