Ini sebab banjir dahsyat landa Malaysia lagi!

Cuaca belakangan ini yang tidak menentu menyebabkan tiada siapa jangka Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain bakal mengalami banjir yang agak dahsyat. 

Pilu apabila melihat keadaan rakyat Malaysia yang terkesan dengan bencana ini sehingga mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak. Kereta-kereta marhain dan mewah, semuanya terkesan.

Tapi, ada juga min tengok satu video, kereta Myvi selamba redah air sebelah Mustang. Fuh! Memang king of the road betul! Jangan main-main dengan buatan Malaysia ya! 

Tapi, apa faktor yang menyumbang kepada keadaan ini? Jom kita tengok tiga faktor utama, ulasan Prof. Dr Fredolin Tangang yang merupakan Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ulasan ini telah dipetik daripada Berita Harian.

Sumber foto : Harian Metro

3 FAKTOR UTAMA FENOMENA BANJIR SEKARANG

Menurut Prof, terdapat tiga faktor utama yang mengakibatkan fenomena cuaca ekstrim dan menghasilkan hujan lebat dan banjir kilat di empat negeri khususnya Lembah Klang.

1. Pantai Barat ketika ini mula memasuki musim peralihan monsun.

2. Peralihan keadaan angin di bahagian atas semasa musim peralihan monsun serta fenomena La Nina yang masih aktif.

3. Faktor perubahan iklim.

Sumber foto : Twitter

Ketiga-tiga ini sebenarnya berkait dan menjadi pendorong utama berlakunya banjir. Menurut Prof, banjir yang melanda Lembah Klang bukanlah mustahil berlaku kerana kebiasaannya hujan dan ribut petir akan terjadi pada musim peralihan monsun apabila sistem perolakan berlaku setelah peralihan keadaan angin di bahagian atas menjadi lemah, dan mungkin akan berterusan sehingga bulan Mei sebelum beralih ke Monsun Barat Daya.

“”Proses ini memerlukan haba diserap permukaan bumi dan terkumpul dari sebelah pagi hingga ke petang. Udara panas di sebelah petang akan mengembang dan menjadi lebih ringan serta teranjak ke atas bersama kelembapan tinggi yang menjana perolakan serta pembentukan awan, lalu menjana ribut petir dan hujan yang lebat. Ia juga memerlukan haba dan kelembapan,”

Prof. Dr Fredolin Tangang

Selain itu, fenomena La Nina yang masih aktif dan berkategori sederhana di bahagian tengah serta timur Lautan Pasifik turut memainkan peranan apabila keadaan ini menyebabkan penurunan suhu permukaan laut yang lebih rendah berbanding normal sehingga membawa kepada pengukuhan angin timuran yang bertiup ke rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pengukuhan ini telah meningkatkan kelembapan dan kebarangkalian berlakunya fenomena ribut petir dan hujan lebat semasa musim peralihan monsun.

Faktor ketiga ialah faktor perubahan iklim disebabkan pemanasan global yang turut menyumbang kepada perubahan cuaca yang dahsyat apabila kejadian tersebut memperkukuhkan lagi kesan fenomena La Nina di Malaysia dengan meningkatkan jumlah kelembapan di udara akibat peningkatan suhu dunia.

Menurut Prof, kajian di Kuala Lumpur telah menunjukkan bahawa kekerapan dan intensiti hujan ekstrim meningkat 30 peratus sejak 30 tahun lalu ini berkemungkinan besar disebabkan pemanasan global yang bukan sahaja meningkatkan haba, tetapi juga kelembapan diperlukan untuk pembentukan perolakan dan ribut petir.

Kalau kita lihat, ketiga-tiga faktor ini merupakan fenomena alam semula jadi. Tetapi, benarkah banjir yang dahsyat sekarang berlaku hanya semata-mata kerana ini?

Sebenarnya, banjir ini berlaku juga kerana tangan manusia. Prof. ada menyebut bahawa banjir ini berlaku bukan hanya kerana curahan hujan, tetapi disebabkan oleh infrastruktur yang tidak terancang dan sistem saliran lemah.

“Bagaimanapun banjir mungkin juga dipengaruhi faktor lain, bukannya sekadar curahan hujan. Apabila hujan lebat melanda di lokasi yang pesat membangun dan tidak mempunyai infrastruktur terancang seperti sistem saliran lemah, tipikalnya banjir kilat akan berlaku,”

Prof. Dr Fredolin Tangang

Makanya, kita ingat kembali firman Allah SWT bermaksud:

“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah ash-Shura, ayat 30)

Oleh itu, bencana ini sebenarnya sebuah teguran Allah kepada manusia. Bermuhasabahlah dan renungi hikmah-Nya.

Sumber :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/931581/3-faktor-hujan-lebat-banjir-landa-negara

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts