Fenomena tiang cahaya kembali tular. Rupanya ini penjelasannya

Media sosial kembali digemparkan dengan gambar satu kejadian di langit yang berlaku beberapa hari lepas sebelum waktu berbuka puasa di sebuah lokasi di Malaysia.

Pada tahun 2020, fenomena ini menggemparkan masyarakat di Pendang, Kedah. Manakala, pada tahun 2021, fenomena ini telah dilihat oleh masyarakat Bintulu, Sarawak dengan dakwaan bahawa fenomena tersebut dilihat seperti satu letupan di ruang angkasa yang mengeluarkan cahaya merah seperti api dengan bentuk yang tidak konsisten.

Beberapa penerangan telah dikeluarkan oleh beberapa pihak dan pakar bagi menerangkan kesalahfahaman rakyat Malaysia yang terus mengaitkannya dengan perkara-perkara yang mengelirukan.

Apa sebenarnya fenomena ini?

Berikutan penularan berita fenomena ini di Sarawak, Agensi Angkasa Malaysia telah menjawab persoalan masyarakat melalui hantarannya di facebook.

Menurut hantaran tersebut, kejadian tersebut ialah fenomena ‘light pillars’ (tiang cahaya) yang berlaku apabila di permukaan bumi terdapat cahaya yang terang dan dikelilingi oleh air. Kemudian, ketika kejadian, suhu atmosfera sangat sejuk sehingga terbentuk ais (berbentuk kepingan) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Manakala, suhu di permukaan bumi pula sangat panas. Pertembungan kedua-dua keadaan ini menyebabkan cahaya tadi terpantul ke atmosfera dan kelihatan seolah-olah tiang cahaya tergantung di langit. Keadaan ini selalu terjadi di kawasan kutub/ polar. Fenomena ini juga boleh berlaku di mana-mana sahaja, sepertimana pada tahun 2017 menyaksikan fenomena ini berlaku di Kudat, Sabah.

Sumber : The Star

Malah, agensi ini juga mengatakan bahawa cahaya yang dipantul daripada bot-bot nelayan juga boleh mencetuskan fenomena ini sepertimana yang pernah dirakam pada tahun 2014 ketika musim mencandat sotong.

Sumber : Agensi Angkasa Malaysia-MYSA

Bagi dakwaan terbaru mengenai fenomena ini, facebook Astronomi & Sains turut menerangkan hal yang sama yang memaklumkan bahawa ini merupakan kejadian ‘light pillars’.

Menurut hantaran tersebut, fenomena  tiang cahaya yang merupakan fenomena paling indah dan menakjubkan pernah berlaku di dunia ini merupakan sekumpulan cahaya menegak yang muncul daripada satu sumber cahaya. Fenomena atmosfera optik ini terhasil oleh refleksi cahaya daripada Kristal ais kecil yang banyak terdapat pada awan. Selain itu, sebahagian besar cahaya ini juga berpunca daripada cahaya matahari, bulan ataupun cahaya daratan yang lain. Menurutnya lagi, adakalanya fenomena ini boleh terjadi kerana cuaca sejuk bersalji yang ekstrem, sepertimana yang berlaku di beberapan negara seperti Norway dan Finland.

Untuk penerangan dan gambaran lanjut, kalian boleh menonton video ini. https://fb.watch/cwkUiTyLF9/

Makanya, penerangan-penerangan ini sudah jelas dan dibuktikan secara ilmiah melalui kajian-kajian pakar. Namun, biarpun hebatnya teori-teori dan hukum yang disebutkan, akhirnya kita berbalik kepada Allah dan mensyukuri kejadian-kejadian yang menakjubkan ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.” (Al-Baqarah: 117)

Bukan itu sahaja, kita juga dituntut untuk berfikir dan merenungi hikmah-Nya bagi menghadirkan rasa keinsafan dalam diri dan menambahkan keimanan.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

(Aal Imran: 190-191)

Sumber :

1. Facebook Agensi Angkasa Malaysia-MYSA, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10159327133656203&id=85784241202

2. Facebook Astronomi & Sains, https://www.facebook.com/groups/3023712334585054/permalink/3237551399867812/

3. Facebbok PenMerahdotcom, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3352311755054249&id=1504464443172332

4. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1236-irsyad-al-fatwa-ke-129-penciptaan-langit-bumi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts