Bulan Zulhijjah merupakan antara bulan Islam yang paling dimuliakan Allah, tetapi tidak semua umat Islam menyedari ini.
Kita sering tertumpu kepada kemuliaan bulan-bulan Islam yang lain terutamanya Ramadan, tetapi tidak pada Zulhijjah.
Kita mengetahui bahawa dalam bulan Zulhijjah ini terkandungnya Raya Aidiladha, korban, dan ibadah Haji dan umrah buat yang berkemampuan. Namun, masih ada yang tidak menyedari bahawa kemuliaan bulan Zulhijjah ini bukan hanya pada insan yang mengerjakan Haji, bahkan pada semua umat Islam yang mengerjakan ibadah apa sahaja yang mengagungkan-Nya di sepuluh hari awal bulan ini.
Rasulullah S.A.W merakamkan kebenaran ini dalam sabdanya :
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang bermaksud :
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757))
Oleh itu, jom kita tengok matematik mudah di bawah untuk memahami ukuran keistimewaan yang Allah sediakan buat semua umat Islam seluruh dunia.
Nisbah amalan 10 hari awal Zulhijjah kepada jihad di jalan Allah
Daripada hadis di atas, Baginda S.A.W menyebut bahawa amalan soleh di sepuluh hari terawal Zulhijjah, tidak dapat ditandingi jihad manusia di jalan Allah, melainkan sekiranya manusia yang berjihad itu syahid. Masih, syahid merupakan tingkatan dan kemuliaan tertinggi di sisi Allah.
Kita mengetahui bahawa adalah tidak mudah untuk seseorang itu berjihad di jalan Allah tanpa semangat juang dan pengorbanan yang besar. Jihad di jalan Allah merupakan antara tuntutan terbesar-Nya kepada hamba-Nya bagi menguji keimanan dan ketaqwaan, melepaskan dunia sementara menuju alam akhirat yang kekal fana. Allah menjanjikan ganjaran luar biasa buat mereka yang berjihad di jalan Allah dalam kehidupannya.
Sudah pasti definisi jihad ini adalah sangat luas dan bergantung kepada kehidupan masing-masing. Contohnya, seorang lelaki yang bekerjaya, tetapi langkahnya hanya kerana Allah dan menolak sebarang kemaksiatan yang berlaku di tempat kerjanya serta menggunakan kuasa yang ada untuk mengekang kemaksiatan tersebut.
Asasnya ialah setiap perbuatan itu dilaksanakan hanya kerana Allah, mengikut hukum-hukum Allah dan bertunjangkan ketaqwaan kepada Allah. Tetapi, tidak semua umat manusia mampu melakukan jihad ini. Oleh itu, dapat dilihat terlalu banyak kepincangan dan masalah sosial yang melanda orang Islam dalam urusan kehidupan.
Mulialah mereka yang berjaya mengharungi jihad dalam kehidupan dengan sebaiknya.
Lalu, kita nisbahkan kemuliaan ini kepada kemuliaan kejayaan kita melakukan amalan soleh di sepuluh hari awal bulan Zulhijjah.
Jom kita renungi hadis ini.
“Dari Abu Hurairah menyebutkan, “Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, “Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amal yang menyamai jihad? Beliau menjawab, “Aku tidak mendapatkannya” Beliau bersabda lagi, “Apakah kamu sanggup, apabila seorang mujahid keluar berjihad lalu kamu masuk ke dalam masjidmu kemudian kamu solat tanpa berhenti dan berpuasa tanpa berbuka? Ia menjawab, “Siapa yang sanggup melakukan itu wahai Rasulullah?””
Secara amalannya, tidak semua manusia sanggup mengharungi kepayahan dan kesusahan berjihad di jalan-Nya. Lalu, kasihnya Allah mengurniai kita peluang dengan mudah untuk mendapatkan kemuliaan jihad di jalan-Nya malah melebihi lagi, di sepuluh hari awal bulan Zulhijjah. Nikmat apa lagi yang engkau dustakan, wahai manusia?
Nisbah puasa kepada penghapusan dosa
Umum mengetahui bahawa puasa antara ibadah yang sangat disukai Allah dan sesiapa yang ikhlas melakukan puasa, puasanya hanya untuk Allah. Hal ini kerana, ibadah lain dapat dikesan manusia apakah kita melaksanakannya ataupun tidak. Tetapi, lain pada ibadah puasa yang tidak mudah untuk dikesan apakah benar seseorang itu berpuasa. Maka, sesiapa yang benar-benar puasa, disebut bahawa puasanya itu ikhlas dan hanya untuk-Nya. Oleh itu, amalan puasa begitu sinonim dengan taqwa.
Dalam sepuluh hari awal Zulhijjah ini, puasa antara ibadah terbaik yang dianjurkan untuk dilaksanakan. Malah, Baginda S.A.W bersabda kemuliaan lebih bagi yang berpuasa pada 9 Zulhijjah.
Dari Abu Qatadah, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:
“Puasa Arafah (9 Zulhijjah), dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyuro (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dapat dilihat disini, nisbah sehari berpuasa kepada penghapusan dua tahun dosa (yang lalu dan akan datang). Bagaimana pula apabila ditambah dengan lapan hari awal berpuasa, pasti ganjarannya berlipat ganda. Subhanallah!
Logik tahajud dan darjat
Dalam surah Muzammil, Allah menyeru kita, hamba-Nya bangun sepertiga malam untuk bertahajjud.
“Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “…Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pesan Jibril kepada Nabi S.A.W, “Ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang Mukmin itu terletak pada qiamulailnya dan kehebatannya apabila ia tidak bergantung kepada orang lain tetapi hanya kepada Allah S.W.T.”
Logiknya di sini ialah, apabila manusia bertahajud, maka, dia akan dimuliakan dan diangkat darjat. Begitu kasih-Nya Allah bagi hamba-Nya yang menyambut seruan-Nya di kala masih ramai hamba-Nya yang tidak mengendahkan panggilannya dan meneruskan dengkuran demi menyahut cabaran manusia keesokan harinya.
Oleh sebab itu, satu riwayat menceritakan tentang seorang anak murid Abdullah bin Abbas yang bersungguh-sungguh melaksanakan solat malam pada malam sepuluh awal Zulhijjah sehingga disebutnya, “Jangan kalian matikan lampu-lampu kalian pada malam 10 awal Zulhijjah kerana amalan di waktu ini sangat dicintai Allah S.W.T.”
Logik cinta-Nya dan zikir hamba-Nya
Zikir bukan sahaja dituntut pada bulan Zulhijjah, tetapi seluruh detik kehidupan. Zikirnya kita kepada Allah melambangkan ingatan sentiasa kita kepada-Nya.
Namun begitu, terdapat pengkhususan zikir yang dituntut Allah kepada mereka yang mengerjakan ibadah Haji kerana Arafah merupakan hari berdoa, berzikir dan mengingati Allah. Kemudian, terdapatnya pengampunan dan hidayah buat mereka. Lalu, umat manusia yang tidak mengerjakan Haji turut dituntut untuk perbanyakkan zikir di sepuluh hari awal Zulhijjah ini kerana keindahan dan kemuliaannya. .
Terdapat juga sabdaan Baginda S.A.W yang khusus menyebut perihal ini.
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih dicintai oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Hadis Riwayat Al Tabrani)
Maka, logiknya apabila manusia itu berzikir mengingatinya, Allah turut mengingatinya dengan cinta-Nya yang luar biasa sepertimana yang disebut oleh Baginda S.A.W dalam sebuah sabdanya yang lain bahawa mujahidin yang paling besar pahalanya ialah mereka yang paling banyak zikirnya.
Perlambangan korban kepada kesyukuran
Kemuncak kemuliaan bulan Zulhijjah ialah pada 10 Zulhijjah sehinggalah 13 Zulhijjah yang menyaksikan umat manusia memenuhi syariat penyembelihan.
Syariat ini dituntut Allah bukanlah semata-mata meraikan manusia dengan berkenduri-kendara dan menikmati daging kurniaan-Nya tanpa hala tuju. Tetapi, syariat korban dan penyembelihan ini hanyalah sebuah perlambangan kepada erti kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan-Nya.
Dan Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (Al Khausar: 2)
Allah S.W.T menyebut lagi dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” (Al Hajj: 37)
Bagi memaknai lagi erti kesyukuran ini, kita perlu merenung ibrah sirah pengorbanan yang dibuat oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana besarnya cinta mereka kepada Allah S.W.T.
Kesimpulan
Yang disebut ini hanyalah sebahagian ibadah besar yang dianjurkan untuk diberi perhatian bagi merasai kemuliaan bulan Zulhijjah. Adapun untuk ibadah-ibadah yang lain seperti membaca Al-Quran, bersedekah, menjaga perkataan dan apa sahaja kebaikan yang dilakukan kerana-Nya turut mendapat pahala berlipat ganda dan kemuliaan dari-Nya.
Oleh itu, bersegeralah mengaut keuntungan akhirat ini yang tiada tandingnya. Sedarlah bahawa matematik Akhirat itu lebih menguntungkan dan membahagiakan berbanding matematik dunia. Jangan dilepaskan peluang mendapat diskaun-Nya di bulan Zulhijjah ini. Semoga redha-Nya bersama kita semua setiap masa.
Rujukan
- Artikel Harakah Daily di pautan https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/15/amalan-soleh-mukmin-di-bulan-zulhijjah/
- Artikel bayan lil al-Haj di pautan https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-li-al-haj/682-bayan-li-al-haj-siri-ke-32-keistimewaan-dan-fadhilat-10-awal-zulhijjah-marilah-kita-beramal
- https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/isu/10-awal-zulhijjah-hari-yang-lebih-baik-daripada-jihad/
- https://www.muslimkita.com/keislaman/pr-4263604785/inilah-amalan-zulhijjah-tiga-hari-pertama-yang-wajib-diketahui-umat-muslim-pada-bulan-haji-simak-berikut-ini