Gambar Menarik dari James Webb Space Telescope (JWST)

Baru-baru ini, NASA telahpun mengeluarkan imej angkasa raya yang ditangkap oleh teleskop terbaru mereka, teleskop angkasa James Webb (JWST). Pengumuman itu telah dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada 11 Julai, dan keesokan harinya, NASA telah mengeluarkan lebih banyak gambar yang diperoleh daripada data JWST.

Sebelum JWST, NASA telah terlebih dahulu mendapat pelbagai data daripada teleskop angkasa Hubble (Hubble Space Telescope), dan JWST boleh dianggap sebagai penerus legasi teleskop Hubble menangkap gambar kawasan yang pernah ditangkap oleh Hubble, namun dalam bentuk yang lebih menarik.

Teleskop angkasa Hubble secara umumnya berfungsi untuk “melihat” dalam spektrum ultralembayung (ultraviolet) dan cahaya nampak, dengan sedikit kebolehan untuk melihat radiasi inframerah. Yang menjadikan JWST berbeza dengan Hubble ialah JWST mampu melihat gelombang lebih panjang dalam julat radiasi inframerah sehinggalah ke sedikit bahagian cahaya nampak.

Eh kejap, saya tak faham. Kenapa ada banyak sangat julat dan spektrum ni?

Spektrum Gelombang Elektromagnet

Julat dan spektrum ini merujuk kepada spektrum gelombang elektromagnet. Gelombang elektromagnet merupakan gabungan gelombang elektrik dan magnet yang bergerak pada kelajuan cahaya di dalam vakum (atau ruang kosong).

Terdapat pelbagai jenis gelombang elektromagnet, dan bezanya pada umumnya disandarkan kepada panjang gelombang tersebut serta tenaga gelombang tersebut. Gelombang yang lebih panjang selalunya membawa tenaga yang lebih rendah (seperti gelombang radio), manakala gelombang yang lebih pendek selalunya adalah lebih bertenaga, sehingga kadangkala mampu mengionkan atom dan menyebabkan kanser (seperti radiasi gamma).

Mata kita hanya boleh melihat dalam spektrum cahaya nampak, namun terdapat pelbagai lagi spektrum “cahaya tak nampak” yang wujud di luar sana. Di sinilah teleskop angkasa sepert JWST dan Hubble berfungsi. Merujuk gambar di atas, Hubble “melihat” dalam julat “cahaya ultralembayung”, manakala JWST melihat dalam julat “cahaya inframerah”, yang mana kedua-duanya adalah jenis “cahaya” yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia.

Hubble vs JWST

Disebabkan Hubble dan JWST mempunyai spektrum yang berbeza, JWST (yang lebih baharu) mempunyai kelebihan kerana fungsinya mampu mencerap gelombang yang lebih panjang dan tenaga yang lebih rendah.

Berikut merupakan perbandingan antara imej yang dikeluarkan oleh Hubble dan JWST.

Foto : Gegelung Nebula Selatan

NGC 3132, atau dikenali sebagai Gegelung Nebula Selatan (Southern Ring Nebula) ialah kepulan gas yang sedang mengembang, terhasil daripada kematian satu bintang kira-kira 2,500 juta tahun cahaya dari Bumi.

Imej di sebelah kiri ialah imej daripada teleskop angkasa Hubble, manakala imej di sebelah kanan ialah imej daripada JWST. Dari sini kita mampu melihat dengan lebih jelas isi kandungan di dalam gegelung tersebut.

Foto : Nebula Carina

Nama asalnya ialah NGC 3324, yang turut dipanggil sebagai Nebula Carina atau Tebing Kosmik (kerana terletak di penjuru Nebula Carina). Di bahagian atas adalah tangkapan gambar daripada spektrum ultralembayung Hubble, manakala dengan JWST, bahagian di sebalik tebing ini (pelbagai bintang dan galaksi baru) dapat dilihat di gambar bawah.

Foto : Lima kluster galaksi

Ini merupakan gambar bagi lima kluster galaksi, atau Stephen’s Quintet, di mana terdapat lima galaksi yang dapat dilihat dalam gambar ini. Gambar ini amat menarik kerana kita dapat melihat dan meneroka kawasan di tengah-tengah galaksi tersebut. Seperti yang kita tahu, lohong hitam wujud di tengah-tengah kebanyakan galaksi, dan disebabkan lohong hitam tidak dapat dilihat (kerana ia tidak mengeluarkan cahaya), maka mengkaji gas dan objek di sekeliling lohong hitam adalah perlu dalam kajian lohong hitam.

Selain itu, kita juga dapat melihat percantuman dua galaksi dengan lebih jelas dalam gambar JWST di sebelah kanan.

Foto : Medan Dalam

Gambar di atas merupakan gambar pertama yang dikeluarkan oleh JWST. Ia merupakan gambar Medan Dalam (Deep Field) bagi kluster galaksi SMACS 0723. Dikatakan bahawa gambaran bagi saiz angkasa dalam gambar ini adalah “seumpama mengambil sebutir pasir, dan menghalakannya ke langit”. Itu adalah saiz cebisan angkasa dalam gambar ini.

Di sebelah kiri, kita mampu melihat angkasa raya yang agak malap dan tidak dipenuhi galaksi, namun di sebelah kanan, kita mampu melihat pelbagai galaksi yang wujud, yang sebelum ini tidak kelihatan di pandangan Hubble.

Peminat fizik juga mampu melihat kesan pengkantaan graviti (gravitational lensing) dalam gambar ini. Hal ini terjadi kerana cahaya yang terherot akibat graviti objek yang tinggi di kawasan tersebut.

Kesimpulan

Gambar-gambar yang telah dikeluarkan oleh NASA ini pastinya mengagumkan kita. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran, surah al Hijr ayat 16 yang bermaksud :

“Dan sungguh, Kami telah menciptakan gugusan bintang di langit dan men-jadikannya terasa indah bagi orang yang memandang(nya).”

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada gambar-gambar ini dan turut terdorong untuk meneroka angkasa lepas.

Kredit Gambar:

NASA di pautan :

https://www.nasa.gov/webbfirstimages

https://www.nasa.gov/press-release/nasa-reveals-webb-telescope-s-first-images-of-unseen-universe

Britannica di pautan :

https://www.britannica.com/science/electromagnetic-spectrum

wiser.my di pautan :

https://wiser.my/ini-adalah-teleskop-paling-berkuasa-abad-ini-bakal-beroperasi-1-5km-juta-dari-bumi

Total
49
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts