Sewaktu sedang membaca email peribadi, saya terjumpa satu email menarik. Email ini merupakan satu pertanyaan yang dihantar oleh seorang pelajar sekolah dalam tulisan saya yang lain, “4 Fenomena Lebih Laju dari Cahaya”. Soalan pelajar ini berbunyi begini:
“Hi, saya Gerrad, saya Seorang pelajar dari SMK XXXXX.
Pada masa ini, saya rasa masa lebih laju dari cahaya. Sebab sebelum cahaya bergerak masa juga turut bergerak kerana kita mengukur mengunakan masa. (teori saya) kalau tidak ada masa maka kita jugak tidak tahu berapakah masa untuk mengukur cahaya tersebut. Tapi bagaimana dengan jarak pula, apakah mengukur cahaya dan masa tapi jarak sejauh manakah kita ingin mengukur jarak.
Sebagai intiha, soalan saya adalah manakah yang lebih laju di antara kedua-dua benda ini “detik masa atau cahaya ”?”
Soalan ini sebenarnya adalah satu soalan yang amat menarik, dan untuk menjawab soalan ini, kita perlu melihat kepada salah satu idea besar dalam Fizik Moden, iaitu Teori Relativiti.
Aristotle dan Masa
Apabila berbicara tentang masa, pada asalnya, terdapat dua sudut pandang tokoh pemikir kita mengenai masa. Sudut pandang pertama adalah pandangan bahawa masa itu adalah sesuatu yang subjektif – ia hanya mempunyai nilai apabila wujudnya sesuatu yang memberikan nilai kepadanya. Pandangan yang kedua pula adalah pandangan bahawa masa ini wujud secara hakiki, dalam erti kata lain, adanya masa yang sentiasa berdetik di sebalik tabir alam ini semenjak dari permulaan alam semesta.
Aristotle merupakan antara pemikir utama yang cuba memahami masa. . Menurut Aristotle, masa ini wujud sebagai manifestasi satu bentuk korelasi (atau kesan-akibat) apabila suatu peristiwa terjadi. Masa hanya wujud apabila berlakunya perubahan, dan tanpa perubahan, tanpa kesan dan akibat, maka masa itu tidak dapat memanifestasikan dirinya sendiri.
Idea Aristotle ini membawa kepada perlunya pemerhati bagi mencerap masa. Hal ini kerana masa menjadi satu benda yang subjektif bagi Aristotle, tidak ubah seperti benda subjektif yang lain, seperti “cantik”. Cantik adalah satu sifat yang subjektif, yang disandarkan semula kepada pemerhati. Sebagai contoh, bagi mereka yang pernah melihat aurora di Kutub Utara, mereka pastinya merasakan bahawa Aurora adalah fenomena alam yang cantik dan indah. Namun, bagi beruang kutub yang tinggal di Kutub Utara pula, aurora hanyalah sekadar cahaya langit – tidak cantic dan tidak buruk di mata mereka, kerana mereka tidak mampu memahami konteks “cantik” dari sudut pandang manusia.

Newton dan Masa
Masa sebagai satu benda yang relatif dan hanya terbit hasil dari persepsi minda kita dipanggil sebagai Masa Relatif (English: Relative time). Sudut pandang ini ralativisme ini dipegang oleh orang ramai dari zaman Aristotle (abad ke-4) sehinggalah ke zaman Newton (abad ke-17), apabila Newton berani mencabar idea Aristotle itu dengan penciptaan ideanya sendiri.
Dalam karya agungnya Philosophiæ Naturalis Principia Mathematica (atau dipanggil Principia), Newton membahaskan tentang keperluan konsep Masa Mutlak (absolute space) dan Ruang Mutlak (absolute time). Kedua-dua konsep ini penting dalam penciptaan Mekanik Newtonian yang menerangkan mengenai pergerakan objek.
Diambil dari Principia :
Absolute, true, and mathematical time, of itself, and from its own nature flows equably without regard to anything external, and by another name is called duration: relative, apparent, and common time, is some sensible and external (whether accurate or unequable) measure of duration by the means of motion, which is commonly used instead of true time; such as an hour, a day, a month, a year.

Idea yang dibawa Newton ini mungkin lebih dekat kepada pemahaman masyarakat moden mengenai masa. Menurut Newton, wujud satu bentuk masa mutlak yang sering berdetik di sebalik tabir alam semesta, dan detik masa ini adalah berkadar sama bagi semua pemerhati (absolute time tick at a constant rate for all observer).
Konsep masa mutlak ini ternyata penting bagi Newton sewaktu dia mencipta Kalkulus, kerana Kalkulus adalah kajian tentang kadar perubahan (study of rate of change), dan untuk wujudnya perubahan, maka masa diperlukan. Keperluan matematik terhadap masa yang tekal ini menyebabkan Newton yakin bahawa sifat masa bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Aristotle, namun sebaliknya masa itu adalah entiti yang sentiasa berdetik secara sekata di balik tirai alam semesta (a continuous ticking entity that tick behind the veil of the cosmos).
Perdebatan antara yang mana satu betul – masa itu relatif atau masa itu mutlak mula berlaku selepas era Newton. Antara perdebatan yang hangat adalah perdebatan antara Samuel Clarke, salah seorang penyokong idea Newton dan Gottfried Leibniz, seorang saintis masyhur pada era Newton yang yakin pada konsep masa yang relatif. Mereka berdua sering berutus surat dan surat-surat mereka kini disimpan sebagai sebahagian koleksi saintifik Leibniz-Clarke Correspondence.
Antara Masa dan Cahaya
Einstein muncul dalam perdebatan “masa” ini apabila dia bejaya membawa satu hujahan baru yang menyanggah pandangan Newton. Hujah Einstein ini menghasilkan apa yang dipanggil sebagai Teori Relativiti Khusus, di mana Einstein menggunakan cahaya sebagai titik bagi memahami sifat ruang dan masa.
Menurut Einstein, masa dan ruang adalah satu entiti yang sama, dan yang mutlak itu adalah kelajuan cahaya. Mutlak di sini bermaksud bahawa kelajuan cahaya itu tidak akan berubah berdasarkan pemerhati – mereka semua akan mendapati bahawa cahaya memiliki kelajuan yang sama. Ini bermakna bahawa tak kiralah sama ada anda sedang duduk diam, atau berada dalam kereta yang bergerak, atau dalam kapal terbang, dalam kesemua situasi ini, kelajuan cahaya yang anda ukur adalah sama.
Dari idea inilah perkataan “Nisbi” atau “Relatif” muncul – cahaya itu tidak bergantung kepada pemerhati (atau cahaya itu mutlak dan tidak bernisbi). Ketaknisbian cahaya ini memerlukan Einstein untuk mengkaji semula makna ruang dan masa, kerana seperti yang kita tahu, sekiranya kelajuan cahaya itu kekal malar (constant), maka ia akan memberi kesan kepada ruang dan masa, kerana formula kelajuan adalah:

Ketakvarian cahaya menyebabkan keperluan kita untuk memahami semula maksud ruang dan masa, dan hasilnya, Einstein memberi revolusi baru dalam Fizik apabila dia memperkenalkan konsep Pengecutan Ruang (Length Contraction) dan Pengembangan Masa (Time Dilation). Pengembangan Masa adalah fenomena yang terjadi apabila dua pemerhati “merasai masa pada kadar yang berbeza”. (Topik Pengembangan Masa dan Pengecutan Ruang ini akan dikupas dalam tulisan akan datang)
Berbalik kepada soalan adik Gerrard tadi, “Yang manakah lebih laju, detik masa atau cahaya?”, jawapan kepada soalan ini menurut teori santifik moden adalah cahaya lebih laju, kerana cahaya itu sifatnya adalah mutlak (invariance) tanpa disandarkan kepada pemerhati, sedangkan masa pula adalah disandarkan kepada pemerhati. Dua orang pemerhati mungkin merasai dua senggang masa yang berbeza, namun mereka akan bersetuju pada kelajuan cahaya.
RUJUKAN
- Page:Newton’s Principia (1846).djvu/83 – Wikisource, the free online library
- Philosophies | Free Full-Text | Space and Time as Relations: The Theoretical Approach of Leibniz
- Leibniz-Clarke Correspondence
- Hujah Einstein ini menghasilkan apa yang dipanggil sebagai Teori Relativiti Khusus, di mana Einstein menggunakan cahaya sebagai titik bagi memahami sifat ruang dan masa
- Time for Aristotle | Reviews | Notre Dame Philosophical Reviews | University of Notre Dame
- https://www.factmonster.com/science/universe/nutshell-what-does-relativity-mean-time-and-space