Kajian ini membuktikan haruman badan yang sama cenderung mewujudkan sebuah persahabatan erat

Sesiapa yang pernah berjalan dengan anjing pasti tahu bahawa anjing mereka biasanya boleh mengetahui dari jauh sama ada anjing lain yang menghampiri adalah kawan atau musuh. Apabila ragu-ragu ketika bertemu antara satu sama lain, dengan berhati-hati kedua-dua anjing itu mungkin menghidu satu sama lain sebelum memutuskan sama ada untuk bermain bersama atau bergaduh. Peranan dominan yang dimainkan oleh deria bau dalam interaksi sosial telah didokumentasikan secara meluas dalam semua mamalia darat kecuali manusia. Adakah ini kerana manusia tidak menggunakan hidung mereka dalam tetapan sosial seperti yang dilakukan oleh semua mamalia darat yang lain? Atau adakah tingkah laku ini tersembunyi, bukannya terang-terangan, pada manusia?

Pelajar siswazah Inbal Ravreby, di makmal Prof. Noam Sobel di Jabatan Sains Otak Weizmann, membuat hipotesis bahawa manusia menggunakan hidung untuk interaksi sosial dalam keadaan tersembunyi. Beliau bergantung kepada dua pemerhatian sebelumnya. 

Pertama, beberapa pembuktian menunjukkan bahawa manusia sentiasa menghidu diri sendiri biarpun secara tidak sedar. 

Kedua, manusia sering menghidu orang lain secara tidak sedar. 

Di samping itu, umum mengetahui bahawa manusia cenderung untuk berkawan dengan orang lain yang serupa dengan diri mereka dalam aspek rupa, latar belakang, nilai dan juga dalam ukuran seperti aktiviti otak. Ravreby membuat hipotesis bahawa apabila seseorang itu secara tidak sedar menghidu diri sendiri dan orang lain, kemungkinan perbandingan subliminal akan dibuat, dan kemudiannya berlaku daya tertarik kepada mereka yang baunya sama dengan bau diri sendiri.

Untuk menguji hipotesisnya, Ravreby merekrut sepasang rakan klik: rakan bukan romantik sejenis jantina yang persahabatan mereka pada asalnya terbentuk dengan sangat cepat. Beliau membuat hipotesis bahawa kerana persahabatan sedemikian muncul sebelum kenalan yang mendalam, mereka mungkin dipengaruhi terutamanya oleh ciri fisiologi seperti bau badan. Kemudian, beliau mengumpul sampel bau badan daripada rakan klik ini dan menjalankan dua set eksperimen untuk membandingkan sampel tersebut dengan sampel lain yang dikumpul daripada pasangan rawak individu. 

Dalam satu set eksperimen, Ravreby melakukan perbandingan menggunakan satu alat yang dinamakan  eNose, yang menilai tanda kehadiran kimia bau. Di sisi lain, beliau meminta beberapa sukarelawan untuk menghidu dua kumpulan sampel bau badan untuk menilai persamaan yang diukur oleh persepsi manusia. Dalam kedua-dua jenis eksperimen, rakan klik didapati mempunyai bau yang lebih serupa antara satu sama lain berbanding individu dalam pasangan rawak.

Seterusnya, Ravreby ingin menolak kemungkinan bahawa persamaan bau badan adalah akibat daripada persahabatan klik, dan bukannya penyebab yang menyumbang. Sebagai contoh, bagaimana jika rakan-rakan mempunyai bau yang sama kerana mereka makan jenis makanan yang sama atau berkongsi pengalaman hidup lain yang mempengaruhi bau badan? Untuk menangani isu ini, Ravreby melakukan satu set eksperimen tambahan, di mana beliau menggunakan eNose untuk “menghidu” beberapa sukarelawan yang benar-benar asing antara satu sama lain, dan kemudian meminta mereka untuk terlibat dalam interaksi sosial bukan lisan secara berpasangan. 

Selepas setiap interaksi berstruktur sedemikian, para peserta menilai individu lain dari segi betapa mereka menyukai orang itu dan kemungkinan mereka menjadi kawan. Analisis seterusnya mendedahkan bahawa individu yang mempunyai interaksi yang lebih positif sememangnya berbau lebih sama seperti satu sama lain, seperti yang ditentukan oleh eNose. 

Malah, apabila Ravreby dan ahli statistik Dr. Kobi Snitz memasukkan data ke dalam model pengiraan, mereka dapat meramalkan dengan ketepatan 71 peratus yang mana dua individu akan mempunyai interaksi sosial yang positif, berdasarkan data eNose sahaja. Dengan kata lain, bau badan nampaknya mengandungi maklumat yang boleh meramalkan kualiti interaksi sosial antara orang yang tidak dikenali.

“Keputusan ini membayangkan bahawa, seperti kata pepatah, terdapat kimia dalam kimia sosial, ” Ravreby menyimpulkan. Sobel menawarkan kata-kata berhati-hati: “Ini bukan untuk mengatakan bahawa kita bertindak seperti kambing atau cerut — manusia mungkin bergantung pada isyarat lain yang jauh lebih dominan dalam membuat keputusan sosial mereka. Namun begitu, keputusan kajian kami menunjukkan bahawa hidung kita memainkan peranan-peranan yang lebih besar daripada yang difikirkan sebelum ini dalam aspek pemilihan kawan kita.”

Artikel ini diterjemahkan daripada artikel ScienceDaily bertajuk, “Scent of a friend : Similarities in body odor may contribute to social bonding”, di pautan https://www.sciencedaily.com/releases/2022/06/220627125010.htm

Rujukan Jurnal Kajian

  1. Inbal Ravreby, Kobi Snitz, Noam Sobel. There is chemistry in social chemistry. Science Advances, 2022; 8 (25) DOI: 10.1126/sciadv.abn0154
Total
18
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts