Semangat gadis OKU kerdil ini mencabar diri sambung belajar untuk lebih berdikari wajar diteladani!

Demi mencabar diri lebih berdikari, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Psikologi Dengan Pembangunan Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Nur Hanis Zainalabidin, 19, penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan berkata kepercayaan yang diberikan ibu dan bapanya menjadi pembakar semangat sekali gus mengetepikan soal kekurangan dirinya untuk berjaya.

JOHOR BAHRU, 10 Okt -- Pelajar baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Nur Hanis Zainalabidin (kiri) bersama ibu dan bapanya Zainalabidin Reduan, 58, (kanan) dan Ramlah Musa, 53, (tengah) berjalan ke bilik asrama pada Sesi Terima Pelajar Baharu Peringkat Sarjana Muda Bagi Sesi Akademik 2022/2023 di UTM Skudai hari ini. fotoBERNAMA
Sumber : Bernama

“Ini kali pertama saya masuk asrama dan berjauhan dari keluarga, saya rasa boleh berdikari. Kalau tidak sekarang, bila lagi (berdikari)?”

Nur Hanis Zainalabidin

Gadis berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat dengan berketinggian 121 sentimeter (cm) itu berkata pergerakannya adalah terhad dan perlu menggunakan tongkat selain mudah berasa penat jika berjalan lebih daripada 200 meter (m) sehingga kadangkala boleh menyebabkan dirinya mengalami demam.

Bagaimanapun, Nur Hanis berkata keadaan itu tidak menjadi halangan bagi dirinya yang berazam mendapatkan keputusan cemerlang selain bercita-cita untuk berkhidmat dalam bidang sumber manusia.

Sementara itu, Nur Billahizzah Razib, 20, OKU penghidap cerebral palsy kerana gangguan saraf tulang belakang pula teruja serta tidak sabar untuk memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.

Anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Seri Medan, Batu Pahat itu berkata dia boleh berjalan dengan normal, namun mudah berasa penat dan berharap dapat menjalani pengajian di universiti berkenaan dengan lancar.

“Kebiasaannya, saya akan berasa sakit jika terlalu penat seperti lenguh di bahagian belakang badan. Syukur saya dapat melanjutkan pengajian di sini kerana setiap tahun saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata universiti itu menerima 3,558 pelajar Sarjana Muda Sepenuh Masa bagi sesi akademik 2022/2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,401 pelajar akan mendaftar pengajian di kampus UTM di sini dan 157 pelajar pula di UTM Kuala Lumpur.

Ahmad Fauzi berkata sebanyak 567 pelajar antarabangsa dari 35 negara antaranya Bangladesh, Brunei Darussalam, China, Ekuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen juga mendapat tawaran mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu kali ini. – Bernama

Kredit : Bernama

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts