Kemalangan di Tempat Kerja: Teori Domino

Pada 22 Disember 2022 yang lalu Utusan Malaysia telah melaporkan terdapat satu kemalangan maut di tempat kerja melibatkan seorang warga Nepal yang berusia 30 tahun di sebuah kilang pembuatan produk pembungkusan di Klang. Kemalangan ini berlaku apabila lelaki tersebut cuba membetulkan hos yang tertanggal pada mesin di kawasan acuan lalu tersepit. Menurut berita tersebut, mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Kemalangan di tempat kerja tidaklah asing di mana-mana industri dan negara. Merujuk statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, dari Januari sehingga Ogos 2022, kira-kira 5366 kes kemalangan di tempat kerja telah dilaporkan kepada pihak mereka dimana 5034 kes melibatkan kemalangan bukan cacat kekal, 175 kes melibatkan kemalangan cacat kekal dan 157 kes kematian.

Menurut Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, kemalangan di tempat kerja bermaksud suatu  kejadian yang berbangkit daripada atau berkaitan dengan kerja yang mengakibatkan kecederaan maut dan kecederaan tidak maut. Manakala, menurut International Labor Organization (ILO), kemalangan di tempat kerja boleh didefinisikan suatu kejadian yang tidak disangka dan tidak dirancang termasuk tindakan ganas yang diakibatkan daripada atau berkaitan dengan kerja di mana mengakibatkan seorang atau lebih pekerja mengalami kecederaan, penyakit atau mati. Secara mudahnya kita boleh menyimpulkan kemalangan di tempat kerja merujuk kepada apa-apa perbuatan atau tindakan yang berlaku di mana-mana tempat kerja atau ketika masa bekerja yang menyebabkan seseorang pekerja mengalami kecederaan atau maut. Contoh kemalangan seperti terperangkap di ruang terkurung, terjatuh dari tempat tinggi, terkena bahan kimia yang berbahaya dan lain-lain.

Rajah 2: Contoh kemalangan yang berlaku di tempat kerja. Pekerja terjatuh ketika melakukan kerja di atas tangga (Sumber: https://www.work-fit.com/blog/how-an-accident-at-work-hurts-more-than-the-employee)

BAGAIMANA KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA BERLAKU?

Kemalangan di tempat kerja boleh berlaku bila-bila masa jika kita tidak mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak daripada ia berlaku. Persoalannya, bagaimanakah sesuatu kemalangan boleh berlaku di tempat kerja? Pelbagai teori telah dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik bagi memahami bagaimana kemalangan boleh berlaku di tempat kerja. Antara teori yang popular adalah The Domino Theory, Multiple Causation Theory, Biased Liability Theory, The Pure Chance Theory dan Accident Proneness Theory. Dalam teori-teori ini para penyelidik telah mencadangkan pelbagai faktor yang menyebabkan kemalangan boleh berlaku. Namun dalam penulisan ini kita akan melihat bagaimana kemalangan boleh berlaku berdasarkan teori domino yang diketengahkan oleh W.H Heinrich (1931). Walaupon teori ini mendapat kritikan kerana terlalu simplisitik dalam membincangkan faktor kemalangan, namun teori ini boleh digunakan sebagai asas dalam memahami bagaimana kemalangan berlaku.

THE DOMINO THEORY

Menurut Heinrich, 88% kemalangan disebabkan oleh perbuatan tidak selamat (Unsafe Act), 10% daripada keadaan tidak selamat (Unsafe Condition) dan baki 2% disebabkan oleh “act of God”. Dalam teori ini Heinrich telah memperkenalkan “five domino model” penyebab kemalangan.  Teori ini menyatakan bahawa urutan kemalangan sebagai satu rantaian peristiwa mewakili domino yang jatuh dalam satu rantaian. Domino pertama jatuh menyebabkan domino kedua jatuh diikuti ketiga dan seterusnya. Menurut Heinrich, kemalangan boleh dielakkan dengan cara menghapuskan salah satu faktor dalam rantaian peristiwa tersebut. 

Bayangkan beberapa domino disusun secara turutan, jika kita menolak jatuh domino yang pertama, ia akan jatuh dan menghempap domino yang kedua dan bersambung sehingga kesemua domino tumbang. Namun seandainya, kita membuang satu domino di antara domino kedua dan keempat, kita dapat elakkan kesemua domino jatuh. Berdasarkan situasi ini, Heinrich percaya bahawa dengan mengganggu rantaian penyebab kemalangan, kecederaan dapat dielakkan. Berdasarkan Heinrich, 5 faktor yang diperkenankan oleh beliau dalam bentuk domino tersebut merujuk kepada :

Domino 1 : Social environment – keadaan persekitaran yang memberi kesan kepada skil pekerja, kepercayaan dan sikap pekerja seperti kecuaian dan kedegilan.

Domino 2: Kesilapan seseorang (Fault of Person) – penyebab kepada pekerja tidak memberi tumpuan yang mencukupi kepada tugas

Domino 3: Perbuatan tidak selamat & tindakan tidak selamat – kesilapan pekerja atau masalah daripada peralatan

Domino 4: Kemalangan

Domino 5: Kecederaan

Rajah 3: Teori Domino yang diperkenalkan oleh W.H Heinrich dalam bukunya Industrial Accident Prevention: A Scientific Approach) Sumber: https://risk-engineering.org/concept/Heinrich-dominos

Dalam rajah 4 di bawah, menerangkan bagaimana kemalangan dapat dielakkan. Seandainya kita menghapuskan perbuatan tidak selamat atau keadaan tidak selamat yang berada di tengah-tengah rantaian kemalangan, menyebabkan kemalangan tidak berlaku seterusnya mengelakkan kecederaan kepada pekerja tersebut. 

Perbuatan tidak selamat (unsafe act/unsafe behavior) merujuk kepada tindakan yang dilakukan oleh pekerja yang menyebabkan dirinya, orang lain atau harta benda dalam risiko kecederaan atau kerosakan. Contoh perbuatan tidak selamat seperti tidak memakai alat perlindungan diri ketika melakukan kerja, menggunakan telefon ketika mengendalikan mesin di tempat kerja, dan bermain-main ketika bekerja. 

Manakala keadaan tidak selamat (unsafe condition) adalah risiko atau hazard yang wujud di tempat kerja yang boleh membawa kemudaratan kepada pekerja. Sebagai contoh lantai licin, hazard elektrik, hazard biologi, hazard mekanikal dan lain-lain bahaya.

Rajah 4: Teori Domino menerangkan bagaimana kemalangan dapat dielakkan dengan menghapuskan satu rantaian (Sumber: https://risk-engineering.org/concept/Heinrich-dominos)

Secara mudahnya, bagi mengelakkan kemalangan berlaku di tempat kerja, kita boleh menghapuskan tindakan tidak selamat (unsafe act/unsafe behavior) dan keadaan tidak selamat (unsafe condition). Memakai alat perlindungan diri yang betul, mematuhi prosedur selamat di tempat kerja merupakan contoh perbuatan yang selamat. Manakala, menyediakan tempat kerja yang selamat dan kondusif dapat mengurangkan keadaan tidak selamat di tempat kerja. Oleh itu, sebagai pekerja adalah menjadi tanggungjawab kita memantau tempat kerja dan diri sendiri supaya tidak terlibat dalam kemalangan.

RUJUKAN

  1. https://www.utusan.com.my/berita/2022/12/operator-kilang-maut-tersepit-mesin-acuan/
  2. https://www.dosh.gov.my/index.php/statistic-v/occupational-accident-statistics/occupational-accident-statistic-2022/4302-occupational-accidents-statistics-by-sector-january-to-september-2022-investigated/file
  3. https://www.work-fit.com/blog/how-an-accident-at-work-hurts-more-than-the-employee
  4. https://www.iloencyclopaedia.org/part-viii-12633/accident-prevention/item/894-theory-of-accident-causes\
  5. https://risk-engineering.org/concept/Heinrich-dominos
  6. https://www.lawinsider.com/dictionary/unsafe-act#:~:text=An%20Unsafe%20Act%20is%20defined,risk%20of%20injury%20or%20damage
  7. https://techqualitypedia.com/unsafe-acts/
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts