Tonton versi video di sini
Anda minat sains? Hala tuju impian seseorang yang meminati sains pada peringkat SPM mungkin adalah untuk meneruskan pengajian tinggi dalam lapangan sains, dan kemudian memperoleh kerjaya dalam arena saintifik.
Namun sebaik melangkah ke pengajian tinggi di kolej dan universiti, tak ramai yang didedahkan dengan pembahagian dan pembezaan dua cabang sains, iaitu sains tulen (pure science) dan sains gunaan (applied science). Maka ramai yang, didorong oleh minat mereka terhadap subjek sains ketika sekolah, terjun masuk saja dalam salah satu cabang ini tanpa pemahaman yang jelas.
Logiknya, kedua – dua ini adalah sains. Sains gunaan ada nama ‘sains’, sains tulen pun ada nama ‘sains’. Jadi kalau dah minat dengan sains tu, tak kisah lah ambil mana – mana, kan?
Alang – alang baik ambil saja aliran sains yang kita tahu boleh buat duit, contohnya kejuruteraan yang memang merupakan salah satu cabang sains gunaan. Maka sambil boleh belajar bidang sains yang kita minati, kita dapat juga prospek duit yang stabil, kan?

Soalannya, betul ke? Betul ke sains tulen dan sains gunaan tak banyak beza? Betul ke dua – dua ini selari dan serasi? Kenapa ada pembahagian pun kedua – dua jenis sains ni?
Sebenarnya, bila dikaji tentang latar belakang kedua – dua aliran ini, wujud pertembungan. Perseteruan yang lahir akibat perang.
Apa Sebenarnya?
Apa sebenarnya takrifan sains tulen dan sains gunaan? Berikut adalah maksud kedua – dua cabang sains tersebut:
- Sains tulen
- Metod untuk mengkaji alam semula jadi, terhad kepada aspek abstrak dan teori, untuk memenuhi kehendak tahu.
- Kursus di bawah sains tulen adalah semacam biologi, fizik tulen (pure physics), kimia tulen (pure chemistry)
- Sains gunaan
- Menggunakan sains tulen untuk menyelesaikan masalah praktikal.
- Kursus di bawah sains gunaan seperti kejuruteraan, sains komputer dan astrofizik.

Jadi berdasarkan penakrifan tersebut, kita dapat faham bahawa sains gunaan adalah semata – mata sains tulen yang diaplikasikan. Sains gunaan tak mampu berdiri sendiri tanpa sains tulen.
Sains tulen pula dianggap sebagai sains semata – mata untuk sains. Bermaksud, sains tulen dikaji hanya sebab nak tahu. Dan ia asalnya, tak dikaji untuk datangkan sebarang gunaan kepada manusia. Ia dianggap ilmu yang tulen.
Malah, terdapat saintis atau ahli matematik yang menyesal apabila teori mereka yang dianggap abstrak dan tak berguna akhirnya dijumpai aplikasinya. Contohnya, ahli matematik G . H Hardy yang kesal apabila kajian Number Theory beliau yang dianggap tak berguna kemudian ditemui pula kegunaan dalam genetik.

Sejarah Pertembungan
Apabila kita dah tahu tentang perbezaan takrifan kedua – dua aliran sains ini, maka timbul soalan, sejak bila timbulnya percabangan ini? Tak ada ke masalah apabila sains dibahagi jadi dua aliran?
Sebenarnya perselisihan antara dua aliran ini tercetus pada akhir abad ke 18, dan ya, memang timbul konflik idea.
Pada tahun 1883, satu dokumen bernama ‘Rayuan untuk Sains Tulen’ ditulis oleh Henry Rowland, seorang ahli fizik Amerika.
Dalam dokumen ini, aliran sains gunaan diserang teruk. Rowland kata, “Amerika yang ketika itu banyak fokus pada aplikasi sains adalah memalukan negara!” (national embarassment).
Sebabnya, sains aplikasi / gunaan dianggap mencuri idea – idea saintis – saintis jujur yang berbakat semata – mata untuk membuat duit. Pada masa yang sama, beliau menyuruh saintis – saintis muda untuk dididik melupakan keuntungan dalam sains gunaan. Mungkin aspek paling dahsyat dalam surat tersebut adalah apabila Rowland mengutuk professor – professor sains yang membuat duit dengan terjun ke kancah sains gunaan sebagai ‘sellout’.
Bidang yang mungkin paling terkesan dengan surat tersebut adalah kejuruteraan. Kejuruteraan dikatakan sebagai bukan sains, sebabnya, dalam sains tak ada konsep kepenggunaan yang pragmatik. Malah antara kritikan yang biasa dalam lingkungan falsafah adalah mengatakan kejuruteraan sebagai kursus orang yang tak boleh buat sains tulen.
Maka jelas di sini memang ada tembok yang memisahkan sains tulen dan sains gunaan. Namun pandangan terhadap sains mula berubah, apabila datang Perang Dunia Pertama.
“Sains bukan Syok Sendiri!”
Peperangan mendesak perkembangan teknologi perang. Maka, apa yang berlaku pada perang dunia pertama adalah saintis – saintis, jurutera dan penginovasi dikerah untuk mencipta teknologi perang.
Kemudian timbul saintis industri, iaitu saintis yang kadang – kadang buat sains tulen, dan kadang – kadang buat sains gunaan. Sains mula pada waktu itu dinilai dari segi utiliti, kerana nak memenangi perang. Kedudukan sains tulen mula tergugat. Apatah lagi, apabila berlaku perlumbaan antara sains tulen dengan sains gunaan untuk menyelesaikan masalah kapal selam sonar, keputusannya seri.
Kesucian sains tulen kemudian digugat lagi apabila muncul pihak kumpulan kiri yang mengklaim bahawa tak patut langsung dibezakan antara sains tulen dan sains gunaan. Sains memang sepatutnya berkhidmat untuk memajukan masyarakat. Tidakkah memang tujuan sains untuk datangkan kesenangan pada manusia?
Kumpulan pro sains tulen pula tak setuju dengan kenyataan ini yang mencabar kepercayaan mereka terhadap sains. Menurut mereka, sains tulen terjadi sendiri dan tak dirancang. Sains yang di’eksploitasi’ untuk semata – mata memanfaatkan manusia akhirnya tak membawa kepada pemahaman hukum alam.
Ada kebenaran pada kedua – dua hujah ini, namun terdapat masalah fundamental kepada klaim kumpulan pertama – ‘sains memang bertujuan memajukan manusia’. Kalau impak sains dalam perang dunia pertama mendatangkan keraguan kepada kepercayaan ini, perang dunia kedua dan bom atom meretakkannya terus.

Bagaimana Kita?
Berbalik kepada Malaysia, dan berbalik kepada diri kita pula, kalau kita suka sains sewaktu SPM, kita nak ambil aliran mana?
Jadi kita kena tanya diri kita, kenapa kita suka sains? Kalau kita suka buat inovasi, dan mungkin mahukan prospek peluang kerja yang stabil, mungkin yang lebih baik adalah untuk kita ambil sains gunaan, semacam kejuruteraan.
Tapi kalau kita suka mengkaji dan mengenal alam ciptaan Allah, kerana dengan memahami aturan alam mendekat diri kepada – Nya, mungkin sains tulen pilihan untuk kita.
Tapi bagaimana pula kalau anda top student? Top 30 SPM, markah 100% matematik, fizik, kimia. Senang kata, jika anda genius yang meminati sains. Aliran mana yang patut anda pilih?
Sejujurnya, ambilllah sains tulen. Kerana bukan saja semakin sedikit pelajar yang mengambil sains tulen, tapi masyarakat kita kini menghadapi krisis dengan kefahaman sains.
Jika ada golongan yang mampu merevolusikan ilmu sains, ilmu alam yang hilang dari budaya kita beratus – ratus tahun, yang bisa menyeragamkan sudut pandang sains dengan tasawwur kita sendiri, andalah orangnya.
Mungkin tak berbaloi kebijaksaan 1 dalam 10000 anda ini digunakan semata – mata untuk menyelesaikan masalah memaksimumkan keuntungankan klien.