Amat mengagumkan apabila kita renungi sejarah. Pada zaman awal tamadun Islam, hakikatnya banyak saja pergolakan politik yang berlaku. Politik kerusi diraja, perebutan kuasa, peralihan empayar, peperangan dengan kuasa lain.
Semua ini pada zaman itu pasti dianggap isu besar yang mesti diambil serius dan mengisi segenap perbualan masyarakat. Kalau ada Facebook zaman tu mesti jadi topik trending isu – isu politik besar ni.
Tapi menariknya, ribuan tahun kemudian, semua hal – hal politik itu tak melekat. Hampir tak ada orang ambil tahu apa masalah sultan X vs sultan Y waktu zaman Umaiyah, Abbasiyah. Nama – nama sultan, gabenor pada zaman ini kalau tanya orang pun majoriti tak ketahui.
Sebaliknya, garis masa sejarah Islam adalah tentang ulama yang bersinar pada zaman tersebut, Imam Abu Hanifah, Maliki, Syafie, Hanbali, Bukhari, Muslim. Perkara yang paling diingati adalah idea – idea mereka, disiplin, nilai dan sumbangan ilmu mereka.
Begitu juga waktu penjajahan Tartar terhadap umat Islam yang merupakan antara malapetaka terbesar politik yang melanda kita sepanjang sejarah. Logiknya, dah pasti cerita tentang pergelutan dan perjuangan politik dan ketenteraan umat Islam pada zaman itu digemakan dalam kelas – kelas sejarah, surau – surau dan masjid – masjid. Ia lah, krisis politik besar ni!
Tapi tidak, akhirnya keluaran paling bersinar dari zaman tersebut bukanlah perihal politik. Tapi ulama jua. Ibn Taymiyyah dengan sumbangan besar ilmu beliau.
Jadi hakikatnya, persoalan ilmu sentiasa lebih besar, jauh melangkaui mana – mana pertelingkahan dan pergelutan politik, sungguhpun isu – isu politik tersebut cuba dipersembahkan seolah – olah itulah penentu segala – segalanya. Hal ini berlaku pada setiap peradaban. Nama yang paling disebut – sebut dan diingati setelah PERANG DUNIA bukanlah pemain politik waktu itu. Tapi Einstein dengan idea beliau yang mencetus revolusi saintifik. Pelajar sekolah rendah pun tahu nama ini.
Maka, untuk para pendidik dan penyebar ilmu, jangan risau apabila ilmu yang anda sampaikan dianggap tidak relevan, tak kena dengan isu, tak ikut kehendak semasa. Relevannya anda jauh melangkaui tempoh PRU empat tahun sekali.