Kenapa Belajar Luar Negara?

Pilihan untuk belajar di luar negara, sekadar pengalaman di sana, rata-rata berlegar pada kehendak-kehendak dan keinginan peribadi. Nak rasa perkara- perkara baru, nak dapat didikan di universiti-universiti terkemuka untuk karier pilihan yang lebih baik, atau mungkin nak tengok salji dan mat saleh. Agak jarang juga jumpa pelajar yang memilih belajar di UK contohnya kerana kehendak dasar pendidikan.

Ada yang sebab nak ke Old Trafford. Entahlah macam indah khabar dari rupa je …

Hakikatnya, pemilihan untuk belajar di negara perlu ditimbang tara dengan baik dan dianalisis selumatnya oleh pelajar sebelum memilih untuk memberi komitmen belajar ribuan kilometer dari rumah.

Berikut disenaraikan beberapa kebaikan belajar di luar negara yang menjadi pilihan kebanyakan pelajar

  1. Pengalaman baru dan unik

Ini mungkin antara faktor terbesar yang mendorong pemilihan untuk belajar di luar negara.  Bila dah hampir satu perlima abad belajar di negara yang sama, bertemu dengan orang-orang yang sama, maka timbullah keinginan nak rasa perkara baru beribu-ribu batu jauh dari rumah. Biasanya orang-orang yang bersifat ‘adventurer’ – mahukan pengalaman – pengalaman baru yang akan buat pilihan ni.

Iya lah, pengalaman jauh dari mak ayah, sistem baru, duduk sendiri bukan semua orang sanggup tempuh.

Jujurnya, ini juga sebenarnya sebab utama saya pilih nak isi borang tajaan luar negara dulu. Saya fikir, perspektif statik tentang banyak perkara – negara, agama, pendidikan – perlu dicabar. Saya perlu melihat the gambaran yang lebih besar. Kemudian barulah perbandingan atau penambahbaikan boleh dibuat.

Apa pengalaman baru paling besar di tempat saya belajar, iaitu di UK? Dah pastilah cuaca dia. Cuaca di UK ni sangat….menarik sampaikan dia jadi bahan paling senang nak berkomunikasi dengan orang di sana. Jumpa tukang kunci dia borak pasal cuaca, jumpa lecturer borak cuaca. Dalam satu hari, bumi UK ni boleh bagi 5 jenis cuaca.

Jangan lupa salji!
  1. Sistem belajar

Sistem belajar yang moden juga jadi pilihan pelajar-pelajar untuk ke luar negara. Mungkin perbezaan paling ketara negara Malaysia dengan negara – negara maju dari sudut ini adalah kelajuan internet dan kompleksiti sistem belajar dan mengajar.

Pengurusan pangkalan data mereka memang cemerlang. Setiap universiti ada applikasi masing-masing untuk anda semak jadual-jadual mendatang serta info-info lain. Bahan-bahan pembelajaran seperti slaid kuliah diberikan kepada anda dalam bentuk online sebelum kuliah untuk anda baca dulu sebelum ke kelas. Anda ada profail sendiri yang lengkap dan mudah diakses. Apa-apa perubahan atau kemas kini yang berlaku akan diberikan kepada anda dalam bentuk notification, sama seperti sistem facebook.

Internet yang laju buatkan anda tak perlu masak maggi, tukar mentol bilik dan berlari 10 km sebelum video kuliah anda siap loading.

    3. Budaya baru

Isu perbezaan budaya adalah satu topik yang menarik untuk dibincangkan oleh pelajar-pelajar luar negara. Sebahagian mungkin berpandangan pendedahan budaya Barat kepada pelajar negara Timur mungkin agak negatif. Sebahagian budaya seperti cara berpakaian, sosial, parti, pemakanan mungkin agak bercanggah dengan budaya dan kepercayaan Timur terutama bagi yang beragama Islam. Rasanya nasihat yang paling kerap saudara-mara di kampung beri pada anak saudara yang nak ke luar negara adalah suruhan jauhi benda-benda semacam tu.

Tapi, tak dinafikan ada juga budaya-budaya yang baik, seperti budaya efisiensi, budaya jalan raya yang mantap, pengurusan data dan layanan pelanggan yang cemerlang.

Jadi adakah pendedahan budaya-budaya baru ini baik atau buruk? Saya kira hal ini bergantung kepada pelajar itu sendiri. Pelajar yang berprinsip akan mengetahui disiplin menguruskan kejutan-kejutan budaya yang berlaku. Pada saya, melihat budaya-budaya baru ini muktamadnya adalah baik kerana meluaskan horizon pemikiran. Kadangkala, kita akan lebih menghargai budaya sendiri apabila ia tiada di negara orang.

Contoh perkara yang jarang diamalkan di sana adalah amalan beri salam pada tenaga-tenaga pengajar. Di Malaysia, itu satu budaya yang biasa. Di sini ucapan hormat pada pensyarah tak diamalkan maka terasa ada jurang dengan mereka.

   4. Universiti ranking tinggi

Ini juga antara faktor utama pemilihan belajar di luar negara. Saya kira antara syarat tajaan penaja adalah pelajar mesti dihantar ke pusat pengajian tinggi yang berprolifik, sekurang-kurangnya top 100 dalam dunia. Bila dihantar ke universiti yang terkemuka seperti Ivy League, matlamatnya adalah supaya pendidikan yang diterima bertaraf dunia. Dapat belajar bersama-sama dengan pelajar-pelajar terbaik seluruh dunia adalah satu peluang yang sangat baik untuk menjadi kompetitif.

Saya kira nama universiti pun dicari yang gempak-gempak untuk diisi dalam curriculum vitae. Kalau boleh letak nama Uni Cambridge dalam CV, bukan setakat syarikat-syarikat berebut, orang kampung pun kagum. Mak ayah apatah lagi.

Bila disebut tentang ranking Universiti, suatu berita baik yang kita terima adalah kedudukan Universiti tempatan semakin melonjak dan akhirnya menembusi kedudukan 100 teratas. Tertinggi sekali adalah Universiti Malaya pada tangga ke 87. Tak mustahil akan ada pusat pengajian tinggi di Malaysia duduk sebaris dengan Ivy league, bukan?

UM.PNG
Tahniah!

Keburukan Belajar Di Luar Negara

Sekiranya kebaikan belajar di luar negara berkisar seputar aspek personal, keburukannya pula banyak apabila dinilai dari sudut dasar dan polisi pendidikan kebangsaan. Saya cuba mencari dokumen-dokumen rasmi yang membincangkan justifikasi penghantaran ribuan pelajar ke luar negara saban tahun tetapi tiada. Kalau ada pun naratifnya bersifat negatif.

Apa keburukan belajar di luar negara?

1. Kos tinggi

Ini mungkin keburukan paling besar polisi penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara. Di UK- Ireland, tajaan seorang pelajar untuk tamatkan pengajian kejuruteraan atau perubatan boleh mencecah RM 600 000 – RM 1000 000. Itu untuk seorang. Ditambah lagi dengan polisi yang menghendaki pelajar bukan Eropah (non-EU) untuk membayar dua kali ganda yuran pengajian, kerajaan atau penaja perlu berbelanja besar untuk pendidikan di UK-Ireland.

Mungkin kerajaan Malaysia sanggup menghantar ramai anak-anak watan ke luar negara berbanding kerajaan negara membangun lain kerana ia memperuntukkan 16 % bajet untuk pendidikan (sekitar RM 37 billion), jumlah peruntukan tertinggi di Asia Timur.

Jika pelaburannya besar, maka pulangannya mestilah besar. Akan tetapi kemenjadian pelajar-pelajar luar negara sekarang hakikatnya sedang dipertikai. Pelan strategik pengajian tinggi 2020 menggariskan bahawa kualiti graduan universiti luar negara hanyalah lebih baik dari segi persepsi majikan.

Saya tidak pula menjumpai sebarang kertas kerja yang membandingkan kemenjadian kedua-dua golongan pelajar ini. Tetapi saya kira indeks kemenjadian pengajian tinggi perlu dirangka untuk membantu kajian polisi.

2. Dasar pengantarabangsaan

Sekiranya anda seorang pemimpin kerajaan, yang mana satu pilihan anda? Hendak menghantar rakyat negara anda belajar di universiti terkemuka negara lain atau bangunkan sendiri universiti terkemuka negara supaya rakyat negara lain pula yang datang ke negara anda? Kerajaan yang punya aspirasi dan bervisi pasti akan pilih pilihan kedua.

Itulah pendekatan kementerian pendidikan melalui dasar pengantarabangsaan. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan 200 000 pelajar antarabangsa dari luar negara untuk datang belajar di Malaysia. Pelan 2007-2020 merancang agar nisbah 50:50 dicapai antara pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan.

Pelajar antarabangsa UPM

Maka, penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara sedikit sebanyak akan menjejaskan aspirasi ini. Ketika universiti tempatan menerima pelajar asing, pelajar kita pula ‘lari’ ke universiti luar. Imej dan reputasi IPT tempatan akan sedikit tercemar.

3. Talent pool – pelajar2 yang cemerlang tak sumbang naikkan reputasi uni tempatan

Untuk belajar di luar negara, anda perlu melepasi pemarkahan yang ketat sewaktu tempoh persediaan di dalam negara. Hanya pelajar-pelajar yang terbaik yang dapat lepasi kuota yang begitu terhad. Jadi, saya kira tak salah saya katakan pelajar yang dihantar ke luar negara adalah antara asset-aset modal insan yang terbaik yang dimiliki negara.

Maka apa akan jadi apabila talent pool negara dihantar ke universiti luar? Dr Sharifudin Lubis mengatakan bahawa dah pastilah kualiti universiti tempatan akan merudum kerana mereka tak menyumbang kepada menaikkan reputasi uni tempatan. Sebaliknya, universiti luar negara pula yang akan terus meningkat baik kerana menerima sumber pelajar-pelajar yang berkualiti.

Beliau juga menyambung, dan point ini buatkan saya terfikir juga. Secara logiknya pelajar-pelajar yang cemerlang ini tetap akan cemerlang walaupun belajar di dalam negara. Kawan-kawan saya yang top scorer sewaktu di Malaysia biasanya akan tetap konsisten di uni luar negara. Jadi bukanlah universiti atau sistem pendidikan yang tentukan kecemerlangan pelajar tetapi bergantung pada pelajar itu sendiri.

Cadangan beliau adalah untuk buka lebih banyak universiti cawangan luar negara di Malaysia, bukannya hantar pelajar kita ke sana. Kalau dulu, kita kena hantara pelajar ke luar negara kerana uni tempatan tak banyak dan tak banyak bidang pengajian ditawarkan. Tetapi masih valid ke sebab tu sekarang?

4. Isu ideologi dan bertepatan ke dengan falsafah pendidikan kebangsaan?

Sekali lagi saya tegaskan penulisan saya ini adalah lebih kepada konteks UK dan negara barat secara umumnya. Mungkin suatu perkara saya rasakan kurang diambil perhatian oleh kementerian pendidikan dengan penghantaran pelajar Malaysia ke negara Barat adalah impak ideologi setempat.

Pelajar-pelajar yang dibentuk oleh kementerian pendidikan, tidak kiralah di luar atau dalam negara, seharusnya dipastikan selari pola pemikiran dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Antara isi dan tujuan utama falsafah pendidikan kebangsaan adalah berkisar kepada kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini selari dengan rukun negara pertama yang kita ikrarkan setiap minggu di sekolah. Malah, menurut Datuk Dr Syed Othman Alhabshi, falsafah negara kita tak jauh beza dengan dengan konsensus sedunia Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim Pertama yang diadakan di Jeddah, dari 31 Mac hingga 8 April 1977. Sumber pendidikan adalah dari wahyu dan akal.

Prinsip ini berbeza dengan atmosfera negara Barat yang sekular dan atheist-oriented.

Pihak Education Malaysia London pernah membuat satu program yang mengumpulkan pelajar-pelajar Malaysia. Dalam program tersebut, dilontarkan beberapa persoalan-persoalan kritikal untuk mencabar pelajar. Antara persoalan yang terbesar adalah “perlu ke rukun negara pertama, kepercayaan kepada Tuhan dimansuhkan untuk menghormati golongan ateis?”. Sangat mengejutkan apabila sebahagian pelajar menyokong cadangan tersebut dan tidak dicabar. Bagi saya ini suatu red flag yang bahaya.

Sekiranya takungan pelajar-pelajar yang mindanya berorientasi begini semakin bertambah, dan mereka sangat berpotensi memegang jawatan-jawatan besar negara, adakah falsafah pendidikan kebangsaan akan dipinda pada masa akan datang?

Jadi, apa peranan pelajar luar negara?

Tulisan saya ini bukanlah untuk mempertikai keputusan penghantaran pelajar ke luar negara atau untuk menghina pelajar-pelajar dalam negara. Saya bersyukur dikurniakan peluang terbang belajar. Saya juga merasakan rezeki belajar di luar negara boleh jadi lebih baik untuk saya. Saya tak dapat hidup dua kehidupan dalam satu masa maka jalan mana yang Allah buka untuk kita maka kita perlu manfaatkan sebaiknya.

Walaupun begitu kehidupan tiga tahun di sini taklah saya boleh katakan begitu berbeza dengan pengalaman belajar di Malaysia selama ini. Banyak rungutan-rungutan yang kita dengari dulu juga diulang oleh pelajar di sini. Lecturer ajar baca slide, sistem periksa yang muntahkan balik benda yang dibaca last minute, pelajar lewat, ponteng kelas, kelas 80% kosong, lecturer merungut pelajar main-main, pelajar tak tau nak buat apa lepas grad, main Dota dalam kelas dan lain-lain.

Pendek kata, tak banyak beza sana dan sini. Mereka dan kita sama-sama manusia, masing-masing ada masalah dan kelemahan.

Jadi, introspeksi ini sedarkan saya bahawa bukanlah beradanya saya di sini untuk semata-mata sijil. Ramai orang yang ada sijil. 10 tahun lagi, nilai sijil graduation ini mungkin akan sama saja nilainya dengan sijil PMR dan UPSR yang mungkin kini berhabuk dalam almari.

Pengalaman dan cabang hidup yang Allah pilih untuk kita sebaliknya lebih unik dan berharga. Terpulang pada kita untuk terjemahkannya menjadi jawapan kepada masalah umat.

Rujukan:

  1. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan
  2. Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan
  3. Isu-isu dan Masalah Adaptasi Antarabudaya dalam Kalangan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Australia
  4. Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan
  5. Kaji Semula Hantar Pelajar ke Luar Negara (akhbar)
  6. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010
  7. Pelan Strategik Pengajian Tinggi 2020
  8. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts