Artikel baru yang dikeluarkan oleh Berita Harian, bertarikh 4 September 2018 agak menarik perhatian kerana menampilkan ayat berikut:
‘Harapkan pegar, pegar makan padi’. Harapan pertama saya sebagai seorang rakyat ialah janganlah sesekali peribahasa ini menjadi kenyataan.
Istilah yang digunakan untuk peribahasa tersebut adalah pegar, bukannya pagar sebagaimana kita terima secara tradisi. Malahan istilah pagar masih digunakan dalam buku – buku peribahasa dan dikekalkan sampai sekarang.
Menariknya, rata – rata pengamal media persuratan nampaknya sudah memulakan arus penukaran, daripada pagar kepada pegar:
1) Utusan, memetik ucapan Zahid Hamidi
2) Harian Online
3) Metro
4) MalaysiaKini
5) Kosmo
Melihatkan istilah pegar sudah semakin diterima dalam arus perdana oleh pengamal media, mungkin ini bermakna pihak DBP sudah mengiktiraf versi peribahasa tersebut? Hakikatnya:
DBP Masih Mengekalkan ‘Pagar’
Isu ini masih kontroversi kerana DBP tidak mengiktiraf penukaran istilah ‘pegar’.
Dalam jawapan terbaru laman web dbp, bertarikh 19 Mei 2018, mereka mengatakan:
“Untuk makluman, DBP masih mengekalkan bentuk yang sedia ada, iaitu “Harapkan pagar, pagar makan padi.” kerana peribahasa tersebut merupakan khazanah yang terakam sejak dahulu lagi, seperti yang terakam dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu”
Jawapan yang lebih awal bertarikh 26 Mei 2017 lebih jelas menampilkan kecenderungan DBP untuk tidak mengiktiraf versi pegar sebaliknya menegaskan pagar adalah betul.
“Berdasarkan Datuk Rahman Shaari dalam Sinar Online bertarikh 16 Disember 2014, peribahasa yang betul ialah “harapkan pagar, pagar makan padi“. Peribahasa ini juga yang terakam dalam buku peribahasa, Kamus Istimewa Peribahasa Melayu edisi kedua oleh Abdullah Hussain. Maka, melalui keterangan ini, isu peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” tidak timbul lagi. Peribahasa terakam dalam kepustakaan Melayu sejak dahulu lagi, walaupun dicetak berulang kali bentuk asal peribahasa tetap dikekalkan. Sekian, terima kasih”.
Begitu juga tulisan daripada Munsyi Dewan Bahasa, Muhammad Daud pada tahun 2016 yang mengatakan “nenek moyang kita tidak sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri”. Ini juga disokong melalui argumen penggunaan jawi oleh akademi Jawi Malaysia.
Kenapa Versi Pegar lebih Popular?
Pegar dianggap lebih masuk akal orang kebanyakan orang berbanding pagar. Bagaimana pagar mahu memakan padi? Lebih masuk akal sekiranya padi dimakan oleh burung / ayam pegar.
Begitu juga, terdapat juga hujah dari sudut tulisan jawi. Kerana dipercayai terdapat kekeliruan sewaktu pengalihan jawi ke rumi.
Artikel yang benar – benar mempopularkan versi pegar adalah daripada pengarang Utusan Johardy Ibrahim yang mengatakan setelah sidang ridaksi Utusan bersama pakar bahasa, ia sudah disahkan.
Apa agaknya kesudahannya? Versi mana yang akan menang? Pegar yang disokong oleh orang awam atau pagar yang disokong oleh DBP?