Sebuah masalah matematik sekolah rendah China tular baru – baru ini. Ia menampilkan seekor kucing, sebuah meja, dan seekor kura – kura.
Jarak antara kepala kucing di atas meja dengan cangkerang kura – kura dari lantai diberi 170 cm. Jarak antara cangkerang kura – kura di atas meja dengan kepala kucing dari lantai pula diberi 130 cm.
Soalannya, berapa tinggi meja?
Sabar, jangan menyerah kalah dulu, boleh selesai.
Anda cuba selesaikan, kemudian boleh skrol ke bawah untuk jawapan. Jawapannya boleh diperoleh menerusi dua metod:
Persamaan Serentak
Metod pertama adalah persamaan serentak menggunakan algebra. Kita boleh hasilkan persamaan berdasarkan ketinggian objek. Berdasarkan gambar sebelah kiri, persamaan berikut boleh dibuat (Kura – kura dipendekkan kepada kura):
kucing + meja – kura = 170
Berdasarkan gambar sebelah kanan pula, persamaan berikut boleh dibuat:
Kura + meja – kucing = 130
Maka kalau ditambah kedua – dua persamaan tersebut secara serentak, kita akan peroleh:
2(meja) = 300
meja = 150.
Maka panjang meja adalah 150 cm.
Tapi memandangkan soalan ini ditujukan kepada pelajar sekolah rendah, boleh jadi mereka masih belum pelajari algebra.
Terdapat cara kedua untuk selesaikan masalah ini, iaitu menggunakan visual:
Visual
Kalau kita timbunkan kedua – dua gambar berikut seperti di atas, kita akan dapati bahawa tinggi dari kepala kucing di bawah kepada kepala kucing di atas adalah 170 + 130 = 300 cm. Sebenarnya, kita boleh permudahkan lagi diagram di atas.
Disebabkan ketinggian kura – kura berulang, maka kita boleh buang kura – kura tersebut dari diagram. Kemudian, kita turunkan tinggi total 300 cm tersebut ke bawah sebanyak tinggi kucing. Kita akan peroleh diagram di bawah:
Tinggi dua meja bersamaan 300 cm. Maka dibahagi 2, kita akan dapati tinggi satu meja bersamaan 150 cm.