Antara tugasan paling memberi tekanan dalam hidup seseorang adalah apabila dikehendaki menyiapkan kertas kajian saintifik. Biasalah, kadang kala eksperimen tak menjadi, kadang kala tiada idea.
Kadang kala malas sebab tersangkut dengan hal – hal lain yang lebih berfaedah, seperti layan video kucing.

Maka kadang kala, tahu – tahu sahaja, tinggal lagi beberapa hari kertas saintifik tersebut perlu dihantar. Di sebalik panik dan kekesalan, mulalah dicari laman web – laman web ajaib yang boleh membantu hasilkan kertas saintifik dalam masa 1 hari.
Jangan risau, kerana sebenarnya memang ada!
… Lebih kurang. Tak lebih, tapi sangat kurang.
Sci – Gen, Penjana Kertas Kajian Automatik
Sci – Gen adalah laman web mengagumkan yang membolehkan anda hasilkan kertas kajian saintifik, dengan nama anda sebagai penulis, dalam masa beberapa saat! Tak kira siapa pun anda, anda boleh hasilkan kajian saintifik sendiri!

Caranya mudah saja, letakkan nama anda dan nama beberapa ‘rakan pengkaji’ yang lain, dan jeng, sebuah kertas kajian dengan tajuk berkisar mengenai sains komputer akan dihasilkan untuk anda.

Anda malah boleh hasilkan kertas – kertas kajian lain kerana hasilnya berbeza setiap kali:

Sekali imbas, nampak seperti hasil yang diperoleh memang sah. Memang kertas – kertas kajian hebat yang dikeluarkan.
Namun jika diteliti betul – betul, 100% isi setiap perenggan adalah merepek dan keseluruhan kertas tidak langsung seragam.

Hal ini kerana Scigen bukanlah bertujuan menghasilkan kertas kajian yang serius, sebaliknya ia adalah laman web penghasil kertas kajian ‘prank’, ‘gobbledegook’, ‘nonsense’, … sebagai bahan ketawa.
Menipu Konferens Saintifik Murahan
SciHub dibangunkan oleh beberapa orang calon PhD MIT pada tahun 2005, dengan tujuan utamanya untuk ‘menghiburkan‘. Ia menggabungkan jalinan perkataan – perkataan bombastik secara rawak untuk meyakinkan orang bahawa ia sememangnya kertas kajian saintifik yang sah, kerana ia amat sukar difahami.
Sudah pasti bila anda seorang pelajar MIT, itulah definisi hiburan bagi anda.

Namun, terdapat juga beberapa fungsi lain program tersebut. Antara lain,’ kertas kajian’ tersebut dihantar kepada konferens – konferens murahan yang sangat rendah piawai semakannya.
Ternyata, beberapa jerat mereka mengena. Beberapa kertas kajian yang 100% merepek tersebut dipersembahkan dalam konferens – konferens palsu.
Nature melaporkan terdapat lebih daripada 120 kertas kajian merepek yang terpaksa ditarik balik. Sekarang malah terdapat program khas yang dapat mengesan kertas – kertas saintifik palsu yang dihasilkan oleh komputer.
Maka, ternyata anda tak boleh gunakan laman web tersebut untuk menampung kembali waktu kajian anda yang hilang akibat menonton video kucing. Kecuali kalau anda yakin pensyarah anda pun tonton video kucing sewaktu menyemak kertas anda.
Paling kurang, anda boleh gunakan kertas – kertas saintifik merepek tersebut untuk yakinkan bakal mertua anda yang mahukan menantu pandai – pandai.