Tentang Semakin Banyaknya Saluran Video Konspirasi Tempatan di Youtube

Satu perkara yang mungkin ramai perasan tentang lanskap Youtube Malaysia sekarang adalah semakin bertambahnya video – video konspirasi hasilan saluran tempatan.

Bukan itu saja, topik – topik konspirasi juga mencapai capaian tontonan yang cukup mengejutkan, mencecah ratusan ribu tontonan malah ada yang mencapai jutaan, secara konsisten. Biasanya trend sebegini kita biasa lihat hanya dapat dicapai oleh video – video lagu artis terbaru.

Nampaknya, ada sejumlah besar pengikut setia topik konspirasi dalam kalangan pengguna Youtube rakyat Malaysia yang membentuk satu segmen pasaran baru yang cukup besar, dan lumayan.

Dan bagi pengusaha saluran Youtube, suatu niche topik yang sentiasa akan mendapat sambutan, miliki pasaran yang besar, miliki sumber content yang sudah pun dihasilkan begitu banyak daripada saluran Barat, dan tak memerlukan kemahiran, usaha atau kajian yang berat adalah suatu mimpi indah.

Hasil daripada potensi pasaran niche tersebut, naiklah beberapa pengusaha saluran Youtube kita yang bertransformasi menjadi penghasil bahan / content yang didedikasikan untuk membongkarkan teori – teori konspirasi terbaru (atau membangkitkan balik teori konspirasi lama).

Kisah di sebalik bagaimana sebuah saluran Youtube berubah menjadi saluran konspirasi adalah agak menarik untuk dikupas.

Sebagai seorang pengendali saluran Youtube juga, minat penulis adalah pada meneliti bagaimana sesebuah saluran di Youtube meningkat naik, meletup popularitinya, atau kadang kala, merudum jatuh.

Dan kerja ‘detektif’ ini dapat dibuat dengan mudah, cuma klik pada butang ‘sort by’ pada bahagian koleksi video sesebuah saluran, dan perhatikan kronologi video – video yang dimuatnaik. Banyak maklumat yang boleh diperoleh dengan hanya meneliti turutan content yang dihasilkan.

Sebagai contoh, sebelum menjadi antara saluran pendidikan terbesar di Youtube, Vsauce sebenarnya bermula sebagai sebuah saluran gaming. Content gaming yang dihasilkan sebenarnya sangat berkualiti rendah dan clickbait, sebelum ia beransur – ansur berubah menjadi saluran fakta dan akhirnya menjadi saluran pendidikan berkualiti tinggi.

Oh wow jauhnya beza

Bagi saluran – saluran konspirasi hasilan rakyat Malaysia (yang tidak dinamakan dalam artikel ini), beberapa trend yang serupa dapat diperhatikan.

Saluran – saluran tersebut biasanya bermula dengan menghasilkan bahan – bahan secara rawak, kadang kala video muzik, kemudian vlog, selepas itu mungkin video gaming, sebelum dicuba pula content parodi, atau video reaksi.

Fasa ini memang suatu kebiasaan sebagai permulaan bagi sesebuah pengendali Youtube, di mana mereka cuba mencari formula topik video yang menjadi, dan diteroka pelbagai formula dengan mengikut trend popular.

Kadang kala ada satu video yang meletup secara ‘one – off’, tidak semena – mena melonjak naik tontonannya bagi sebuah genre video yang dihasilkan, lalu mereka pun mencuba membuat content seterusnya dengan genre yang sama.

Kemudian didapati bahawa video – video dengan topik yang sama seterusnya juga memperoleh reaksi yang sangat menggalakkan, maka pengendali saluran tersebut pun yakin bahawa itulah formula yang menjadi.

Dalam kes teori konspirasi, pemilik saluran Youtube mencuba satu video dengan tajuk ‘Freemason’, ‘Illuminati’, ‘konspirasi’ , mendapati sambutan diperoleh berkali – kali ganda daripada video – video sebelumnya, lantas terus menghasilkan video – video dengan kata kunci yang sama.

Itulah kisah bagaimana lahirlah beberapa saluran teori konspirasi popular Youtube tanah air, menurut pemerhatian penulis.

Kenapa Saluran Konspirasi Menjadi

Dalam Youtube, terdapat beberapa formula algoritma yang disukai oleh laman web video terbesar tersebut.

Antara lain, aspek yang penting adalah watch time – berapa lama video itu ditonton. Aspek ini mula ditekankan oleh Youtube setelah munculnya begitu banyak lambakan video ‘clickbait’. Jumlah tontonan mungkin mencapai puluhan juta, tetapi peratusan besar penonton menginjak keluar (bounce) setelah mendapati tajuk dan thumbnail cumalah satu penipuan.

Maka, itulah sebab Youtube lebih menyukai video – video yang berdurasi panjang berbanding video pendek, kerana aspek watch time.

Itulah juga sebabnya bagi video yang melebihi 10 minit, pemilik saluran dibenarkan meletakkan lebih banyak ruangan iklan pada video tersebut. Lebih banyak ruangan iklan = lebih banyak duit hasil monetization.

Perhatikan bilangan slot iklan (bar warna kuning) yang diletakkan dalam sebuah video konspirasi

Penghasil content konspirasi, seperti yang telah dinyatakan tadi, sudahpun miliki begitu banyak sumber bahan video yang cuma perlu diletakkan saja dalam video mereka. Apa yang perlu dibuat cumalah membaca skrip, menayangkan video konspirasi berbahasa Inggeris sedia ada, dan memberi respon / komentari.

Bagi genre konspirasi, boleh dikatakan sesiapa saja tiada masalah untuk menghasilkan bahan yang melebihi 10 minit.

Tambahan lagi, disebabkan genre konspirasi begitu bermain dengan emosi (takut, risau, sedih, marah), sebuah video boleh dioptimumkan untuk membolot algorithm Youtube pada aspek thumbnail, title dan keyword.

Beberapa thumbnail video konspirasi yang miliki ‘formula’ yang sama. Perhatikan sentimen emosi kerisauan yang ditunjukkan penghasil video dengan menutup mulut.

Formula sebegini entah mengapa, begitu berjaya di Youtube:

Koleksi thumbnails dengan formula yang sama : Muka yang begitu beremosi menarik perhatian untuk menekan video

Jadi, Apa Masalahnya?

Artikel ini bukanlah bertujuan untuk membahaskan sama ada teori konspirasi itu betul atau salah, baik atau buruk, melainkan hanya ingin membincangkan trend semasa pertambahan content bercirikan konspirasi di Youtube.

Disebabkan permintaan yang begitu tinggi untuk content konspirasi, maka kita dapat jangkakan peningkatan jumlah saluran tempatan yang berfokuskan konspirasi pada masa akan datang.

Lebih ramai orang yang akan berminat untuk memperoleh potongan kek daripada pasaran penonton video konspirasi.

Sama ada perkembangan ini baik atau buruk kepada masyarakat, mungkin perlukan kajian yang lebih lanjut.

Apa pun, pada aspek epistemologi ataupun penilaian sumber ilmu, dapat ditentukan bahawa penghasil video – video konspirasi ini rata – ratanya tidak berlatarbelakangkan kajian teori konspirasi dari sudut sejarah, sains, atau agama. Seperti yang dibincangkan, mereka mencuba – cuba menghasilkan content pelbagai jenis sebelum mendapati sebuah video bergenre konspirasi yang dihasilkan meletup popular, lalu mereka bertransformasi menjadi sebuah saluran konspirasi.

Walaupun jumlah tontonan genre tersebut banyak, namun ia tidak semestinya bermakna bahawa saluran – saluran tersebut menjadi sandaran dan autoriti ilmu buat penonton. Kerana kebiasaannya video – video Youtube tidak lain hanyalah dianggap sebagai suatu medium hiburan.

… kan?

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts