Suatu pemandangan yang pelik dijumpai di North Carolina, apabila dilihat seolah – olah terdapat batang kayu pelik yang timbul di tasik ais.
Rupanya – rupanya apabila dilihat dengan lebih dekat, ‘kayu’ tersebut ternyata merupakan muncung buaya (lebih tepat: alligator) yang timbul di permukaan tasik ais.
Pakar mengatakan bahawa alligator tersebut berbuat demikian untuk terselamat daripada cuaca sejuk, dalam suatu keadaan yang dipanggil ‘brumation’.
Apabila cuaca sejuk melanda bahagian Timur North Carolina, alligator tersebut tidak lari dari tasik, sebaliknya mereka mengesan waktu yang tepat ketika mana air mengeras, kemudian cepat mengeluarkan muncung mereka ‘tepat pada masanya’.
Ini membolehkan mereka untuk kekal bernafas dan hidup walaupun mereka kaku tidak mampu bergerak.
Walaupun alligator Amerika lebih menyukai iklim suam, mereka boleh terselamat daripada cuaca sejuk dengan cara brumation, suatu keadaan berhibernasi yang dilakukan oleh reptilia.
Apabila alligator berbrumasi, mereka tidak bergerak dan kadar degupan jantung, kadar pernafasan, metabolisma, dan suhu badan jatuh dengan sangat drastik. Apabila suhu meningkat kembali dan ais mencair, mereka bangun dan bergerak semula.
Ketika berbrumasi, alligator menaikan muncung lubang hidung mereka keluar daripada permukaan air untuk bernafas sedang keseluruhan tubuh mereka kekal dalam air. Mereka tidak makan pada waktu ini, atau mereka akan sakit.