Kadang kala perkara yang ditakuti orang dewasa adalah apabila diminta membantu murid sekolah rendah membuat kerja sekolah.
Boleh jadi, kita sedar kita rupanya terlupa cara membuat kira – kira matematik mudah seperti pembahagian, kita malah tak teringat apa itu ‘pemboleh ubah manipulasi’, atau terlupa hukum mad wajib muttasil.
Agak – agaknya, kalau kita ambil ujian murid darjah 4 – 6, boleh jadi gred diperoleh bukan A pun.
Namun sebenarnya kes yang lebih parah adalah apabila cikgu – cikgu sendiri gagal menjawab ujian murid mereka, seperti yang berlaku di Nigeria apabila 20 000 guru gagal dalam ujian kompetensi murid 10 tahun.
Perkara ini didedahkan oleh Gabenor Kaduna, El Rufai yang begitu kecil hati terhadap prestasi guru – guru di Kaduna.
Antara soalan yang diajukan adalah seperti nama – nama bentuk, yang nampaknya guru tersebut tidak mampu eja dengan betul pun.

Begitu juga, apabila ditanya soalan begitu mudah seperti ‘tanggungjawab ibu bapa kepada anak – anak pun, tak dapat dijawab penuh.

“Ini adalah situasi yang sangat serius apabila guru tidak boleh lulus peperiksaan yang sepatutnya mereka ajar kanak-kanak itu untuk lulus. Ia sangat menyedihkan.”
Markah lulus adalah sebanyak 75%. Mereka yang mendapat markah kurang daripada itu akan dipecat, tapi mereka boleh mendapatkan semula jawatan tersebut jika mereka memperbaiki keputusan mereka.
Sebuah laporan menjelaskan bahawa kerajaan Nigeria sedang membersihkan sistem pendidikan mereka yang terlalu mementingkan politik berbanding pengajaran ilmu.
Menurut El Rufai, pengambilan guru – guru terlalu dipolitikkan sehingga ahli politik dan pengerusi kerajaan tempatan menjadikan sekolah rendah sebagai ‘tempat markas samseng – samseng mereka‘.
El Rufai mengatakan guru – guru yang dipecat ini akan diganti dengan mereka yang lebih berkelayakan.