Laporan yang baru dikeluarkan memberi amaran risiko besar yang akan melanda peradaban manusia akibat krisis iklim, dan ‘berkemungkinan besar manusia akan binasa semuanya’ dalam masa tiga puluh tahun sekiranya tiada tindakan segera diambil.
Laporan tersebut, yang diterbitkan oleh kumpulan pemikir Australia ‘Breakthrough – National Centre for Climate Restoration’ menggariskan senario kebinasaan dunia yang berkemungkinan memperlihatkan situasi ‘yang tidak mampu menampung hidup manusia’ menjelang 2050.
Menurut Prof Chris Barrie dalam laporan itu, ancaman paling besar terhadap nyawa manusia di planet bumi adalah perang nuklear, diikuti oleh pemanasan global buatan manusia.
Pemanasan global dikelaskan sebagai ‘risiko kewujudan’, iaitu risiko yang memberikan kesan negatif yang sangat besar kepada manusia yang tidak boleh dipulihkan, sama ada melalui kemusnahan hidupan cerdas (intelligent life) atau menjejaskan potensinya secara drastik.
Laporan tersebut tidak langsung berlapik dalam mempersembahkan analisisnya terhadap nasib yang mungkin menimpa kita pada masa depan, dengan membentangkan ‘senario 2050’ seperti berikut:
Tahun 2020 – 2030
Pembuat polisi akan gagal bertindak terhadap peningkatan pemanasan sebanyak 3°C . Usaha untuk mengekalkan tahap pemanasan di bawah 2°C akan diabaikan.
Tahun 2030 – 2050
Tahap pengeluaran karbon memuncak pada tahun 2030, dan akan mula turun secara konsisten pada tahun – tahun seterusnya.
Bagaimanapun, penambahan suhu sebanyak 0.6°C tetap berlaku, menjadikan jumlah peningkatan sebanyak 3°C pada tahun 2050. Kes paling ekstrem menjangka suhu boleh melebihi 3.5 – 4°C.
Tahun 2050
Menjelang 2050, terdapat kesepakatan saintifik bahawa senario ‘rumah panas Bumi’ telahpun diperoleh. Bumi akan mengalami pemanasan 1 darjah atau lebih lagi.
Beberapa ekosistem akan runtuh, termasuklah sistem terumbu karang, hutan hujan Amazon dan artik.
Negara – negara miskin yang tidak mampu menyediakan penyejukan buatan akan tidak lagi dapat diduduki. Situasi bahang haba akan berlaku melebihi 100 hari setiap tahun di Afrika Barat, Amerika Selatan tropika, Timur Tengah dan Asia tenggara, yang mengakibatkan lebih 1 bilion orang keluar daripada zon tropika.
Ketersediaan air jatuh dengan drastik pada kawasan – kawasan latitud rendah, menjejaskan 2 bilion orang seluruh dunia. Pertanian tidak lagi dapat dijalankan di subtropika kering.
Produksi makanan di seluruh dunia akan jatuh teruk. Fenomena cuaca abnormal termasuklah gelombang haba, banjir dan ribut petir akan semakin meruncing. Penghasilan makanan tidak lagi akan dapat mengisi perut populasi global dan harga makanan akan melonjak naik.
Populasi serangga akan jatuh dengan sangat banyak, pertambahan padang pasir, kegagalan monsun dan catuan air kronik tidak dapat dielakkan.
Sektor – sektor penting beberapa bandar paling padat dunia, termasuklah Chennai, Mumbai, Jakarta, Guangzhou, Tianjin, Hong Kong, Ho Chi Minh, Bangkok dan Manila akan ditinggal dan diabaikan.
Skala kemusnahan yang melangkaui kemampuan analisis model berkemungkinan berlaku, dengan kebarangkalian tinggi peradaban manusia akan tamat.
Mampu Elak?
Laporan tersebut menggesa agar tindakan drastik diambil dengan kadar segera untuk mengelak senario ‘rumah panas Bumi’.
Suatu gerakan global besar – besaran perlu dilancarkan dalam dekad – dekad mendatang untuk membina sistem industri sifar pengeluaran karbon dan mulakan gerabak pemulihan iklim selamat.
Daripada laporan tersebut, pengajaran penting berkaitan situasi ‘hari kiamat iklim’ tersebut adalah bukan perubahan teknologi atau sains, tetapi perubahan cara fikir manusia terhadap perubahan iklim.