
Huang Yu sedih sebab kucing British shorthairnya yang bernama Garlic baru saja meninggal dunia. Ada satu saja cara beliau mengubati kesedihannya ; iaitu mengklon kucing yang sama.
Kemudian muncullah Sinogene menghulurkan tangan. Sinogene adalah syarikat pengklonan haiwan yang berpusat di Beijing, yang telah mengklon lebih daripada 40 anjing peliharaan.
Mereka menggunakan teknologi pengklonan sel somatik. Ia adalah teknologi yang agak baru, dan terdapat beberapa cabaran untuk melakukannya. Tetapi mereka bersedia melakukan pengklonan tersebut.
“Kitaran reproduksi kucing agak istimewa dan teknik pengklonan mereka agak sukar. Operasi ini berat. Pengklonan kucing yang berjaya ini adalah antara beberapa kes yang berjaya di dunia, menjadikan China negara yang ke hadapan dalam bidang pengklonan” kata ahli veterinar Shi Zhensheng.
Untuk mengklon Garlic, saintis menanam sel kulit daripada Garlic yang asal ke dalam telur – telur yang diperoleh daripada kucing lain. Setelah dibuat kejutan elektrik atau kimia, 40 embrio klon ditanam ke dalam kandungan empat ibu tumpangan. 3 mengandung, namun kemudian dua gugur.
Setelah 66 hari, Garlic 2.0 lahir pada 21 Julai 2019 menerusi kelahiran semula jadi dan genetiknya sepenuhnya sama dengan sel somatik Garlic yang telah meninggal dunia.

Keseluruhan prosedur menelan kos 250,000 yuan ($35,400). Tapi Yu tidak kisah, kerana beliau begitu rindukan kucingnya Garlic dan sanggup membayar mahal untuk memeluk kembali kawan berbulunya itu.
Beliau juga mengekalkan nama anak kucing klon barunya dengan nama kucing yang asal, iaitu Garlic.
“Namanya kekal Garlic kerana dalam hati saya, saya sentiasa rasakan anak kucing klon itu merupakan sambungan nyawa Garlic” ujar Yu
Namun apabila pertama kali melihat Garlic 2.0, Yu mendapati bahawa klon tersebut bukanlah 100% sama dengan Garlic yang asal. Rupa – rupanya tompok hitam pada dagu Garlic 2.0 tiada. Warna mata juga berbeza. Sinogene mengatakan bahawa proses pengklonan tersebut menghasilkan beberapa perbezaan fizikal, tetapi DNA nya memang sah sama.

“Jika saya beritahu anda bahawa saya tak kecewa, maka saya menipulah” kata Yu “Tapi saya boleh terima bahawa ada batasan teknologi”.
Pengklonan haiwan peliharaan berkemungkinan menjadi satu bisnes di China. Daripada jutaan pemilik haiwan peliharaan di China, jika sebahagian daripada mereka sanggup mengeluarkan puluhan ribu dollar mengklon haiwan mereka, maka ia cukup lumayan.
Pengklonan haiwan ini bagaimanapun adalah sesuatu yang kontroversi kerana ia ‘tidak berperikemanusiaan’, ‘tidak efisien’, tidak dipastikan kesannya kepada kumpulan genetik, dan menjadikan ibu tumpangan sebagai tidak seperti mesin pengeluar anak.
Namun, menurut New York Times, orang China rata – rata tidak kisah akan pengklonan. Ramai orang China yang menganggap menggunakan haiwan untuk kajian perubatan atau perubatan sebagai tidak bermasalah dan tidak kejam. Tiada undang – undang terhadap kekejaman ke atas haiwan.