Nisbah Keemasan (Golden Ratio) dianggap sebagai kuantiti matematik yang mendefinisikan kecantikan. Idea ini datang sejak peradaban Yunani lagi yang menganggap segala kecantikan itu adalah matematik.
Nisbah keemasan 1.61803 ini dikatakan dapat ditemui pada alam semula jadi, menjadikannya seolah satu kod kecantikan yang diguna pakai seantero alam. Lengkungan nisbah keemasan ini tampaknya dapat ditemui pada cangkerang, galaksi, puting beliung, bunga, anggota tubuh manusia dan banyak lagi elemen alam.



Begitu juga, nisbah keemasan ini telah digunakan dalam pelbagai hasil seni ulung sepanjang sejarah:


Namun sebenarnya, tidak semua orang terima idea nisbah keemasan sebagai penentuk kecantikan. Kebanyakan ahli matematik benci sebenarnya bila orang menokok tambah begitu banyak cerita tentang kuantiti matematik ini.
Formula Kecantikan? Ya Ke.
Banyak ahli matematik yang mula bersuara membantah penggunaan nisbah keemasan secara melebih – lebih ini apabila pakar kecantikan mereka cipta satu pencontoh (template) piawai kecantikan muka manusia berdasarkan nisbah keemasan phi.

Kalau muka anda tepat mengikuti pencontoh di atas, anda cantik. Kalau mata atau mulut anda lari sedikit posisinya, maaf anda tak cantik secara saintifik. (Peduli apa kalau pasangan anda kata anda cantik, yang penting sains!).
Maka setelah dirumuskan template kecantikan tersebut, dipastikanlah beberapa manusia yang miliki muka paling cantik di dunia yang ‘dibuktikan dengan sains’ (ya, termasuk Kim Kardashian. Ergh).

Ahli – ahli matematik kemudian membantah obsesi ini sebagai ‘pseudo matematik’. Ia mitos yang tidak hilang – hilang.
Menurut Dr Keith Devlin, ahli matematik University Stanford, nisbah keemasan ini tidak pernah digunakan oleh penemunya, Euclid, sebagai penentu kecantikan astetik. Idea ini cuma datang pada abad ke 19 oleh ahli psikologi German Gustav Theodor Fechner. Ia menyerupai kepercayaan agama.
Tiada bukti nisbah – nisbah tersebut menentukan ‘kecantikan’.
Ahli matematik John Allen Paulos, Temple University
Begitu juga, menurut Dr Devlin juga, yang sedang menentang mitos nisbah emas, kita banyak menyukai bentuk – bentuk lain yang tidak menepati nisbah emas, seperti saiz kertas A4 atau skrin komputer.
Troll – troll Pedas Nisbah Emas.
Bagaimanapun, sebagaimana yang kita biasa alami dalam dunia internet, artikel dan hujah biasanya kurang berkesan untuk menyampaikan mesej. Yang lebih disukai golongan milenial dan Gen Z adalah memes dan troll.
Maka itulah yang dibuat ahli matematik. Untuk menunjukkan bahawa nisbah golden ratio ini cumalah satu mitos, mereka mengguna pakai lengkungan nisbah emas pada gambar – gambar kelakar yang jika benar lengkungan itu betul, maka sepatutnya gambar – gambar parodi itu mestilah ‘cantik secara saintifik’.
Berikut adalah beberapa kumpulan gambar – gambar troll nisbah keemasan yang menunjukkan merepeknya mereka yang cuba membuktikan kecantikan secara saintifik:
Bagaimanapun artikel ini tidaklah mengatakan bahawa nisbah emas ini tidak benar atau sebaliknya. Cuma ingin mengongsikan memes. Troll yang paling mahal adalah troll akademik.