Ejen Ali : Realiti Masa Depan Manusia

Tahun 2019 menjadi tahun filem animasi 3D Malaysia, dimulakan dengan Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, kemudian Boboiboy The Movie 2 dan penutup tahun 2019 kita dipersembahkan pula dengan Filem Ejen Ali The Movie.

Antara 3 Filem

Artikel ini bukan ingin membandingkan filem mana lebih baik, cuma ingin menyentuh aspek realiti filem-filem ini. Antara 3 filem ini, penulis merasakan Animasi Ejen Ali lebih hampir kepada Realiti Dunia yang sebenar.

Boboiboy sudah tentu cerita rekaan kerana besar kemungkinan tidak wujud makhluk asing yang merebut Sfera Kuasa, ia jauh daripada realiti. Upin Ipin jika dalam siri animasi tv ia adalah tentang senario kehidupan masyarakat di Malaysia, tapi Filemnya lebih kepada cerita khayalan.

Tetapi tidak bagi Ejen Ali (Penulis menulis berdasarkan Siri Animasi TV musim 1 dan musim2, bukan berdasarkan filem terbaru). Bagi yang pernah menonton siri animasi Ejen Ali pasti tahu tentang I.R.I.S, iaitu satu peranti yang memberikan persepsi komputer kepada pemakainya, iaitu Ali.

I.R.I.S menggabungkan keupayaan manusia dengan keupayaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent, A.I) menjadikan Ali daripada seorang budak biasa kepada seorang ejen yang hebat.

Konsep yang dibawa dalam siri animasi Ejen Ali bukanlah fiksyen rekaan semata, ia sememang suatu realiti yang boleh dicapai dan juga masa depan manusia yang kita sedang menuju kepadanya.

Semestinya integrasi otak manusia dengan ‘otak’ komputer ataupun A.I. Di masa depan mungkin kita semua akan memiliki otak yang telah digabungkan dengan A.I yang akan mempercepatkan pelbagai proses dalam kehidupan. Contohnya proses pembelajaran mungkin akan menjadi lebih cepat dan manusia akan ada kemampuan untuk belajar banyak perkara.

Betul ke wujud benda macam tu?

Jika ditanya sekarang, memang belum ada, tetapi langkah-langkah kepada penggabungan ini telah lama wujud. Terbaharu Syarikat Neuralink, yang merupakan salah satu syarikat usahawan teknologi terkenal Elon Musk telah mengumumkan pada tahun hadapan (2020) ujian implan peranti ke atas otak manusia akan dijalankan bagi fasa pertama.

Neuralink

Neuralink adalah sebuah syarikat yang menjalankan kajian dan membangunkan peranti yang akan di implan ke dalam otak (bunyi menakutkan) yang membolehkan peranti tersebut membaca isyarat aktiviti otak dan seterusnya mentafsir isyarat tersebut dengan algoritma matematik. Isyarat tersebut boleh digunakan sebagai input arahan kepada komputer dan seterusnya komputer boleh melaksanakan arahan tersebut.

Wow macam kompleks saja, bagi mudah sikit.

Proses implan bebenang elektrod ke dalam otak.

Contohnya, kita hanya perlu fikir sahaja, nanti komputer yang akan buat. Contohnya kita nak taip “video ajar”, kita tak perlu taip, kita hanya fikir, nanti komputer akan tolong taipkan. Menarik kan?

Jadi di fasa pertama, Neuralink telah mencipta bebenang elektrod yang akan diimplan ke dalam otak. Bebenang ini saiznya 10 kali lebih halus daripada rambut manusia. Elektrod ini disambungkan kepada peranti pengesan (Sensor) yang akan menghantar isyarat yang dibaca daripada otak ke komputer secara tanpa wayar (wireless).

Neuralink juga telah mencipta mesin yang akan digunakan untuk mengimplan bebenang elektrod ini ke dalam otak. Dengan mesin ini, proses implan hanyalah seperti rawatan LASIK, dan bukannya pembedahan otak yang rumit. Jadi proses implan ini tidak terlalu menakutkan.

elektrod dan mesin

Di fasa ini, Neuralink menyasarkan untuk membantu pesakit lumpuh mengawal telefon dan komputer. Fokus mereka adalah pada kawalan tetikus dan papan kekunci. Dengan ini pesakit lumpuh boleh berkomunikasi dengan menggunakan telefon pintar.

Dan Hasrat Elon Musk lebih jauh lagi iaitu ingin menggabungkan otak manusia dengan A.I. Elon Musk adalah antara orang yang risau dengan dengan kecanggihan A.I dan meramalkan jika A.I tidak dikawal, A.I mungkin akan menakluk manusia (Dah macam filem Terminator pula). Jadi di kala kemampuan manusia semakin ditinggal jauh oleh A.I, maka untuk memintas A.I, manusia perlu bergabung dengan A.I. Itu idea Elon Musk.

Jadi peranti IRIS dalam siri Animasi Ejen Ali bukanlah suatu khayalan, ia adalah suatu visi dan masa depan ketamadunan manusia. Mungkin dimasa hadapan, akan wujud peranti seperti I.R.I.S. dan digunakan oleh kita semua. Mungkin.

Sebenarnya, penggabungan otak manusia dengan computer bukanlah perkara baharu. Kajian tentang perkara ini telah bermula sejak tahun 1970-an dan ia semakin berkembang. Ia dikenali juga sebagai ‘Brain-Computer Interface (BCI)’ ataupun ‘Brain-Machine Interface (BMI)’.

Selain Neuralink, NeuroLife oleh Battelle juga telah menjalankan kajian dengan mengimplan peranti ke otak pesakit bernama Ian Burkhart yang lumpuh akibat kecederaan tulang belakang. Hasilnya, pesakit ini boleh menggerakkan tangan dengan bantuan alat yang dipasang dalam otaknya.

Maka tema peranti IRIS dalam siri animasi Ejen Ali adalah sesuatu yang realistik dan nyata.

Kemajuan Vs Nilai Kemanusiaan

Selain itu, Ejen Ali juga menyentuh isu keruntuhan sifat kemanusiaan apabila manusia terlalu mengejar kemajuan.

Dalam Episod Analog, dipaparkan bagaimana teknologi telah menjadikan manusia asyik dengan teknologi. Watak Antagonis Analogman juga ada menyebut tentang masyarakat yang tinggal dipinggir Cyberaya yang hidup jauh daripada kemajuan dan hidup dalam kemiskinan.

Satu dialog yang sepatutnya kita ambil perhatian adalah

“Dalam sibuk mengejar kemajuan, kamu lupa pada nilai kemanusiaan” – Analogman

Ia adalah suatu mesej yang kuat dalam siri ini, selain memaparkan kecanggihan teknologi, satu perkara yang kita tidak boleh tinggalkan adalah nilai kemanusiaan.

Tapi sayangnya dalam siri animasi, mesej tidak begitu diberi penekanan. Sedikit disentuh tentang Pinggir Cyberaya semasa memaparkan sejarah hidup Uno dan Rudy. Tapi, mungkin ini isu yang dibawa dalam Filem Ejen Ali yang mana memaparkan kehidupan masyarakat pinggir Cyberaya, atau mungkin di musim ketiga.

Rasanya 2 noktah ini sudah cukup untuk memberi kita gambaran bahawa Siri Animasi Ejen Ali adalah karya yang unik yang sangat hampir dengan realiti semasa. Tema ini penting kerana untuk menjadikan rakyat Malaysia ini progressif dan tidak ketinggalan, kita perlu didedahkan dengan realiti semasa dan menjadi sebahagian daripada penyumbang kemajuan dan dalam masa yang sama, membangunkan nilai kemanusiaan yang sebenarnya sangat akrab dengan nilai-nilai ketimuran.

Sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Khaldun

“Masyarakat yang tiada daya untuk kehadapan, dengan sendirinya akan tertolak kebelakang”

Semoga lebih ramai penggiat seni yang berani membawa tema sains fiksyen yang hampir dengan realiti bukan sekadar fantasi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts