Sebuah saluran Youtube gergasi Indonesia, Calon Sarjana akhirnya dipadam Youtube setelah laman web tersebut menerima pelbagai laporan mengadu bahawa saluran tersebut memplagiat content mereka.
Calon Sarjana sebelum ini merupakan antara saluran Youtube terbesar daripada negara jiran dengan jumlah subscriber sebanyak lebih 12 juta, dan merupakan sebahagian daripada jenama produk syarikat penghasil content kreatif dan hiburan Infia.

Channel ini lebih bercorak infotainment, di mana ia menghasilkan video – video dengan tajuk – tajuk yang begitu menarik perhatian pengguna Youtube dan dipersembahkan dalam bentuk montaj sambil diikuti oleh audio penerangan. Pada mulanya contentnya lebih berkisar kepada fakta separa pendidikan, namun kemudian ia bertambah variasi apabila saluran itu lebih berkembang mencecah jutaan langganan.

Formula kejayaan saluran ini adalah pada tajuk yang menarik, thumbnail yang menangkap perhatian, dan jumlah produksi yang begitu aktif. Dalam satu hari, sebanyak 2 atau 3 video boleh dihasilkan, lantas memenangi pertandingan algoritma Youtube.
Bagaimanapun, ‘rahsia kejayaan’ saluran ini kemudian terbongkar apabila seorang pemilik saluran berbahasa Inggeris mendedahkan bahawa contentnya dicuri oleh Calon Sarjana.
Dalam video tersebut didedahkan bahawa Calon Sarjana memplagiat content yang dihasilkan oleh JT, menempel suara dan logo mereka, serta menggunakan thumbnail yang sama, cuma diletakkan emoji sahaja.
Malang buat Calon Sarjana, mereka mengambil content daripada sebuah saluran yang contentnya khusus ‘mengantoikan’ pencuri – pencuri content di Youtube.
Pendedahan ini kemudian mencetuskan letupan di media sosial Indonesia dan semakin banyak pendedahan dibuat terhadap saluran ini yang ternyata wujud hanya dengan mengambil content tular / trending di Youtube, menjenamakan dengan jenama mereka, dan dilatarsuarakan dengan bahasa Indonesia. Itulah rahsia bagaimana mereka dapat menghasilkan content menarik yang begitu banyak selama ini.
Tambah jelik, mereka menggunakan thumbnail yang sama daripada video asal, dan kemudian mengkaburkan atau menempel logo mereka pada logo asal content yang diambil.

Setelah pendedahan ini meletus di media sosial, Akaun Youtube Calon Sarjana telah digantung selama sebulan. Mereka juga membuat permohonan maaf kepada pemilik saluran JT atas kekhilafan yang dilakukan. Namun segala video yang pernah dihasilkan sebelum ini masih lagi berada pada saluran mereka.

Setelah sebulan, Calon Sarjana kembali memuatnaik content. Bezanya, kali ini mereka memuatnaik content original dengan animasi tersendiri dan tidak mengambil langsung daripada saluran trending yang lain.
Bagaimanapun, malang buat Calon Sarjana, pemilik saluran JT tetap menggerakkan usaha menjatuhkannya di belakang tabir.
Setelah beliau menghubungi pemilik – pemilik saluran yang pernah diambil contentnya oleh Calon Sarjana, laporan beramai – ramai kemudian kepada syarikat Youtube dibuat sehingga akhirnya terpadamlah saluran Indonesia tersebut daripada perkhidmatannya.

Kisah yang menimpa Calon Sarjana ini menjadi pengajaran buat semua penghasil content supaya tidak berwenang – wenang memplagiat content.