Kuning?
Mana? Mana ada warna kuning?

Ini? Ini bukan kuning. Bukan.
Eh jap. Adakah korang pun tertipu? Tertipu dengan penipuan yang terbesar dalam dunia ni…
Alamak.
Hanya Merah Biru dan Kuning
Ok, ok sebab apa ini bukan kuning.
Sebab kalau kita tengok betul – betul pada skrin kita, kita fokus, kita akan dapati bahawa ia terdiri daripada unit asas yang dipanggil piksel.

Dan piksel ini terdiri daripada beberapa subpiksel warna. Ia adalah tiga warna yang anda perhatikan di atas.
Soalan saya pada anda … Mana warna kuning? Kalau skrin anda cuma terdiri daripada 3 warna, merah biru hijau, macam mana boleh ada warna kuning???
Jadi sebenarnya, kita ni manusia, memang senang kena tipu. Ada sesetengah penipuan tu dah terlampau biasa, kita lalu tak anggap pun diri kita ditipu.
Contohnya macam ilusi pergerakan digital. Sebenarnya pergerakan yang kita nampak dalam video tu cumalah siri – siri gambar statik yang dipamerkan secara berturut – turut dengan laju.

Dia tak bergerak pun, sebenarnya, tapi sebab mata dengan otak kita cuma boleh proses 10 ke 12 imej sesaat, dan diorang mengekalkan imej tu selama 1/15 saat, kita yang alami ilusi semacam dia bergerak.
Tapi antara ilusi lain yang paling banyak menipu kita sehari – hari adalah ilusi warna.
Skrin digital kita ni sebenarnya terdiri daripada 3 warna cahaya utama pada setiap sub piksel, iaitu merah hijau dan biru. Dalam model yang dipanggil model warna RGB. Itu ja, tiga warna tu ja. Dan pada skrin, terdapat beribu – ribu piksel.

Tapi kita tak nampak piksel – piksel kecil ni pada satu jarak yang jauh. Kita tak perasan pun tiga unit warna tersebut.
Dan dengan kita mainkan keamatan (intensiti) bagi setiap 3 cahaya tu, kita sebenarnya boleh hasilkan semua warna tampak.
- Kosong keamatan bagi setiap komponen akan hasilkan warna hitam.
- Keamatan penuh bagi setiap komponen hasilkan warna putih.
- Keamatan yang sama bagi setiap komponen, tapi bukan penuh, hasilkan warna kelabu.
- Dan bila keamatan setiap komponen tu berbeza – beza, ia akan menghasilkan hue warna.
Jadi bila kita tengok warna kuning pada skrin kita, memang sebenarnya, itu bukan kuning. Ia cumalah warna merah, hijau, biru pada keamatan yang berbeza, yang dipersembahkan oleh piksel pada skrin.

Peliknya.
Fenomena ni boleh jadi dan dimanipulasi bila kita dapati bahawa pada mata kita terdapat kon yang sensitif pada tiga jenis warna, biru, hijau dan merah.

Jadi bila kita tengok skrin kita yang warnanya ‘kuning’, apa yang kita lihat sebenarnya adalah ribuan subpiksel yang berwarna merah dan hijau dinyalakan serentak. Warna biru tu dipadam.
Kedua – dua kon merah dan hijau pada retina mata kita kemudian teraktivasi. Jadi otak kita anggap eh ini benda yang biasa jadi bila tuan aku tengok warna kuning. Jadi skrin tu pun otak kita anggap kuninglah.
Dan rupa – rupanya tak susah mana untuk buat mata kita menyangkakan mereka tengah melihat warna.
Contohnya tengok gambar ni.

Kita tengok dia macam berwarna betul?
Sebenarnya tak, tengok betul – betul.

Gambar asalnya adalah hitam putih, tapi ia ditempel dengan grid garisan berwarna, lantas mata kita tertipu dengan menyangkakan keseluruhan gambar sebagai berwarna.
Dan kita boleh manipulasi grid tersebut untuk tengok sejauh mana kita boleh tertipu dengan ilusi grid ni.
Bukan saja gambar, ilusi grid warna pada latar hitam putih juga berlaku pada video. Video ini keseluruhannya hitam dan putih. Tapi dengan beberapa grid garisan berwarna, kita melihat seolah ia berwarna sepenuhnya.
Jadi kesimpulannya konsep warna ni memang pelik. Tapi yang lagi pelik adalah bagaimana satu ilusi ini boleh dimanipulasi sampai ia mempengaruhi berbilion manusia selama ratusan tahun. Dan soalan yang lagi penting adalah, sejauh mana lagi agaknya mereka boleh memanipulasikan otak manusia supaya kita terus tertipu, dan mungkin selepas ini, kita tak akan sedar lagi bahawa kita ditipu…