1. Gelaran Tan Sri wujud pada asalnya bagi membezakan gelaran Dato’ yang dikurniakan di peringkat persekutuan dengan negeri-negeri.
2. Gelaran ini mula digunakan pada 12 April 1966, kepada penerima darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang sebelum ini menggunakan gelaran Dato’.
3. Sebelum gelaran Tan Sri diperkenal, hanya Tun dan Dato’ sahaja yang digunakan sebagai gelaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong.

4. Bermula tahun yang sama juga, darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) diperkenalkan, dengan penerimanya turut bergelar Tan Sri. Selain P.S.M, darjah Seri Setia Mahkota (S.S.M. – yang membawa gelaran Tun) dan Johan Setia Mahkota (J.S.M.) turut diperkenalkan.
5. Bermaksud, gelaran Tan Sri dikurniakan kepada penerima darjah P.M.N. dan P.S.M.. Ia terus digunakan sehingga hari ini.
6. Pada awalnya, gelaran Tan sahaja (tanpa Sri) dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk penggantian kepada Dato’. Ia menimbulkan beberapa perbahasan daripada kalangan penggiat bahasa.
7. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mendakwa – ketika mengusulkan cadangan gelaran Tan – beliau mengambil gelaran Tan hasil kajiannya daripada buku-buku hikayat asli Melayu semasa pembikinan filem “Raja Bersiong” – filem yang ditulis leh beliau.
8. Penggiat-penggiat bahasa secara umumnya bersetuju agar diwujudkan gelaran lain bagi membezakan Dato’ di peringkat persekutuan dan negeri, tetapi istilah Tan dianggap janggal dan seperti ada yang tidak kena.
9. Menurut Pendeta Za’ba, beliau tidak pernah menemui istilah Tan, tetapi hanya ejaan Jawi huruf Ta dan Nun yang disebut Tun sahaja.
10. Menurut Syed Nasir Ismail, perkataan Tan muncul mungkin disebabkan kekhilafan penulisan buku Melayu lama (bertulisan Jawi) dalam mengeja perkataan Tun. Sebagai contoh dalam buku klasik, At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ada menulis Tun dengan ejaan ta+nun sahaja, ada juga yang menulis ta+wau+nun.
11. Prof Ungku Aziz juga pernah mengesyorkan kepada kerajaan untuk membuat penyelidikan berkenaan istilah Tan ini.
12. Menurut beliau, istilah tersebut diakui sememangnya wujud dalam masyarakat Melayu. Sebagai contoh, ia digunakan oleh pembesar adat di Johol, Dato’ Baginda Tan Mas.
13. Gelaran Tan juga digunakan oleh seorang tokoh komunis era perjuangan kemerdekaan Indonesia, Tan Malaka. Perkataan Tan tersebut ialah kependekan kepada Sultan atau Sutan.
14. Gelaran Sutan pula suatu masa dahulu kebiasaannya menjadi gelaran kepada raja bagi sesebuah daerah kecil di Sumatera Timur.
15. Gelaran Sutan juga diberikan kepada anak orang baik-baik di Minangkabau.
16. Dalam kamus Melayu-Perancis (Dictionnaire Malais-Francais) yang diterbitkan pada tahun 1875 oleh Abbe P. Favre, ada dimasukkan lema “ta nun” dalam ejaan Jawi. Ia boleh disebut dengan pelbagai sebutan seperti Tan, Ton dan Tun, walaupun kamus tersebut menganjurkan sebutan “Tun”.
17. Mustapha Albakri, seorang ahli adat istiadat Melayu (menjadi Dato Paduka Maharaja Lela pertama), menyatakan gelaran Tan sememangnya wujud dalam alam Melayu. Namun, kebiasaannya ia tidak digunakan secara sendirinya.
18. Perkataan Tan kebiasaannya bersandar dengan perkataan lain, sebagaimana di Perak terdapat gelaran Dato’ Tan Dewa dan pelbagai Dato’ Tan yang lain yang dikurnia oleh Sultan Perak.
19. Akhirnya, gelaran Tan Sri diguna pakai oleh kerajaan persekutuan. Walaupun terdapat persoalan ejaan mana yang sepatutnya; sama ada Sri atau Seri (mengikut hukum bahasa, sepatutnya Seri), pihak Jabatan Perdana Menteri telah memuktamadkan penggunaan rasmi gelaran tersebut sebagai Tan Sri.
20. 8 orang tokoh telah menerima gelaran Tan Sri pertama selepas dikuatkuasakan pertukaran. Seorang menerima P.M.N, manakala 7 yang lain menerima P.S.M. Mereka ialah:
P.M.N.
– Tan Sri Saw Seng Kew, Yang di-Pertua MCA Pulau Pinang.
P.S.M.
– Tan Sri Abdul Aziz bin Yeop, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran Malaysia.
– Tan Sri Abdul Hamid bin Mustapha, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Port Swettenham
– Tan Sri Dr. Foo Ting Chiew, Pengerusi Syarikat Permodalan Perusahaan Tanah Melayu
– Tan Sri C.M. Hashim (Noor Mohamed Hashim bin Che Din), bekas Yang di-Pertua UMNO Pulau Pinang
– Tan Sri Khoo Teck Puat, Pengarah Urusan Malayan Banking
– Tan Sri Tan Seng Kee, pelombong terkemuka
– Tan Sri Yaacob bin Abdul Latiff, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Bersatu di Kaherah
Itu sahaja perkongsian kali ini. Sekadar menghimpunkan beberapa laporan akhbar lama dalam satu penulisan.
Kredit : FB Zahirul Nukman.