Melayu sememangnya terkenal dengan kelembutan dan kedalaman bahasa. Tak ramai yang sedar, tapi sebenarnya kehebatan dan kecerdasan pemikiran Melayu banyak dipantulkan dalam peribahasa, sehingga ia dianggap sebagai satu cabang ilmu yang genius.
Banyak kajian bahasa moden terhadap peribahasa Melayu telah menemui mutiara kebijaksanaan tamadun Melayu terdahulu. Bagi satu peribahasa, terdapat banyak lapisan yang menghasilkan makna yang mendalam. Berikut adalah beberapa peribahasa yang setelah dibuat penilaian secara mendalam, ternyata menampilkan sisi genius orang Melayu.
Bagai Dedalu Api Hinggap Ke Pohon Kayu
Peribahasa ini membawa maksud “orang jahat, ke mana pergi, akan menyusahkan orang baik”.
Kenapa maksudnya begitu? Sebenarnya ini adalah hasil daripada pemerhatian orang Melayu terhadap alam, dan pengetahuan mereka tentang ilmu biologi yang kemudian diterjemahkan menjadi peribahasa yang bermakna.
Dedalu merupakan sebuah tumbuhan parasit. Bermakna ia mengambil makanan daripada tumbuhan lain, serta bergantung hidup kepada tumbuhan lain. Sudahlah ia hidup menumpang, ia akan menyebabkan tumbuhan yang ditumpangnya pula yang kekurangan tenaga kerana berebut makanan.
Pokok dedalu parasit ini sering menumpang pada pokok buah – buahan seperti pokok rambutan, pokok jering, pokok jambu, mempelam dan pulasan. Akarnya masuk ke dalam lapisan floem dan xilem yang ditumpangnya sehingga banyak pokok yang mati.
Jadi orang Melayu zaman dahulu telahpun faham tentang konsep organisme parasit yang menumpang. Ini tidaklah dikatalogkan sepertimana jurnal saintifik, tetapi diterjemahkan dalam bentuk peribahasa yang langsung menyentuh memberi pelajaran kehidupan.
Pengajarannya, bila ada orang jahat seperti parasit yang hinggap pada orang baik, hidup menumpang, akhirnya akan rosaklah orang baik itu, sedangkan orang jahat si parasit itu pula membesar dan hidup senang. Maka perlulah dijauhi perangai seperti dedalu. (dan kena musnahkan dan bakar dedalu ini – bagaimana hendak diaplikasikan dalam dunia sebenar terpulang pada anda)
Sekerat Ular Sekerat Belut
Ada yang biasa dengar peribahasa ini? Ia bermaksud ‘seseorang yang tidak tentu pihak mana yang harus diikuti; atau juga munafik’
Kenapa ular dan belut dipilih? Apa kaitannya dengan orang munafik?
Menurut pengkaji di Universiti Kebangsaan Malaysia, pemilihan belut itu untuk dikolokasikan kepada ular dalam peribahasa tersebut bukanlah dibuat secawa wewenang oleh masyarat Melayu dahulunya melainkan bersebab
Pertama sekali, dari segi fizikalnya (gambar atas), belut dengan ular tak banyak beza.
Belut sawah atau nama saintifiknya Monopterus albus Zuiew merupakan sejenis ikan dari keluarga Synbranchidea yang tidak mempunyai sirip atau sebarang anggota tambahan lain untuk bergerak. Ada pandangan umum yang melihat belut itu sebagai bangsa ular berikutan faktor fizikalnya yang persis menyerupai ular.
Selain itu, pemilihan belut sebagai haiwan yang diperikan sifat munafik adalah kerana keadaan fisiologinya yang boleh berubah-ubah.
Belut itu bersifat hermafrodit, iaitu haiwan yang miliki dua kelamin, dan mampu melakukan penggantian kelamin.
Belut mengalami fasa hidup awalnya sebagai betina dan berubah menjadi jantan setelah dewasa. Apa yang menariknya, belut jantan boleh menukarkan jantinanya menjadi belut betina apabila populasi belut betina menurun di sesebuah habitat.
Bagaimanapun, ketika berlangsungnya proses penggantian kelamin, belut akan menjadi agresif dan mempamerkan ciri-ciri kanibalisma dengan memakan sesama sendiri selama proses tersebut berlangsung.
Orang Melayu tahu sifat fisiologi belut ini itulah sebab haiwan ini dipilih, lalu mereka kaitkan dengan ular yang kita maklum biasa dikaitkan dengan sifat negatif lantas terlahirlah sebuah peribahasa yang terbaik yang menyampaikan mesej orang munafik.
Menanam Tebu di Bibir
Ini pun satu peribahasa yang agak ‘aneh’ jika kita fikirkan lebih mendalam.
Menanam tebu di bibir bermaksud ‘memberi janji – janji manis, orang yang bercakap dengan baik tetapi hatinya bermaksud jahat’.
Kenapa orang Melayu gunakan tebu untuk gambarkan sifat negatif? Bukankah tebu itu satu tumbuhan yang baik lagi manis? Kenapa dikaitkan dengan bibir pula untuk gambarkan janji palsu?
Jika kita teliti struktur tebu, kita akan dapat jawapannya.
Apabila dilihat pada struktur tebu itu sendiri, tebu mempunyai daun yang tajam, kasap dan miang, kulit yang keras dan liat. Ia mempunyai ruas-ruas keras namun begitu menghasilkan air yang manis dan enak rasanya. Tebu mempunyai rasanya yang manis dan sedap tetapi strukturnya mempunyai ciri yang tajam yang pada masa sama akan menyakiti orang lain.
Begitulah juga dapat difahami dengan janji-janji yang ditaburkan, manis didengar dan enak untuk ditelan tetapi ciri janji itu ada mempunyai ciri tajam, keras, miang dan liat. Kemanisan itu miliki durinya yang tersendiri.
Bermakna, daripada contoh yang dikemukakan kita dapat lihat betapa halusnya akal budi Melayu yang diterjemahkan dalam bentuk peribahasa. Apabila dikaji, semakin banyak mutiara pemikiran yang dapat dikorek. Usahlah kita memandang rendah dan memomokkan bangsa kita sebagai malas, tidak saintifik, inovatif dan sebagainya.
Rujukan:
- MAKNA IMPLISIT BAHASA KIASAN MELAYU: MEMPERTALIKAN KOMUNIKASI, KOGNISI DAN SEMANTIK
- SEMANTIK INKUISITIF: ANALISIS ‘BELUT’ DALAM PERIBAHASA MELAYU
- Peribahasa `parasit` dan akal budi melayu: analisis semantik inkuisitif